Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Wednesday, March 31, 2010

Bagiku Sahabat yang Baik Tidak Pernah Tua!


Untuk memiliki sahabat kita perlulah bermula dengan menjadi seorang sahabat. Memiliki seorang sahabat yang baik umpama memiliki saudara sendiri. Kata orang kawan ketawa senang dicari tetapi kawan menangis sukar sekali. Ikatan persahabatan yang kukuh ibarat kuku dan isi takkan terpisah walau dilambung ombak kehidupan.Sebagai sahabat janganlah lakukan sesuatu terhadap sahabat kita apa-apa yang kita tidak suka dilakukan pada diri kita sendiri.Usahlah sesekali membasuh mangkuk persahabatan dengan cuka kerana sahabat sangat penting dalam usaha ke arah kejayaan diri kita.Oleh itu, janganlah dirosakkan tali persahabatan dengan perbuatan yang negatif. Dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.

Tuesday, March 30, 2010

Dia amat menarik..


Individu menarik memancarkan kuasa menariknya dengan gerak badan yang menyenangkan. Mereka memahami kuasa yang wujud daripada gerak badan mereka. Ia berfungsi lebih hebat daripada kata-kata yang diucapkan.Kita dapat berasa kehadiran menarik dalam diri seseorang, tetapi kita sukar menjelaskan ciri menarik itu.Cara yang mudah mengenal pasti kehadiran menarik adalah dengan melihat bagaimana seseorang itu menggunakan gerak badannya memberi mesej simbolik.Apabila seseorang masuk ke dalam suatu majlis, perhatikan bagaimana mereka senyum, gerak mata, gerak tangan dan kedudukan bahu mereka.
Yang pasti, takkan hilang keanggunan dan kejelitaan walaupun berada di permatang sawah nan menghijau.......

Monday, March 29, 2010

Tiga beradik yang setia!


Sepanjang 3 hari dua malam menelusuri perjalanan program JB 3, pelbagai pengalaman manis yang dialami. Pastinya terpahat kukuh di sanubari setiap yang mengikuti program.Kagum dan menghormati akan komitmen dan kesungguhan semua rakan pensyarah JPM dalam memastikan program berjalan lancar. Lebih kagum lagi , tiga beradik ini yang tidak jemu-jemu dan tiada rasa malu mengikuti semua aktiviti dari mula hinggalah ke akhir. Walaupun nampak macam 'nyonya sayur' tiga beradik yang setia ini tetap anggun dan manis!

Thursday, March 25, 2010

Akhirnya anakanda Syafiq buktikan....



Hari ini telah berlansung pertandingan Pidato Intergriti IPG Piala Menteri Pelajaran peringkat zon selatan dan zon tengah. Aku yang hadir dengan seorang sahaja penyertaan lantaran peserta kedua yang telah menarik diri sebelum bertanding, pada awalnya menjadi bualan dalam kalangan pensyarah pengiring yang lain. Kata mereka biarkan pelajar tu bertanding, kenapa nak tarik diri dan macam-macam lagilah ulasan dan pendapat yang mereka luahkan...Sebenarnya aku berasa malu dan segan juga kerana mereka semua mendaftarkan dua orang peserta. Namun apa dayaku, Hisham menarik diri di saat akhir menyebabkan aku tidak berkesempatan mencari pengganti!Aku enggan mengulas panjang lantas mendiamkan diri mengikuti sesi pertandingan. Hisham tetap aku bawa bersama bertujuan untuk memberi semangat dan keyakinan diri kepadanya.
Harapan hanya tertumpu pada Syafiq.Persaingan amat sengit.Johan, naib johan dan ramai peserta lain yang menyertai pertandingan pidato piala Datin Asarian pada 2009 turut mengambil bahagian. Tapi dari awal aku yakin Syafiq tidak akan mengecewakan aku.Aku tetap tenteramkan dia walau pun sebenarnya aku juga tidak tenteram.
Hampir jam 4.30 petang pertandingan tamat dan keputusan diumumkan. Menurut Ketua Hakim mereka juga sukar memilih pemenang kerana beza markah antara pemenang pertama, kedua dan ketiga terlalu kecil.
Tahniah Syafiq! Dia dapat tempat ketiga manakala johan dan naib johan digondol oleh tuan rumah sendiri. Aku puas hati dengan keputusan hakim kerana perbezaan markah mungkin disebabkan pengaruh tepukan penonton kepada peserta tuan rumah!
Kemudian, rakan-rakan pensyarah yang lain berkata-kata lagi, kata mereka Raja Melewar bawa seorang pun boleh menang.....Tak kisahlah, apa-apa pun aku gembira hari ini.
TAHNIAH ANAKANDA DAN TERUSKAN PERJUANGAN DI PERINGKAT KEBANGSAAN.

