Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Thursday, January 27, 2011

'Markisa' buat mimpi lebih indah!




Buahnya nampak pelik dan jarang ditemui. Cuma kini baru bersua dan menikmati kelazatannya. Markisa banyak khasiat dan mampu meredakan pelbagai ketegangan penyakit kerana kandungan nutrisinya. Markisa kaya dengan vitamin-vitamin B yang menenangkan dan potassium yang merilekskan sistem saraf. Orang Amerika Selatan secara tradisional makan markisa untuk membantu tidur. Bahkan menurut mereka, makan sebiji buah markisa sebelum tidur bisa membuat mimpi jadi lebih indah........




Syukur kepada Allah, walaupun selepas 40 tahun barulah mengenali dan dapat merasa manisnya 'markisa'. Terima kasih kepada pembekal 'markisa' di JPM. Semoga kebaikan dan kemurahan hatinya dibalas dengan kebaikan jua daripada Allah.

Saturday, January 22, 2011

Pemaaf ....Sifat Manusia Hebat!

Orang yang mudah meminta maaf dan mudah pula memberi maaf kepada orang yang berbuat salah kepadanya adalah orang yang hebat. Mengapa? Hal ini kerana tidak ramai yang sanggup menundukkan perasaan ego dan sombong untuk berbuat demikian.
Walaupun pada pandangan manusia, orang yang pemaaf itu tiada apa-apa keistimewaannya, tetapi lama-kelamaan insan pemaaf akan dipandang tinggi oleh orang lain. Hal ini ditunjukkan sendiri oleh jinjungan Nabi Muhammad s.a.w yang mudah memaafkan manusia yang berbuat jahat kepadanya.
sikap pemaaf ini hanya dimiliki oleh jiwa bersih dan suci. Orang yang pemaaf mempunyai hati yang kaya, kerana ia tidak ambil hati terhadap kata-kata dan perbuatan orang lain kepadanya. Lantaran kekayaan jiwa yang memenuhi hatinya, maka perbuatan jahat orang lain terhadapnya tidak memberi kesan kepada hatinya. Yang penting bagi insan pemaaf ini ialah sifat berkasih sayang sesama manusia.......

Sayang Iz: Dalam kerendahan hati, ada keluhuran budi, dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa!

Thursday, January 20, 2011

Fitrah Manusia .... Sayang - menyayangi

Hidup manusia akan terbatas dan terkongkong apabila ada sekatan perasaan dan kejiwaan sesama manusia. Sebaliknya terbuka dan bebas ( dalam peraturan dan undang-undang) apabila ada kasih sayang dan saling mempercayai sesama insan.

Dunia ini berputar kerana kasih sayang Allah. Beredarnya matahari, bulan, bintang dan planet juga adalah kerana kasih sayang Allah. Adanya siang dan malam, hujan dan panas dan empat musim dalam setahun juga adalah kerana kasih sayang Allah.

Kasih sayang itu makanan rohani. Sesiapa yang tidak merasai kasih sayang, rohaninya dan jiwanya menderita, tersiksa dan hilang kebahagiaan. Kasih sayang adalah perkara rasa, mainan hati dan merupakan fitrah manusia.

Fitrah semulajadi manusia adalah sama. Tidak kira asal keturunannya, bangsanya, agamanya, negaranya dan dari zaman mana dia hidup. Kasih sayang adalah tuntutan fitrah. Fitrah suka dikasihi dan mengasihi, suka disayangi dan menyayangi!

Tuesday, January 18, 2011

Dia sudah boleh beraksi di pentas SEMESRA











Hanya kesyukuran dipanjatkan kehadrat Illahi, justeru mungkin doa-doaku didengariNya. Lapang sedikit gelodak di jiwa ini, apabila melihat dia sudah boleh senyum, ketawa, bermain dengan girang bersama--sama rakan dan lebih mengkagumkan dia boleh beraksi dengan baik di atas pentas SEMESRA. Katanya kalau rindu dan ingatkan mama dia akan menatap foto-foto yang dibekalkan......
Kunjungan ke SEMESRA (SBP Sains Rembau) petang tadi, menjawab persoalan yang bermain-main di jiwa, melerai kekusutan di hati mama. Akhirnya dia berjaya menamatkan sesi minggu orientasi di situ dengan cemerlang. Dia sudah berikrar akan menjadi warga SEMESRA yang berilmu, beramal, berbudi dan berbakti. Bangganya di hati tatkala mendengar laungan ikrarnya itu.
Cuma bohonglah mama kalau mama kata mama sudah tidak bersedih lagi, sebenarnya hati ini masih menangis....... namun demi masa depannya terpaksa disembunyikan perasaan yang pilu itu.
Semoga Allah sentiasa melindunginya, melapangkan dadanya menerima ilmu pelajaran, menguniakan kesihatan yang baik, memanjangkan usia dan menjadikannya tabah menghadapi dugaan! Semoga dia akan jadi insan mulia di sisi masyarakat dan mentaati perintah Allah.

