Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Sunday, October 23, 2011

Hadapilah duniamu dengan senyuman


Jika kita menghadapi masalah, cubalah kita ingat-ingat masalah sukar yang pernah kita hadapai pada masa lalu. Khususnya masalah yang lebih besar dan lebih berat dari yang sedang kita hadapi. Dalam pada itu, cubalah hayati bagaimana Allah memberi jalan keluar untuk menyelesaikannya. Kerana dengan mengenang hal yang berat yang pernah kita hadapi itu, kita akan merasa hiba bercampur bangga terhadap diri sendiri, dan akan tumbuh rasa percaya yang kuat kepada diri sendiri.
Jika seseorang mengingat kesukaran-kesukaran yang pernah dialami maka ia akan berasa bahawa beban yang ia hadapi ketika ini tidak berbeza dengan masalah-masalah yang lain. Dan setiap masalah akan berlalu, dan kemudian akan menjadi sejarah atau kenangan. Kita perlu belajar dan mengambil iktibar dari setiap masalah yang kita lalui, tidak terkecuali masalah yang lebih banyak sakitnya berbanding senangnya. Terimalah segalanya dengan senyuman.
Sekali-kali jangan berfikir dua kali untuk tersenyum,kerana dengan tersenyum bermakna kita sedang menghidupkan semangat dan kekuatan yang ada dalam diri. Jangan bermurung dan bermasam muka kerana itu akan menekan kekuatan, sedang menekannya bererti kita membuat diri kita menderita.
Apabila kita tersenyum kepada orang lain, bermakna kita sedang memberi kebahagiaan kepada mereka. Senyuman dapat menyuntik perasaan optimis dan damai di hati orang lain. Sebaliknya, jika kita tampil dengan wajah bengis dan murung bermakna kita telah menyeksa dan mengganggu hati mereka. Sudah pasti kita tidak suka menjadi punca kesedihan kepada sesiapa pun.......

Sayang Iz: Masih mampu senyum walaupun orang yang disayang tidak faham pun ketika diri sedang dalam kesakitan......!

Sunday, October 16, 2011

Semoga Allah anugerahi kasih sayang

Ketika insan lain hampir tidak percaya dengan dirimu, memandang serong terhadapmu, meletakkan dirimu bagai tidak berharga, seolah-olah dunia ini gelap dan gelita, tiada tempat untuk meluah, pintu dunia seakan terkunci untuk diceritakan segala resah dan kekecewaan yang bersarang di jiwa.....
Maka saat itu, tadahlah tanganmu yang basah bersama kemurnian wudhuk dan air mata keinsafan. Allah pasti hadir dengan jiwamu untuk mendengar segala isi hati yang luka.....
......kerana Dia Maha Mendengar......
Percayalah, Allah menguji dengan kesusahan untuk mendengar luahan makhluknya yang mungkin telah lama bisu dan tidak berbicara denganNya.
Hari ini menangis dengan doa, esok lusa jangan pula menjadi kufur atas segala kesenangan yang diperoleh. Harungilah ujian kecil dunia agar kita hebat mendepani ujian lebih besar di hari akhirat.
Insyaallah...

Sayang Iz: Batu, sayang kau tak boleh berkata, semuanya kau lihat walau kau tak bermata....

Thursday, October 6, 2011

Nikmat lidah dalam berkata-kata

Sememangnya apa yang diimpikan dalam hidup ini adalah kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan dalam apa jua bidang kehidupan yang diceburi. Dalam persekitaran sebegini, ungkapan yang diguna pakai sudah tentulah kata-kata positif, penuh dengan kehalusan budi bicara yang tinggi serta enak didengar. Apa-apa yang terbit daripada mulut semuanya manis dan sedap belaka, lalu meransang kecerdasan emosi dan spirutual untuk lebih berjaya.
Kata-kata yang memberi dorongan kejayaan adalah kata-kata positif, kata-kata pujian, kata-kata ransangan, kata-kata yang boleh mencetuskan kejayaan dan kebahagiaan hidup, kepada diri sendiri atau kepada insan lain.
Kata-kata itu bukan sahaja indah dan sedap didengar bahkan boleh menyentuh hati dan perasaan insan lain lantas menimbulkan kesedaran untuk bertindak ke arah kejayaan dan kebahagiaan hidup.Kata-kata sebegini turut mampu memberi kebahagiaan dan ketenangan hati bagi pihak yang mendengarnya.
Walau apapun bentuk kata-kata yang keluar melalui lidah seseorang maka itu merupakan gambaran seseorang terhadap dirinya dan terhadap insan-insan lain serta persekitaran hidup yang dihadapinya.

Sayang Iz: Aku ingin menjadi sesuatu yang bisa kau rindu.....

Sunday, October 2, 2011

Cintai Saudara Kita kerana Allah

Berasa diri disayangi dan dicintai oleh seseorang itu sangat bermakna buat diri kita. Perasaan cinta dan sayang ini lahir dari hati yang tulus dan ikhlas. Menyayangi saudara kita kerana Allah membuatkan kita sentiasa mendoakannya. Ingatan yang tulus ikhlas itu tergambar dengan iringan doa kepada sahabatnya walaupun kita tidak berada bersama-samanya.
Seseorang yang menyayangi saudaranya akan sentiasa menunjukkan penampilan wajah yang berseri-seri selain memberi hadiah atau buah tangan kepada sahabatnya seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Kalian harus saling memberi hadiah, maka kalian akan saling menyayangi".
Terpenting adalah bermaaf-maafan antara saudara harus menjadi amalan. Kita juga tidak harus menyimpan dendam kerana dendam akan menimbulkan kebencian. Kebencian akan membawa kepada perpecahan. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Dengan memberi maaf semoga kita juga akan dimaafkan....

