Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Sunday, October 31, 2010

Mimpi Itu Indah....(Mesyuarat di KL selama 3 hari)


Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau sentuh
Kerana langkah merapuh tanpa dirimu
Oh, kerana hati telah letih

Aku ingin menjadi sesuatu yang selalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu bahawa ku selalu menyayangimu
Tanpamu sepinya waktu merantai hati
Oh, bayangmu seakan-akan

Kau seperti nyanyian dalam hatiku
Yang memanggil rinduku padamu
Seperti udara yang kuhela kau selalu ada

Hanya dirimu yang bisa membuatku terang
Tanpa dirimu aku merasa hilang
Dan sepi,sepi...

Selalumada,selalu ada,selalu ada,selalu ada......

Monday, October 25, 2010

Syukur PadaMu Ya Allah



Syukur padaMu Ya Allah # dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan diberi kebahagian dalam kehidupan.... SYUKUR KU PADA MU YA ALLAH semoga terus diberi keberkatan dan hidayah di dalam kehidupan ini# Pujian dan syukur pada MU Allah atas usia baru ini, atas kepercayaan Mu padaku untuk masih terus menjalani hidup ini, semoga dapat aku melakukan yang terbaik.Pujian dan syukur Ya Allah atas segala masalah yang selalu Kau hindarkan daripadaku, atas kurnian puteri dan putera yang sihat dan cerdas. Pujian dan syukur atas suami yang memberikan cinta dengan penuh kesabaran dan ketenangan, atas keluarga yang tanpa henti mencurahkan kasih kepadaku, atas rezeki, kesihatan dan pekerjaan yang baik, atas sahabat dan teman yang memahami lagi menyayangi serta atas segala harapan yang dapat disempurnakan. Pujia dan syukur atas rinduku padaMu, atas seluruh nikmat hidupku. Setiap hembusan nafasku ini, kusandarkan pada kasih dan penyelenggaraan MU agar apa-apa yang terjadi padaku semuanya adalah kehendakMU.....Amin!


Terima kasih 'hubby'hadiahkan lap top baru....

Thursday, October 21, 2010

Kalau kita sayangkan dia, pasti dia juga sayangkan kita!




Lumrah kehidupan, setiap yang hidup mahu disayangi dan mahu juga menyayangi. Menyayangi bererti kita akan menjaga, membelai dan sentiasa mengambil berat akan siapa yang kita sayangi. Disayangi bererti kita sentiasa dalam ingatan, dijaga dan dibelai. Tidak kiralah dia mampu berkata-kata atau hanya sekadar lontaran bunyi yang tidak difahami maknanya. Namun bagi yang menyayangi dan disayangi pasti memahami maksud yang tersirat disebaliknya.... Beginilah saya menjaga, membelai dan mengambil berat akan kucing kesayangan saya. Setiap minggu 'dia' dimandikan dengan air suam-suam panas, disyampu, dibilas, dilapkan dan kemudian dikeringkan semula menggunakan alat pengering rambut saya. Yang pasti saya sayang akannya dan saya tahu 'dia' juga sayang akan saya!

Saturday, October 16, 2010

Semuanya Bermula pada Hati


Benarlah seperti yang disabdakan oleh junjungan Rasulullah s.a.w bahawa semuanya bermula dari hati, baik hati seseorang hamba maka baik jugalah perbuatan mereka. Jika rosak hati seseorang manusia maka rosak jugalah amal perbuatan mereka. Hati berfungsi dari darah yang mengalir ke seluruh anggota badan. Darah terhasil daripada makanan yang kita masukkan ke dalam mulut kita. Maka apa-apa saja sumber yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Justeru jelaslah betapa pentingnya bagi kita untuk menjaga setiap suap makanan yang masuk ke perut kita. Ingatlah, sifat mahmudah yang umpama menanam padi perlu kita gemburkan dan suburkan setiap masa. "Lalang-lalang mazmumah" pula hendaklah kita singkirkan, jangan sesekali kita tanam benihnya di dalam hati kita kerana lalang-lalang ini jika tidak ditanam sekalipun, ia tetap akan tumbuh. Mustahil bagi kita untuk menghilangkan "lalang-lalang mazmumah"namun bukanlah mustahil untuk mengurangkannya. Tanamlah sifat mahmudah dengan sifat sabar dan istiqamah. Ciptalah dunia yang penuh hikmah kerana Islam adalah agama hikmah. Wallahu a'lam!

Tuesday, October 12, 2010

TAHNIAH ' Hubby' !