Wednesday, March 24, 2010

Kehidupan yang bernafas..!


Sering kali kehidupan tak memberikan apa yang kita inginkan. Tetapi tak jarang pula kehidupan memberikan apa yang kita minta. Satu waktu, begitu mudahnya apa yang kita panjatkan terkabul. Tapi di waktu yang lain, sulitnya tak tertanggungkan meski kita sudah 'membanting-bantingkan tulang'.

Kehidupan yang kita jalani memang tak ubahnya seperti roda berputar; kadang-kadang berada di atas, kadang-kala berada di bawah. Setiap orang pasti mengalami situasi semacam ini; ada yang bisa menjalani dan melewatinya dengan wajar dan bermatabat, tetapi tidak sedikit pula yang terpental dan melewatinya dengan cara 'tak wajar' kerana memilih jalan pintas.

Sanjungan kepada mereka yang bertahan dan hidup terhormat di tengah keterbatasan tersebut, padahal godaan untuk menempuh jalan pintas sering kali menghampiri....!


.......di tengah kepekatan malam! Tiba-tiba aku rindu.

Tuesday, March 23, 2010

PENAT....! tiada dalam diari seorang guru.


Apabila anda memilih untuk menjadi seorang guru ataupun pendidik, anda perlu menyediakan minda, fizikal, dan persekitaran yang tepat dengan kerjaya dan kehidupan seorang GURU. Tugas mendidik tidak berakhir apabila berbunyinya loceng balik sekolah pada setiap hari. Begitu juga para pendidik. 'Punch out' pada pukul 4.45 petang bukan bermakna tamatnya tugas seorang pendidik pada hari tersebut. Tugasnya berlarutan hingga di rumah dan berhenti bila dia melelapkan mata terlena. Itupun kekadang mimpinya juga tentang tugas-tugas sebagai guru yang belum atau perlu dilaksanakan keesokannya.
Menjadi guru, bererti kita telah bersedia memadamkan makna 'penat' atau letih dalam dairi hidup kita. Tugas mendidik tidak pernah berhenti setakat di bilik darjah atau di bilik kuliah, waktu malamnya disambung lagi melalaui talian internet, telefon ataupun pesanan ringkas. Semua perlu dilayan, perlu dijawab, perlu diselesaikan, dan sebagai pendidik kita akan berasa amat puas apabila berjaya menyampaikan ilmu dan mendidik,menyelesaikan kekusutan anak didik kita sehinggalah mereka berasa'lega'dan akhirnya berjaya.
Kepada bakal pendidik, menjadi seorang guru bukanlah cara mudah untuk memperoleh kesenangan ataupun kekayaan tetapi menjadi seorang GURU adalah jalan singkat untuk mengumpul aset di hari kemudian yang lebih membahagiakan......ADIOS!

Saturday, March 20, 2010

Sukar, sedih dan sakitnya melepaskanmu...


