Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Sunday, September 11, 2011

YANG BERHARGA itu nilai.....

Memahami erti nilai sesuatu perkara baik berbentuk material mahupun berbentuk hubungan merupakan perkara pokok yang perlu didasari dengan sikap kasih sayang. Memahami nilai hanya dalam bentuk harfiah tidak membawa banyak makna dalam hidup kerana kita tidak merasa nilai yang sepatutnya dinikmati.
Nilai itu amat berharga dan begitu bererti seandainya dilihat dari sudut hati dan perasaan. Maka sebab itu ada diantara kita menangis seperti kehilangan orang yang dicintai hanya kehilangan sekeping gambar atau sehelai baju cuma.
Hal ini adalah rentetan dari pengertian nilai yang benar yang terbit dari hati dan perasaan. Mulai hari ini, mari kita sama-sama menilai apa yang bernilai dalam diri kita serta kehidupan kita. Lihat dan timbangkanlah dengan hati dan perasaan sama ada kita benar-benar menghargai nilai yang ada itu atau ianya hanya sekadar keperluan dalam laluan kehidupan kita. Seandainya ia benar-benar bernilai maka peliharalah ia, peliharalah dengan kasih sayang yang bersandarkan kasih yang maha pengasih lagi penyayang.
Seandainya ia hanya seperti biduk yang lalu, janganlah kita buang dengan nista kerana setiap detik perencanaan Allah S.W.T pasti ada jalan penyudahnya. Hiduplah dengan nilai yang bernilai dan bukan nilai yang hanya dilihat secara harfiah yang penuh kepura-puraan lagi menjengkelkan....

Merasa kehilangan itu adalah sebuah nilai yang berharga ...................

Wednesday, September 7, 2011

Rajut Persaudaraan di Bulan Mulia Ini

Syukurlah kerana kita masih diberi kesempatan berjumpa pada bulan mulia ini. Bulan meraikan kemenangan setelah Ramadhan kita tempuhi dengan takwa. Kerana itu, walaupun Ramadhan baru beberapa hari meninggalkan kita, namun ada perasaan rindu padaRamadhan. Jika Ramadhan kita lalui dengan sungguh-sungguh, maka bolehlah kita dianggap sudah mendapat kemenangan.
Tidak ada kesempatan yang lebih indah dalam kehidupan ini selain saat menyambut Aidilfitri. Waktu beginilah kita dapat berkumpul bersama-sama ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat taulan. Kita bersilaturrahim dengan sesiapa sahaja. Tidak sahaja kenalan rapat, kenalan baru dan tidak dikenali juga dapat diikat dengan tali silaturrahim Aidilfitri. Semua mempunyai makna yang sama. Yang penting salam bersalaman, berjabat tangan, maaf memaafi.
Menjalinkan silaturrahim dan mempereratnya kembali, inilah saat dan momen paling tepat kerana pada hari-hari biasa, kita disibukkan dengan pelbagai pekerjaan dan tuntutan hidup sehingga waktu untuk silaturrahim terasa kurang dan sempit. Justeru, pada hari raya adalah waktu yang paling sesuai kerana tidak ada alasan sibuk lantaran semua orang tahu bahawa hari raya adalah hari cuti.
Mudah-mudahan dalam kesempatan cuti panjang hari raya, marilah kita suburkan tradisi bersilaturrahim ini kerana silaturrahim melapangkan rezeki dan memanjangkan umur.......
Moga kita semua mendapat reda dan rahmatNya.Amin!

Thursday, August 25, 2011

Ramadhan yang pergi...




Kehadiranmu Ramadhan dirindui, lantas pemergiaanmu pasti ditangisi, pasti meninggalkan kesan dalam hati kita...... sebenarnya kita pun tidak tahu sama ada tahun depan kita masih berkesempatan untuk bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini. Waaluhalam! Berdoalah semoga ibadat kita pada tahun ini diterima oleh Allah s.wt.





Sayu dan sedih di lubuk hati mengenangkan Ramadhan akan pergi,....pasti ada sendu bertamu di hati, ada doa berlagu tak henti, ada suara hati yang tak didengari, ada rindu yang ingin dilunasi, hanya padaNya kita munajatkan diri. Semoga kita telah memenuhkan malam-malam sunyi Ramadhan dengan merintih zikir, menambah doa pada Yang Malah Esa yang maha mengetahui gerak hati dan langkah yang seterusnya.





Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan kasih sayangNya......!



SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI!




Sayang Iz: Seronok juga mendengar orang utara berbicara....!