Sekalung TAHNIAH buat suami tercinta atas kejayaan memperoleh Sarjana Kesusasteraan Melayu dalam Majlis Konvokesyen ke -34 Universiti Putra Malaysia. Majlis yang berlangsung pada 12 Oktober 2010 merupakan Sidang Kelapan sesi Konvokesyen ke - 34 UPM disempurnakan oleh Yang Berbahagia Pro Canselor UPM Dato'Rozali Ishak. Majlis berlangsung dalam suasana meriah dan santai. Syabas dan tahniah kepada 'hubby' walaupun terlalu sibuk dengan tugas-tugas di sekolah dan di rumah, namun berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang singkat iaitu lebih kurang satu tahun setengah. Walaupun sebenarnya tiada apa-apa tujuan kita melanjutkan pelajaran tetapi jauh di sudut hati kita berharap anak-anak akan menjadikan segala usaha kita sebagai contoh untuk mereka agar sentiasa menyimpan cita-cita menuntut ilmu hingga ke tahap tertinggi. Sebagai ibu dan bapa tugas kita adalah menyediakan segala kemudahan kepada anak-anak agar mereka dapat meneruskan cita-cita tanpa sebarang gangguan. Insyaallah.... Nampaknya lepas ni mama dan hubby akan berlumba pula siapa bakal dapat PhD dulu......!

Monday, October 11, 2010

Ziarah Kasih JPM Eratkan Persahabatan Kukuhkan Persaudaraan




Program Ziarah Kasih JPM sempena Syawal tahun ini memberi impak yang positif kepada hubungan persahabatan dan persaudaraan antara ahli JPM dan keluarga masing-masing.
Destinasi paling mencabar adalah ke Parit Sulong, Batu Pahat. Jarak yang agak jauh dan menagih kesabaran yang tinggi lantaran hala tuju yang kurang pasti akhirnya telah menjalin dan mengeratkan lagi persabahatan dan persaudaraan antara keluarga yang berkunjung. Hilang rasa penat, panas dan macam-macam lagi apabila kehadiran disambut dengan senyuman dan layanan yang mesra daripada tuan rumah. Selaku pihak pengunjung ingin rasanya merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian meluangkan masa menerima kehadiran dan memberi layanan yang istimewa kepada kami. Walaupun SESAT tapi itu tidak apa-apa...... Terima kasih kakak dan abang yang baik!

Saturday, October 9, 2010

Doa Buat Sahabat



Tahniah saya ucapkan kepada rakan seperjuangan yang disayangi kerana akan berpindah dan memulakan tugas baru di IPG Induk tidak lama lagi. Pertukaran ini mungkin akan membuka peluang yang lebih luas kepada sahabat untuk lebih berjaya dan memajukan diri dalam bidang pengurusan yang diminati. Selain itu, pertukaran ini juga akan menyelasaikan masalah 'jauh' tempat kerja kepada beliau. Sahabat yang dimaksudkan adalah Pn. Zanariah binti Sipon. Saya banyak berurusan dengan beliau terutamanya mengenai KPKI, MKI dan MKSP juga ISO. Perpindahan beliau meninggalkan saya dengan tugas-tugas itu sendirian.... Namun saya tetap doakan agar apa-apa yang diimpikan dan dicitakan oleh beliau akan dperoleh dan Allah akan sentiasa melindunginya. Cuma selepas ini, janganlah melupai sahabatmu ini di sini.......

Monday, October 4, 2010

Puteri Kesayangan Amran Faiz ke Medan Juang Lagi


Puteri tunggal kesayangan kami akan meneruskan perjuangan dalam pendidikan dengan menempuh satu lagi peperiksaan iaitu PMR mulai 5 Oktober hingga 12 Oktober 2010. Menimba ilmu di SBPI Jempol, sejak tingkatan satu lagi sebenarnya memberi impak jiwa juga kepada kami. Menghantarnya ke sekolah berasrama bukanlah bermakna kami ingin melepaskan tanggungjawab, tetapi kami mengharapkan agar puteri kami ini memperoleh sumber ilmu yang terbaik. Mama dan ayah sentiasa mengiringi perjuangan puteri yang disayangi ini dengan doa dan harapan agar Allah sentiasa melindungi dan mempermudahkannya menjawab semua soalan. Semoga berkat usaha dan kesungguhannya akan membuahkan hasil yang membanggakan dan menjadi idola kepada adik-adik dan saudara yang lain. Selamat menduduki peperiksaan sayang. Selamat juga kepada anak rakan-rakan yang menduduki peperiksaan yang sama. Doakanlah ketenangan dan kejayaan mereka.