Memang terlalu sukar dan sedih untuk membiarkan kau pergi kerana setelah sekian lama kita bersama-sama menyulami kehidupan ini..... Namun apakan daya demi meneruskan perjalanan hidup terpaksa aku relakan.Walaupun pelbagai ikhtiar telah diusahakan namun semuanya tidak membuah hasil yang diinginkan.Mungkin takdir telah menentukan kita terpaksa berpisah pada usia sebegini!
Akhirnya, terpaksa juga aku membuat keputusan untuk membiarkan kau pergi, berpisah terus dariku......lantaran kesakitan dan kerosakan yang kau alami.Sedih, takut dan kecewa kerana gagal menjagamu dengan baik sentiasa bermain-main di mindaku ini.Tetapi, seingat dan setahu aku, aku telah memelihara, menjaga dan membuat semua yang terbaik untukmu.Kepada yang masih memiliki GIGI yang sihat, bersih dan cantik, jagalah dengan sebaik-baiknya kerana untuk memisahkan gigi yang kita sayang daripada kita adalah sesuatu yang AMAT menyakitkan. Aduh SAKITnya....

Monday, March 15, 2010

Lapangkan hati, maafkan segala kesalahan....


Allah sentiasa menguji keimanan hamba-Nya. Adakah kita mampu diuji dan redha menerima ujian?Bagi mereka yang sabar dan sentiasa ingat bahawa hidup ini adalah tempat tinggal sementara, pasti mereka sanggup menempuh apa juga ujian yang diberikan Allah, untuk mendapatkan ganjaran lebih besar yang dijanjikan Allah di tempat tinggal kekal kelak.

Dalam perjalanan kehidupan ini, pasti kita tidak terlepas daripada melakukan pelbagai kesilapan dan kesalahan.Mencari keampunanan Allah lebih mudah daripada meminta ampun daripada manusia. Kerana hidup ini selain mengabdikan diri untuk Allah, kita pun tidak boleh mengabaikan hak dan hubungan sesama manusia.Kita bertanggungjawab untuk sentiasa bersangka baik dan memaafkan kesalahan orang lain, agar kemaafan juga mudah dihulurkan kepada kita. Untuk itu minta Allah membimbing hati kita agar sentiasa sabar. Kesabaran adalah air yang menyejukkan api kemarahan. Dan kesabaran juga mampu melenturkan nafsu yang sentiasa beraja di hati.....

SALAM RINDU.....

Thursday, March 11, 2010

"Generasi Sandwich'


Usia dewasa pertengahan sememangnya membawa pelbagai perubahan dalam kehidupan manusia. Individu pada usia pertengahan ini dilabelkan sebagai 'generasi sandwich' kerana mereka bertanggungjawab ke atas ibu bapa dan dalam masa yang sama,mereka mempunyai tanggungjawab ke atas anak-anak mereka juga. Perkembangan personaliti pada usia pertengahan dapat dilihat daripada perubahan perasaan atau emosi aktif kepada pasif.Penyelidik berpendaapt bahawa pada usia 40an, manusia merasakan mereka mampu mengawal persekitaran,halatuju dan juga akibat daripada keputusan mereka sendiri.Kimmel (1980) menyatakan bahawa personaliti usia pertengahan adalah lebih stabil daripada kehidupan awal mereka. Individu ini juga menambah pengalaman mereka untuk mengendali stress dan masalah.
Selain itu, usia sebenarnya bukan faktor yang menghalang individu untuk melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, menjelajah hutan, berkayak dan lain-lain lagi.
Dan yang penting, pada usia 40-an,individu sudah mencapai tahap prestasi yang baik dalam hidup berikutan pendidikan dan juga pengalaman yang banyak....!

Wednesday, March 10, 2010

Mahu Gembira atau Duka, Terpulang pada Diri Sendiri




Dalam kita meniti titian hidup yang rencam ini, sebenarnya kita mempunyai pilihan sama ada untuk berasa gembira atau berduka. Kita BERDUKA bukan disebabkan apa-apa yang berlaku TETAPI kita berduka kerana membiarkan diri kita dikuasai oleh EMOSI yang terlahir daripada sesuatu perkara yang menyedihkan kita. SEPATUTNYA kita mesti mengawal emosi kita dan jangan sesekali membiarkan emosi mengawal kita...!
Takut berhadapan dengan kenyataan bermakna kita takut dengan bayang-bayang sendiri.....!AWAS!

Tuesday, March 9, 2010

Tarian hidup........!


