Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Monday, January 23, 2012

Nikmat berkata-kata.



Apabila kita ingin sesuatu perubahan pada diri kita, maka kita perlu perhatikan kata-kata yang kita ucapkan. Kata-kata yang keluar daripada mulut ada pengaruh kepada diri kita sendiri. Berkata-kata yang elok untuk mendapat kehidupan yang elok. Kata-kata adalah doa yang didengarNya.



Namun ramai dalam kalangan kita berasakan apalah sangat makna kata-kata yang disebut secara bergurau, secara keluhan, secara nyanyian atau sebagainya. Sering kali ada yang mengeluarkan kata-kata negatif tanpa berfikir panjang. Lagu yang didendangkan juga banyak mempengaruhi kehidupan kita, bayangkan jika setiap hari kita mendengar lagu-lagu yang berunsur ketuhanan, lagu-lagu yang menyimpan makna positif, lama-kelamaan liriknya akan terlekat juga di sanubari kita tanpa kita sedari. Hal ini kerana kata-kata yang baik akan menjadi doa yang baik.



Begitu juga jika saban hari kita mendengar lagu yang penuh dengan putus harapan, tiada daya juang, atau berasakan diri amat malang, bagaimana dengan jiwa yang setiap kali mendengarnya. Apalagi jika ketika itu orang tersebut benar-benar sedang mengalami kekecewaan. Pasti jiwa itu akan semakin sayu, semakin sedih dan air mata kecewa mungkin akan mengalir. Dan aura positif akan tercalar...........






Sayang IZ: Kerana itu kita sering mendengar kata-kata seperti ini: 'Kita adalah apa yang kita fikirkan'. Jadi fikirkanlah kenapa Allah mencipta kita?

Wednesday, January 11, 2012

Sukarnya membohongi HATI!

Antara sakit yang lebih menyakitkan daripada pelbagai penyakit yang lain ialah apabila hati kita disakiti. Lebih parah dan teramat sakit jika yang menyakiti itu orang kita sayangi, yang kita hormati yang kita kasihi.

Mengapa ada yang rasa amat puas dan gembira teramat apabila berjaya menyakiti hati orang lain?!

Tapi.... bukalah hati dan lapangkan jiwa. Walau sesukar mana kita terpaksa menerima sesuatu keadaan. Hanya orang yang terpilih dan berpegung teguh pada ajaran agama yang dapat membuka hatinya untuk menerima apa-apa saja keadaan. Selain persoalan iman yang perlu ditingkatkan, pengurusan hati memang persoalan yang mesti kita selesaikan terlebih dahulu.

Kita mesti sedar bahawa mungkin dengan membuka hati barulah dunia akan terbuka. Menyedari bahawa kadang-kadang hidup ini memang tidak sesuai dengan apa yang kita harapkan tetapi kita tetap melangkah jua.

Apa yang kita alami itu hanyalah cubaan kecil yang Allah turunkan buat menguji kita. Yakinlah bahawa orang lain mungkin malah pernah menghadapi persoalan yang lebih parah, lebih rumit daripada semua kekecewaan yang kita hadapi.......

Yakinlah, Allah akan memberi pertolongan selagi kita bersandar kepadaNya.


Sayang Iz: Air mata tak bererti lagi......dan hati memang sukar untuk dibohongi!

Saturday, November 26, 2011

Jangan salahkan takdir



Menggapai sesuatu sehebat yang mungkin adalah impian semua orang. Semua mahu sukses dalam kehidupan, pekerjaan, rumah tangga dan sebagainya. Tidak kira berapa banyak pun ujian dalam hidup, jangan sesekali kita menyalahkan takdir yang terjadi. Jangan jadikan takdir sebagai alasan sebaliknya kita harus tahu di tahap mana kemampuan diri kita.








Ramai orang tersilap kerana terlalu yakin pada diri sendiri sedangkan banyak kelemahan yang sengaja ditutup demi mengaburi mata orang lain. Menyalahkan diri sendiri atas sesuatu kegagalan adalah perkara biasa tetapi menyalahkan orang lain atas kegagalan kita itu sudah melampau!








Membina ketahanan diri adalah faktor paling sukar dilakukan kerana ramai yang sering kalah dengan situasi. Kadang kala kita begitu berkeyakinan mampu melakukannya tetapi atas tiadanya sokongan, pelbagai desakan dari sekeliling membuatkan ketahan diri itu rebah akhirnya. Justeru, untuk berjaya kita perlu membina ketahanan diri agar dapat mengatasi semua masalah yang mendatang.








Sayang Iz : Dan malam adalah masa yang mendatangkan kesan....... EMOSI atau EMOSIONAL! Namun tahniah kepada yang berjaya menjiwai dua watak dalam satu masa. HEBAT!