Sayang Iz: kiranya berakhir dengan titis air mata ?!

Thursday, September 22, 2011

Minda tanpa halangan


Fikiran yang bebas, perasaan yang bebas, bebas daripada ikatan masa dan ruang (hologram). Sempadan waktu dan ruang sering menyebabkan kita berada dalam tekanan, kebimbangan, kekecewaan, kerisauan dan seumpamanya yang sering dikaitkan dengan sempadan masa dan tempat.
Sifat hologram ini boleh membuatkan kira berasa relaks, bebas, tidak tertekan, tidak kecewa, bebas fikiran, bebas perasaan, bebas dari ikatan masa dan ruang energi diri menjadi besar. Dalam keadaan ini diharap seseorang akan memperoleh maklumat yang tiada diduga (ilham, petunjuk atau rezeki) daripada Allah. Matlamat ini boleh dikaitkan dengan hasil ketakwaan seperti yang sering kita dengar yang mana Allah akan memberi petunjuk dan jalan keluar dari setiap ujian hidup yang dilalui.
Kita perlu sedar dan yakin bahawa kejayaan dan kebahagiaan hidup hakiki hanya akan tercapai melalui keyakinan diri yang diperkukuhkan tanpa jemu.Keyakinan diri ini perlu diusahakan agar kita terselamat daripada cengkaman perasaan keraguan yang sering membantutkan usaha-usaha ke arah membina kejayaan dan kebahagiaan diri. ....!

Sayang Iz: RINDU... memaksaku menyayangi mu... dan benar ke CEMBURU itu tandanya sayang

Wednesday, September 14, 2011

Apabila banyak mengkritik orang.



Setiap hari kita pasti akan mendengar pelbagai kisah hidup. Bermula dari kisah yang menggembirakan hingalah kisah yang membawa duka nestapa. Kita mungkin memikirkan yang kita beruntung menjadi pendengar cerita suka dan duka tanpa membayar apa-apa pun. Tetapi kita mungkin lupa yang dalam cerita itu, mungkin banyak cerita kritikan tentang perihal sikap atau perangai orang lain.
Kita begitu mudah melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menilai kesalahan yang kita lakukan sendiri. Kita gemar memberi komen atas orang lain namun jarang sekali memberi komen terhadap diri sendiri.
Satu hal yang mungkin kurang kita amati hasil dari mengkritik orang lain adalah penanaman sikap negatif yang mula mengambil tempat dalam minda bawah sedar kita. Apabila kita terlalu rajin mengkritik orang lain, di mata kita semua orang melakukan keburukan atau kita suka memperlekehkan orang lain, tanpa kita sedari secara tidak langsung kita melakukan hukum pengulangan. Hukum pengulangan menyatakan bahawa sesuatu perkarra yang dilakukan secara berulang kali akan membawa kepada satu keterbiasaan. Keterbiasaan ini pula akan membawa kepada satu perubahan fisiologi yang baru tidak kira sama ada positif atau negatif. Apabila kita sering berkata nista, maka kita sebenarnya menanam secara perlahan-lahan tetapi utuh akan kata-kata nista itu di dalam minda bawah sedar kita hingga akhirnya kita menjadikannya satu sikap baru.
Jika kita merasakan yang kita dikritik, maka mulai hari ini fahamlah bahawa mereka yang memberi kritikan itu juga tidak terselamat dari hukuman. Biar sekecil mana kebaikan tetap juga mendapat balasan, begitulah sebaliknya. Kita perlu hidup dalam kasih sayang. Kita boleh memberi nasihat tetapi bukan kecaman. Kita boleh memberi nasihat kerana Allah SWT dan bukan atas kehendak diri.
.............Kita perlu ingat bahawa apa yang kita katakan itu adalah satu saranan untuk diri kita supaya bersikap sedemikian di akhirnya nanti................Sayang Izzzzz!

Sunday, September 11, 2011

YANG BERHARGA itu nilai.....

Memahami erti nilai sesuatu perkara baik berbentuk material mahupun berbentuk hubungan merupakan perkara pokok yang perlu didasari dengan sikap kasih sayang. Memahami nilai hanya dalam bentuk harfiah tidak membawa banyak makna dalam hidup kerana kita tidak merasa nilai yang sepatutnya dinikmati.
Nilai itu amat berharga dan begitu bererti seandainya dilihat dari sudut hati dan perasaan. Maka sebab itu ada diantara kita menangis seperti kehilangan orang yang dicintai hanya kehilangan sekeping gambar atau sehelai baju cuma.
Hal ini adalah rentetan dari pengertian nilai yang benar yang terbit dari hati dan perasaan. Mulai hari ini, mari kita sama-sama menilai apa yang bernilai dalam diri kita serta kehidupan kita. Lihat dan timbangkanlah dengan hati dan perasaan sama ada kita benar-benar menghargai nilai yang ada itu atau ianya hanya sekadar keperluan dalam laluan kehidupan kita. Seandainya ia benar-benar bernilai maka peliharalah ia, peliharalah dengan kasih sayang yang bersandarkan kasih yang maha pengasih lagi penyayang.
Seandainya ia hanya seperti biduk yang lalu, janganlah kita buang dengan nista kerana setiap detik perencanaan Allah S.W.T pasti ada jalan penyudahnya. Hiduplah dengan nilai yang bernilai dan bukan nilai yang hanya dilihat secara harfiah yang penuh kepura-puraan lagi menjengkelkan....

Merasa kehilangan itu adalah sebuah nilai yang berharga ...................