Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Monday, June 28, 2010

Ubat Kerinduan dan Bebanan Tugas


Semester dua sesi 2010 bermula hari ini. Sebenarnya memang inilah hari yang ditunggu-tunggu lantaran kebosanan menghabiskan cuti tanpa pengisian yang berkualiti. Hampir sebulan tidak memandu 'bmw' putih yang disayangi ini. Hari ini dia memulakan tugas rasminya semula membawa dan menghantar tuannya pergi dan balik kerja. Seronok dapat bertemu semula dengan rakan-rakan seperjuangan yang dirindu. Sepanjang cuti ada dapat dihubungi melalui telefon dan sms. Namun ada juga yang 'sepi' tanpa perkhabaran.... Hari ini semuanya terubat semula. Semester sesi ini menjanjikan bebanan tugas yang lebih berat.Kelas bercantum dan subjek yang berat. Namun begitu demi tanggungjawab dan tugas yang wajib dilaksanakan, semuanya akan diharungi dengan tabah dan penuh kesungguhanan. Semoga segalanya mendapat keberkatan ......

Wednesday, June 23, 2010

Memetik Suis Ketenangan


Ketenangan itu ada di dasar lubuk hati, tetapi suisnya berada di luar diri. Ia ada di mana-mana hanya menunggu untuk dipetik dan diusahakan.Ketenangan tidak akan terkocak di dalam sekiranya tiada sebarang usaha dilakukan.Ramai yang menginginkan ketenangan dengan bersunyi dan menjauhkan diri dari manusia lain. Dengan cara itu diharapkan ketenangan akan hadir dan kita akan mengecap keindahannya, sedangkan kanun Allah memperuntukan bahawa kita perlu meraih dan memetik-metik suis di luar dengan menghulurkan bantuan kepada manusia lain. Hasilnya akan melimpah masuk ketenangan ke dalam samudera rasa dan damai. Justeru, kunci asas bagi mendapat ketenangan adalah dengan mengusahakan sesuatu perkara seikhlas mungkin di dalam daerah hubungan dengan Allah dan juga hubungan sesama insan.


Kiffah Motivator & Traininig

Saturday, June 19, 2010

Kesedihan dua insan yang kusayangi



Hampir seminggu berada di rumah mentua, tanpa jaringan internet membuatkan mindaku sedikit beku.Namun begitu, perkhabaran sedih yang menimpa kedua-dua insan utara yang aku sayangi ini agak mengejutkan dan sudah pasti menyedihkan aku juga. Mulanya aku mendapat berita tentang Kak Yam yang cedera hingga patah tangan. Selang sehari aku menerima pula berita ayahanda abang Im kembali kerahmatullah.
Kecederaan Kak Yam tidak aku pasti puncanya sehinggalah aku melawatnya sendiri. Doaku semoga kakak yang disayangi ini cepat sembuh dan boleh kembali bertugas semula.
Abang Im pula, sebelum ke rumah mentua aku sempat juga membaca cerita dalam blog beliau. Tajuknya 'Aku, Kasut dan Tukangnya'. Sedih juga ceritanya. Mungkin semasa beliau menulis beliau sudah mula merindui ayahnandanya itu. Namun aku yakin abang Im bukanlah anak seperti anak tukang kasut itu. Semoga beliau meredai pemergian insan yang dikasihi dan mendoakan semoga rohnya diterima dan diberkati Allah. Harap beliau tabah dan dapat menerima ketentuan Illahi dengan tenang.
Aku juga ada kesedihanku sendiri .... tetapi biarlah sedih itu berlalu bersama-sama cuti yang membosankan ini!

Thursday, June 10, 2010

Setiap ujian ada pahala besar!


Tertarik dengan artikel dalam majalah kegemaran saya MW, ingin rasanya berkongsi dengan rakan-rakan penggemar blog. Antara intipati artikel berbunyi" Apabila berhadapan dengan dugaan, hendaklah kita pandai menerima ketentuan dan takdir Allah secara positif supaya hati kita akan tenang dan kita juga akan mendapat hasil yang positif daripadaNya.
Contohnya: Jika ditakdirkan kita mendapat anak-anak yang nakal.Setiap hari ada sahaja kelakuannya yang mengganggu kita. Kalau kita menerimanya secara positif, kita akan berkata kepada diri kita,"Kerana dosa-dosa akulah anak-anak aku nakal.Allah buat seperti ini untuk membersihkan dosa-dosa aku yang lepas."
Allah beri kita ujian ini untuk memberi kita pahala besar. Kalau kita sabar, bukan sahaja kita akan dapat ganjaran di sisi Allah tetapi yang lebih penting, kita dapat mendekatkan diri kepada Allah.Lantaran itu, terimalah segala takdir Allah dengan sebaiknya. Anggaplah setiap takdir itu sebagai didikan terus daripada Allah dengan penuh kasih sayang. Dengan sikap sebegini, hati tidak akan tertekan, kita dapat menambah rasa kehambaan serta dapat pula mengungkai sifat-sifat yang tidak baik dalam diri kita dengan lebih cepat. Malahan kita juga tidak akan mengakibatkan kesan tidak baik kepada orang di sekeliling kita."
Wallahualam.

Tuesday, June 8, 2010

Bicara buat teman ....


Tanda-tanda orang yang budiman ialah dia akan berasa gembira jika dapat berbuat kebaikan kepada orang lain dan dia akan berasa malu jika menerima kebaikan daripada orang lain. Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab yang merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat. _Khalifah Abdul Malik Marwan

Sunday, June 6, 2010

Amirul dan ManUnited


29 Mei 2010 genaplah usia 12 tahun putera yang disayangi Mohd. Amirul Hakim. Perkara yang paling istimewa tentang Amirul adalah minatnya yang terlalu mendalam kepada bola sepak. Semua perkembangan tentang bola sepak sama ada tempatan ataupun antarabangsa ada dalam kepalanya. Sempena hari lahirnya itu, 'twinbakies' bakery telah berjaya menghasilkan kek yang ada logo MU dan muka Amirul di sebelahnya. Sambutan hari lahir yang diadakan di sekolahnya itu amat menggembirakannya kerana tidak menyangka akan mendapat kek yang istimewa seperti itu. Apa-apapun, selamat hari lahir puteraku, semoga sentiasa dilindungi Allah, dimudahkan dalam menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh segala kebaikan hendaknya. Terima kasih kepada guru-guru yang sudi mengendali dan meraikan majlis tersebut.