Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Wednesday, September 29, 2010

Menjadi Satu kerana Yang Satu

Dua batang kayu disatukan dengan paku. Dua ketul batu disatukan dengan simen. Dua hati disatukan dengan apa?.... Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati Yang Satu, pasti mudah kedua-duanya bersatu. Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada Allah, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Ada ribut .... tetapi sekadar dalam cawan. Ada gelombang... tetapi cepat-cepat menjadi tenang!

Monday, September 27, 2010

Ziarah Kasih Eratkan Sillaturrahim..







Terharu dan gembiranya menerima kehadiran KJ, KU dan semua kekanda yang disayangi ke teratak buruk keluarga saya di Kampung Daching hari ini. Kehadiran sempena program 'ziarah kasih' JPM ini merupakan satu program yang baik dan patut diteruskan. Selain mengeratkan hubungan sesama ahli dapat juga merapatkan hubungan dengan ahli keluarga ahli. Kehadiran warga SKKD juga amat menggalakkan dan saya gembira menerima kehadiran mereka. Semoga keakraban sesama kita akan diberkati dan akan menjadikan kita saudara seagama yang saling menyayangi dan menghormati!....

Friday, September 24, 2010

Kelapangan Hati dengan Kemaafan


Kegembiraan, kemeriahan,keindahan, kesyahduan, kesyukuran dan pelbagai rasa hati dan perasaan, letaknya di hati kita. Pelbagai kalimat ini, memerlukan hati yang lapang untuk menampungnya. Jika sempit hati, bagaimana mampu menampung segala perasaan tersebut? Antara perasaan yang memberatkan hati dan menyempitkan jiwa adalah kemarahan. Api kemarahan, apabila marak akan membakar segala ruang yang diperlukan dalam seseorang. Memberi kemaafan ada kalanya lebih berat daripada memikul batu di bahu. Lebih-lebih lagi jika hati telah keras membatu, bersalut dengan dendam dan kebencian.Kemaafan akan membuka pintu kelapangan dalam jiwa. Jiwa pemaaf akan mengecap kelapangan perasaan terhadap saudara yang lain. Kelapangan perasaan adalah rahsia kebahagian hidup insan. Insan pemaaf akan menikmati kelapangan jiwa, hati dan perasaan. Kelapangan hati inilah rahsia kelapangan hidup sebenar.....!

Sunday, September 19, 2010

Selamat Menduduki UPSR Hero Mama!


Tarikh yang ditunggu-tunggu akhirnya akan tiba jua. Pada 21 hingga 23 September 2010 ini, semua murid tahun enam akan menduduki peperiksaan UPSR bagi menentukan pencapaian masing-masing sebelum melangkah ke sekolah menengah. Dalam memastikan kejayaan murid-murid ini sebenanrya memerlukan komitmen semua pihak terutamanya ibu bapa, para guru, rakan dan masyarakat. Namun debaran lebih dirasai oleh para guru dan juga ibu bapa berbanding murid-murid sendiri. Mungkin mereka masih belum memahami kepentingan dan konsep sebenar peperiksaan.
Hero mama, semoga segala usaha, tunjuk ajar daripada guru-guru, kesungguhan dan iringan doa daripada mama, ayah, nenek, kak long,adik dan semua yang menyayangi akan membuahkan hasil yang membanggakan. Apa-apa pun yang penting sekali, hadapilah peperiksaan dengan tenang dan hati-hati membaca dan menjawab soalan. PASTIKAN 5A milikmu. Kepada semua murid SKKD dan anak rakan-rakan yang menduduki peperiksaan yang sama semoga mereka berjaya. Insyaallah.

Thursday, September 16, 2010

Kebetulan tanpa jangkaan...




Syawal tahun ini menemu dan mengumpulkan semula adik-beradik yang telah merantau dan menetap di tempat lain. Kebetulan tahun ini semua memilih untuk beraya di Kampung Daching sebagai giliran berhari raya. Yang paling seronok pastinya emak, kerana semua anak dan cucunya balik berhari raya dengannya. Saya juga seronok dapat berjumpa dengan adik-adik dan anak-anak saudara yang tidak berjumpa hampir dua tahun juga.Lebih seronok lagi apabila keluarga saya dan keluarga adik yang menetap di Johor Baharu memilih warna kelabu sebagai tema baju hari raya tahun ini. Kami tak pernah merancang malah tak pernah bertanya pun tentang baju raya sebelum ini. Cuma di pagi raya barulah riuh jadinya apabila masing-masing mengenakan baju Melayu yang berwarna kelabu.Inilah kebetulan yang tak dijangka. Besarnya kuasa Allah hingga memberikan inspirasi yang sama kepada kami untuk memilih tema warna yang sama tahun ini.....Terima kasih Ya Allah.!Walaupun berhari raya dalam kesedihan saya masih mampu tersenyum dan akan terus senyum dalam meneruskan kehidupan yang tidak pasti bila bernoktahnya....!

Sunday, September 12, 2010

PadaMu ku bersujud


Kumenatap dalam kelam
tiada yang bisa kulihat
selain hanya namaMu Ya Allah

esok ataukah nanti
ampuni semua salahku
lindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
jadikan aku selamanya
hambaMu yang selalu bertakwa

ampuniku Ya Allah
yang sering melupakanMu
saat Kau limpahkan kurniaMu
dalam sunyi aku bersujud.......


Kepada semua insan yang kusayangi SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI, semoga sentiasa dilindungi Allah. Salam rindu dan sayang selalu!

Thursday, September 2, 2010

Cantik di Hati:


Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain,itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar,itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Allah.
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati.
Ambillah waktu untuk memberi, itu akan membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju ke syurga.