Kehidupan tidak selalu sesuai dengan angan-angan malah selalunya berlansung di luar dugaan. Pada umumnya manusia berharap kehidupannya selalu dalam keadaan yang baik dan melegakan.Manusia selalu berharap menggenggam terus kebahagian yang sudah diraih. Itulah harapan azali setiap orang di muka bumi Allah ini.

Menyayangi dan disayangi menjadi aset yang maha besar dalam memastikan kehidupan kita dihargai. Menyayangi tidak bermaksud merantai jiwa dan fizikal orang yang disayangi hingga menjadikan dia rasa terkongkong dan tidak bebas. Kebebasan pula bukan bermakna 'tiket'untuk menyakiti orang tersayang.

Namun, andai kita menyayangi seseorang walau sebanyak mana sekalipun, biarkanlah ia terbang bebas melengkapkan kehidupannya, andainya dia kembali kepada kita bermakna dia memang milik kita.....!

Kerana..... tarian hidup adalah pengalaman indah yang patut dimiliki oleh setiap insan!

Saturday, March 6, 2010

Sesaat yang lalai...!



Ketika memandu di jalanraya, pastikan kita tidak terlalai atau terlena walaupun sesaat. Hal ini kerana sesaat yang lalai akan membawa padah kepada kita sendiri. Berulang-alik saban hari di lalauan yang sama tidak menjamin kita sentiasa selamat. Andainya mengantuk atau terlalu penat berhenti dan berehatlah. Bak kata pepatah biar lambat asalkan selamat..... kerana secepat mana kita bergegas hendak segera tiba ke destinasi yang di tuju belum pasti apa yang kita hajati akan tercapai.
Sebelum memulakan perjalanan berdoalah semoga Allah sentiasa melindungi dan memudahkan perjalanan kita. Sayangilah nyawa dan diri kita dan yang penting ingatlah bahawa diri kita ini masih ada yang menyayangi....

Syukur alhamdullilah kerana Allah masih beri peluang untuk terus menghirup udaraNya di muka bumi ini...

Wednesday, March 3, 2010

Hargailah.... Teman!


Erti persahabatan tidak pernah luput dalam jiwaku, meskipun nilai-nilainya pudar dibawa arus masa.Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.....tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang teman yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang teman, begitu juga dia.
Untungnya mempunyai seorang teman yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia. Dia mendengar luahan perasaan kita, rasa kecewa, dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan.Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah.
Tetapi....
Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya?Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita berasa kecewa dan menyerah kalah?Dapatkah kita yakinkan dia sesungguhnya kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah.Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan?

Sesekali jadilah teman yang mendengar daripada yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan teman kita kerana dia juga seorang manusia, dia juga ada rasa takut, ada rasa.... bimbang, sedih dan kecewa.Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan teman sebagai kekuatan. Jadilah kita temannya itu...... Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi dia mungkin sebenarnya tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, di sebalik ketenangan, mungkin tersimpan seribu kekalutan.... kita tidak tahu,,,,,, TETAPI jika kita cuba jadi teman seperti dia, mungkin kita akan TAHU!

Tuesday, March 2, 2010

Keyakinan Diri....



Keyakinan diri bertapak pada dua dasar,Pertama jauh daripada sifat sombong dan bongkak diri. Kedua, tidak menyerah diri kepada sesiapa selain daripada Tuhan.
Sama ada seorang lelaki itu berkeyakian ataupun tidak, ia dapat dilihat melalui gerak badannya. Keyakinan diri pada diri seorang lelaki dapat dibangunakn dengan pendedahan dan sikap yang positif. Walaupun pendedahan yang diberikan itu luas dan pelbagai, tetapi lelaki itu tidak memiliki sikap yang positif, maka apabila dia berhadapan dengan keadaan lain yang memerlukan keyakinan diri yang tinggi, dia pasti undur.

Kita boleh jadi yakin tetapi tidak sombong dan berlebihan. Tetaplah merendah diri dalam percakapan walaupun kita yakin kita seorang yang boleh melakukan sesuatu.

Peningkatan usia sepatutnya menjamin kepada peningkatan keyakinan diri !