Monday, November 14, 2011

kasih sayang tanpa syarat

Ada kalanya dalam hidup ini perasaan kasih sayang yang ada masih belum mencukupi. Lebih-lebih lagi apabila kasih sayang itu dilingkari dengan syarat-syarat tertentu. Ia masih belum mampu mengubah persekitaran yang ada. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang yang lebih tulus dan kudus, kasih sayang tanpa syarat.
Bukankah kasih sayang Allah pada kita tanpa syarat. Dia menjadikan kita dengan sempuran tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Allah kepada kita, maka tidak habis kalau kita hendak menghitung pemberian Allah. Demikianlah kasih sayangNya padanya.
Begitu juga seharusnya apa yang berlaku cetusan emosi kasih sayang sesama insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana ibu mengharapkan masa tua anak akan membalasa jasa ibu.
Namun begitu, persengketaan sesama insan sering menenggelamkan perasaan kasih sayang. Persekitran hidup yang sebelumnya indah, akhirnya dipenuhi dengan perasaan kebencian, dendam, dan sebagainya. Segala kebaikan yang pernah dicurahkan, semua terpadam daripada ingatan. Perkara yang berlegar-legar di fikiran hanya rancangan-rancangan negatif yang bakal menambah kelukaan jiwa ke tahap yang lebih parah.
Justeru dalam mengharungi apa jua kemelut yang berlaku, hidup dan suburkan kembali rasa kasih dan sayang ini. Nilai kasih dan sayang ini perlu ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih bermakna iaitu sayang yang tidak bersyarat atau kasih sayang tanpa syarat.

Sayang Iz: Orang yang kita sayangi belum tentu menyayangi kita juga..........!

Wednesday, November 9, 2011

Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu kali ke VII




Syukur alhamdulillah..... lega, puas, seronok, gembira dan macam-macam lagi rasa yang tak dapat digambar atau dituliskan dengan kata-kata. Setelah tamat sesi 1 pembentangan selari yang diadakan di Dewan Seminar, Fakulti Kejutueraan UPM, terasa bagaikan hilang beban berat yang digalas. Sebagai pemakalah kecil yang berdiri dalam kalangan pemakalah yang sudah ada nama dalam persada pendidikan tiada kata lain yang dapat diucap selain rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana telah memberi kekuatan kepada hambaNya yang serba kekurangan melaksanakan tanggungjawab dengan mudah dan lancar.
Seminar antarabangsa ini juga memberi peluang kepada pemakalah berinteraksi dan berkenalan dengan pemakalah-pemakalah dari luar negara seperti Indonesia, Brunai dan Singapura. Terasa juga ingin menjadi pemakalah di tempat mereka sepertimana mereka datang menjadi pemakalah di tempat kita....


Sayang Iz: Jom hubby dan rakan-rakan JPM kita bentang 'paper' di Bandung ye...

Friday, November 4, 2011

Jiwa yang bersatu...


Kalau hati suka, tidak rasa penat menyediakan makanannya setiap hari. Kadang-kadang kita lihat dia berbaring di kusyen yang kita ingin duduk, lalu kita tidak jadi melabuhkan punggung dan beralih ke tempat lain.
Sedangkan dia tidak mendatangkan apa-apa hasil buat kita, tetapi kita terhibur oleh kehadirannya itu. Kadang-kadang terpaksa berbelanja lebih untuk makanannya yang sememangnya mahal.
Apabila hendak baring dia akan mencari bantal, apabila hendak makan dia datang meminta, ketika kami sedang menikmati hidangan langsung dia tidak membuat kacau. Ketika hati telah suka rengekan menjadi hiburan, apabila dia tiada kita terasa resah dan tercari-cari dan dipanggil-panggil, tidak mengapa bersusah payah untuk membuatkannya gembira, sebab hati kita gembira melakukannya.
Begitulah bagaimana Si Hitam Meet telah dapat menempatkan dirinya di tengah-tengah kehidupan manusia yang eksklusif. Kerana apa? Kerana dia telah berusaha keras memahami manusia. Begitu juga manusia, kita perlu berusaha memahami dan menerima kelompok di sekeliling kita sebagai keluarga.
Semestinya kita boleh belajar banyak perkara melalui haiwan-haiwan peliharaan kita. Jiwa seolah-olah telah bersatu apabila kucing dianggap sebagai ahli keluarga, dia tidak lagi dilihat sebagai haiwan biasa.......

Sayang Iz: Dia memang manja dan sangat pandai mengambil hati.....

Friday, October 28, 2011

Catatan Peringatan Sempena Hari Lahir...

25 Oktober 1969 telah dicatat sebagai tarikh lahirku. Satu pesanan melalui Facebook kiriman kakak tersayang membuatkan diri terkesima dan mula merenung sejauh mungkin maksud yang cuba disampaikan. Antara lain katanya, apabila tarikh hari lahir kita tiba, sebenarnya memberitahu bahawa umur kita untuk hidup sudah berkurangan setahun. Kita hanya tahu tarikh lahir tetapi kita tidak tahu bila kita mati.
Kehidupan di dunia akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kenangan mengenai insan-insan yang kita sayang. Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangkitkan kita daripada angan-angan panjang mengenai nikmat hidup yang tidak bererti tanpa sifat berkekalan.
Mustahi bagi manusia mengetahui empat hal ghaib iaitu kelahiran, kematian, rezeki;amal dan kesudahan hidupnya sama ada baik atau sebaliknya. Kesemuanya terpatri di luh mahfuz, tersimpan di bank Allah yang tidak terjangkau oleh akal manusia yang terbatas.
Kemampuan untuk mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Apabila kegembiraan mencurah-curah dari hati, bolehlah kita selitkan pengetahuan mengenai mati, apabila cita-cita tercapai, kemewahan dikecapi, kebahagiaan tidak sudah-sudah, adakah kita ingat esok kita mati dan semua akan musnah!

Sayang Iz: Kehujanan melawat Bandaraya Bersejarah bersama-sama hubby dan murid-muridnya sedikit mengugat kesihatan ini. Ini juga satu peringatan!