Sunday, August 21, 2011

Kau tersenyum ku tersenyum

Senyum sebagai sedekah, kerana ia menyenangkan hati orang. Sedekah itu sendiri pada dasarnya menyenangkan dan menggembirakan. Senyum seindah suria yang membawa cahaya. Senyumlah dari hati duniamu berseri.
Senyuman adalah memulakan bicara sebagai tanda salam perkenalan. Senyum kepada saudara seislam dan sesama manusia. Walaupun tanpa majlis tertentu , kita tetap dianjurkan untuk senyum terutamanya di dalam kehidupan harian dan setiap perbuatan kena mulakan dengan senyuman.
Dalam islam bermanis muka, ceria dan senyum sangat dituntut untuk tidak kelihatan sombong. Kita mendapat pahala sedekah sebanyak mana, itu Allah yang tentukan. Jika orang senyum kepada kita balaslah dengan senyuman atau riak muka yang manis, jika kita menarik muka bererti kita seorang yang sombong dan bongkak. Apabila sudah menjadi sombong dan bongkak itu sudah dianggap berdosa.Balaslah senyuman itu walaupun dengan cara anggukan sebagai tanda kita faham makna senyumannya.
Kita tidak boleh ada perasaan riak, hasad, dengki, sombong, bongkak dan berburuk sangka. Semua perasaan itu jika tidak ada di dalam diri maka akan menampakkan keikhlasan hati akan menyerlah di wajah. Perasaan yang akan lahir di dalam senyuman adalah kebaikan sifat di dalam hati.Senyuman dan ketawa adalah rawatan untuk orang yang susah hati dan stress.

Sayang Iz: Tidak perlu kata apa-apa, kertas putih salju kucoretkan kedukaanku....


Tuesday, August 16, 2011

Mengajar @ Mendidik

Kita sering mendengar perkataan mengajar dan mendidik. Kita mungkin melihatnya sama, namun hakikatnya kedua-duanya adalah berbeza. Jika dahulu, kedua-duanya bersatu dan melengkapi tetapi mungkin hari ini menjadi entiti yang berlainan. Kita mungkin menganggap mengajar itu adalah mendidik tetapi sebenarnya mengajar hanyalah sebahagian daripada mendidik. Manakala mendidik pula merangkumi mengajar.

Mengajar itu adalah menerangkan, menerima fakta dan memberi arahan. Justeru seorang pengajar adalah seseorang yang menerangkan sesuatu ilmu pengetahuan dan disampaikan kepada pelajar.

Mendidik pula adalah memberi pembangkitan diri, mencerahkan serta membebaskan. Oleh yang demikian seorang pendidik adalah seseorang yang mampu memberi pencerahan, seseorang yang mampu membebaskan keterikatan fikiran serta membangkitkan pengisian diri. Secara setimologinya, pendidikan atau 'education'itu diambil dari membesarkan yang juga memberi maksud membangunkan sesuatu dari dalam dan mampu memimpin.

Sayang Iz: Sebenarnya kita ini pendidik atau pengajar sahaja? Cerminlah diri.......

Wednesday, August 10, 2011

Bahaya dan Bahana Lidah.

Lidah manusia sangat tajam. Ketajaman lidah tidak sama seperti ketajaman mata pedang. Luka akibat mata pedang mungkin akan sembuh, namun luka akibat ketajaman lidah seseorang sukar disembuhkan.
Firman Allah Taala dalam surah al-Hujurat ayar 12 memadai menunjukkan kekuatan larangan mengumpat iaitu senjata yang menggunakan lidah.
"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telag mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh sebab itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah.
Mengumpat sepertimana pandangan al-Ghazali dan diikuti oleh al-Nawawi dijelaskan dengan makna seseorang menyebut tentang sesuatu perkara mengenai orang lain yang tidak disukai olehnya.Sama ada berkaitan tubuh badan, agama, dunia, diri, jasad, perangai, harta, bapa, anak,isteri, suami, gerak geri, pakaian, diam dan lain-lain yang berkaitan dengan seseorang.
Begitu juga sama ada dengan lafaz, isyarat mata, atau sebagainya. Pendek kata, semua perkara yang kita lakukan yang boleh melukakan hati saudara kita sekiranya dia mengetahui hal tersebut, maka ianya adalah mengumpat.Sesungguhnya mengumpat adalah riba yang paling dahsyat dengan mencerobohi maruah seseorang muslim dengan tanpa hak.!

Sayang Iz: Marah itu mudah, sabar itu indah. Memafkan secara lahiriah belum pasti memperoleh kemaafan secara batiniah!

Monday, August 8, 2011

Cantik di Hati

Cukup adalah persoalan kepuasan hati. Cukup hanya boleh diucapkan oleh orang yang bersyukur atas apa-apa yang diperoleh. Tak perlu takut berkata cukup. Mengucapkan kata cukup bukan bererti kita berhenti berusaha, 'cukup' juga tidak boleh disama erti anda sudah berpuas hati.
Mengucapkan kata cukup membuat kita melihat apa-apa yang telah kita terima, bukan apa-apa yang belum kita dapatkan. Jangan biarkan kerakusan manusia membuat kita sukar untuk mengungkapkan kata cukup.
Belajarlah mencukupkan diri dengan apa-apa yang ada pada diri kita hari ini, maka kita akan menjadi manusia yang berbahagia dan sentiasa bersyukur dengan apa-apa yang ada. Belajarlah untuk berkata 'cukup'!