Monday, January 17, 2011

Terima kasih buat sahabat sekalian.....




Persahabatan tidak terjalin secara automatik tetapi memerlukan proses yang panjang. Persahabatan diwarnai dengan berbagai pengalaman suka dan duka, dihibur dan disakiti,diperhatikan dan dikecewakan, didengar dan diabaikan, dibantu dan ditolak. Namun semua itu tidak pernah sengaja dilakukan apatah lagi untuk tujuan kebencian.

Kerinduan adalah menjadi sebahagian daripada kehidupan sahabatnya kerana tidak ada persahabatan yang diwakili dengan sikap egoistik. Semua orang mengharapkan sahabat sejati namun tidak semua berhasil mendapatkannya.

Banyak juga telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu hancur kerana dikhianati sahabatnya. Apa-apa yang kita alami demi persahabatan kadang-kadang melelahkan dan menjengkelkan, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah......!

Terima kasih sahabat warga JPM. Sayang Iz sayang akan anda sekalian!

Saturday, January 8, 2011

Buat Mata yang Sedang Menangis....


Duhai mata yang sedang menangis....Mungkin tika ini kau sedang bahagia, mungkin juga kau sedang berduka. Apa pun situasimu, air yang mengenangi kelopakmu dan mengalir ke pipi adalah anugerah Allah s.w.t. yang tak terhingga. Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Sama ada kau lelaki atau wanita, kau perlu pada tangisan. Ia menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.
Tidak siapa dapat menafikan, selagi kita bergelar insan biasa yang punya hati dan perasaan kadangkala isi hati perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan.
Duhai mata yang sedang menangis...Sungguh bertuah kau masih mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu. Luahkannya dengan rasa takut dan harap pada Allah s.w.t.

Semoga anakanda yang disayangi tabah mengharungi dugaan! Yakinlah mama amat menyayangimu.!

Wednesday, January 5, 2011

Jihad itu Perlukan Pengorbanan...


Menitisnya air mata lantaran perpisahan ini sebenarnya merupakan satu pengorbanan....... Kalau mahu ikutkan hati memang tidak mahu meninggalkannya di situ. Namun demi mendapatkan peluang belajar yang terbaik sebagai persediaan masa depannya, perpisahan ini terpaksa direlakan juga. Air mata yang mengalir lambang kasih dan sayang mama dalam mengiringi perjuanganmu yang mama sayangi. Sesungguhnya menuntut ilmu itu satu jihad sayang mama..... ! Semoga tabah, dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan dapat menimba ilmu pengetahuan dengan cemerlang.
Setiap kejayaan memerlukan usaha, manakala usaha pula menuntut kepada pengorbanan. Semoga pengorbanan ini tidak disia-siakan.....Selamat berjuang di SEMESRA(SBP Sains Rembau).
Mama yakin Yoi BOLEH! dan akan jadi anak yang kebanggaan mama, ayah, nenek dan seisi keluarga.....

Saturday, January 1, 2011

Anjakan Waktu dan Usia


Tanpa kita minta, 2011 tetap hadir dengan harapan baru, cerita baru dan pelbagai lagi yang baru. Cuma perlu juga kita fikirkan, sama ada tanggungjawab yang kita pikul pada 2010 sudah sempurna dilaksanakan atau masih tegantungan berhutangan......Begitulah lumrah kehidupan. Bila tiba tahun baru semua sibuk dengan azam baru yang macam-macam. Cuba tanya azam 2010 dah tercapai ke?
2011 menganjak setahun lagi usia kita. Kita sudah mula dimamah usia.... Si Manjaku Aiman juga sudah memulakan persekolahan pada 31 Dis 2010 yang lalu. Macam tak percaya Aiman sudah masuk darjah satu lantaran tubuhnya yang kecil dan comel. Rata-rata rakan menyangka Aiman baru berusia 4 atau lima tahun!. Semoga Aiman dapat mengikuti pembelajaran dengan cemerlang.
Mama tahu Aiman seorang kanak-kanak yang bijak....! Terima kasih Allah atas anugerah Mu ini.....
2011 mungkin kami lebih kesunyian lantaran kak long dan bang Ngah yang akan ke asrama. Sebenarnya jauh di sudut hati, mama sangat kerisauan....