Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Saturday, November 26, 2011

Jangan salahkan takdir



Menggapai sesuatu sehebat yang mungkin adalah impian semua orang. Semua mahu sukses dalam kehidupan, pekerjaan, rumah tangga dan sebagainya. Tidak kira berapa banyak pun ujian dalam hidup, jangan sesekali kita menyalahkan takdir yang terjadi. Jangan jadikan takdir sebagai alasan sebaliknya kita harus tahu di tahap mana kemampuan diri kita.








Ramai orang tersilap kerana terlalu yakin pada diri sendiri sedangkan banyak kelemahan yang sengaja ditutup demi mengaburi mata orang lain. Menyalahkan diri sendiri atas sesuatu kegagalan adalah perkara biasa tetapi menyalahkan orang lain atas kegagalan kita itu sudah melampau!








Membina ketahanan diri adalah faktor paling sukar dilakukan kerana ramai yang sering kalah dengan situasi. Kadang kala kita begitu berkeyakinan mampu melakukannya tetapi atas tiadanya sokongan, pelbagai desakan dari sekeliling membuatkan ketahan diri itu rebah akhirnya. Justeru, untuk berjaya kita perlu membina ketahanan diri agar dapat mengatasi semua masalah yang mendatang.








Sayang Iz : Dan malam adalah masa yang mendatangkan kesan....... EMOSI atau EMOSIONAL! Namun tahniah kepada yang berjaya menjiwai dua watak dalam satu masa. HEBAT!




Monday, November 14, 2011

kasih sayang tanpa syarat

Ada kalanya dalam hidup ini perasaan kasih sayang yang ada masih belum mencukupi. Lebih-lebih lagi apabila kasih sayang itu dilingkari dengan syarat-syarat tertentu. Ia masih belum mampu mengubah persekitaran yang ada. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang yang lebih tulus dan kudus, kasih sayang tanpa syarat.
Bukankah kasih sayang Allah pada kita tanpa syarat. Dia menjadikan kita dengan sempuran tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Allah kepada kita, maka tidak habis kalau kita hendak menghitung pemberian Allah. Demikianlah kasih sayangNya padanya.
Begitu juga seharusnya apa yang berlaku cetusan emosi kasih sayang sesama insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana ibu mengharapkan masa tua anak akan membalasa jasa ibu.
Namun begitu, persengketaan sesama insan sering menenggelamkan perasaan kasih sayang. Persekitran hidup yang sebelumnya indah, akhirnya dipenuhi dengan perasaan kebencian, dendam, dan sebagainya. Segala kebaikan yang pernah dicurahkan, semua terpadam daripada ingatan. Perkara yang berlegar-legar di fikiran hanya rancangan-rancangan negatif yang bakal menambah kelukaan jiwa ke tahap yang lebih parah.
Justeru dalam mengharungi apa jua kemelut yang berlaku, hidup dan suburkan kembali rasa kasih dan sayang ini. Nilai kasih dan sayang ini perlu ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih bermakna iaitu sayang yang tidak bersyarat atau kasih sayang tanpa syarat.

Sayang Iz: Orang yang kita sayangi belum tentu menyayangi kita juga..........!

Wednesday, November 9, 2011

Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu kali ke VII




Syukur alhamdulillah..... lega, puas, seronok, gembira dan macam-macam lagi rasa yang tak dapat digambar atau dituliskan dengan kata-kata. Setelah tamat sesi 1 pembentangan selari yang diadakan di Dewan Seminar, Fakulti Kejutueraan UPM, terasa bagaikan hilang beban berat yang digalas. Sebagai pemakalah kecil yang berdiri dalam kalangan pemakalah yang sudah ada nama dalam persada pendidikan tiada kata lain yang dapat diucap selain rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana telah memberi kekuatan kepada hambaNya yang serba kekurangan melaksanakan tanggungjawab dengan mudah dan lancar.
Seminar antarabangsa ini juga memberi peluang kepada pemakalah berinteraksi dan berkenalan dengan pemakalah-pemakalah dari luar negara seperti Indonesia, Brunai dan Singapura. Terasa juga ingin menjadi pemakalah di tempat mereka sepertimana mereka datang menjadi pemakalah di tempat kita....


Sayang Iz: Jom hubby dan rakan-rakan JPM kita bentang 'paper' di Bandung ye...

Friday, November 4, 2011

Jiwa yang bersatu...


Kalau hati suka, tidak rasa penat menyediakan makanannya setiap hari. Kadang-kadang kita lihat dia berbaring di kusyen yang kita ingin duduk, lalu kita tidak jadi melabuhkan punggung dan beralih ke tempat lain.
Sedangkan dia tidak mendatangkan apa-apa hasil buat kita, tetapi kita terhibur oleh kehadirannya itu. Kadang-kadang terpaksa berbelanja lebih untuk makanannya yang sememangnya mahal.
Apabila hendak baring dia akan mencari bantal, apabila hendak makan dia datang meminta, ketika kami sedang menikmati hidangan langsung dia tidak membuat kacau. Ketika hati telah suka rengekan menjadi hiburan, apabila dia tiada kita terasa resah dan tercari-cari dan dipanggil-panggil, tidak mengapa bersusah payah untuk membuatkannya gembira, sebab hati kita gembira melakukannya.
Begitulah bagaimana Si Hitam Meet telah dapat menempatkan dirinya di tengah-tengah kehidupan manusia yang eksklusif. Kerana apa? Kerana dia telah berusaha keras memahami manusia. Begitu juga manusia, kita perlu berusaha memahami dan menerima kelompok di sekeliling kita sebagai keluarga.
Semestinya kita boleh belajar banyak perkara melalui haiwan-haiwan peliharaan kita. Jiwa seolah-olah telah bersatu apabila kucing dianggap sebagai ahli keluarga, dia tidak lagi dilihat sebagai haiwan biasa.......

Sayang Iz: Dia memang manja dan sangat pandai mengambil hati.....

Friday, October 28, 2011

Catatan Peringatan Sempena Hari Lahir...

25 Oktober 1969 telah dicatat sebagai tarikh lahirku. Satu pesanan melalui Facebook kiriman kakak tersayang membuatkan diri terkesima dan mula merenung sejauh mungkin maksud yang cuba disampaikan. Antara lain katanya, apabila tarikh hari lahir kita tiba, sebenarnya memberitahu bahawa umur kita untuk hidup sudah berkurangan setahun. Kita hanya tahu tarikh lahir tetapi kita tidak tahu bila kita mati.
Kehidupan di dunia akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kenangan mengenai insan-insan yang kita sayang. Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangkitkan kita daripada angan-angan panjang mengenai nikmat hidup yang tidak bererti tanpa sifat berkekalan.
Mustahi bagi manusia mengetahui empat hal ghaib iaitu kelahiran, kematian, rezeki;amal dan kesudahan hidupnya sama ada baik atau sebaliknya. Kesemuanya terpatri di luh mahfuz, tersimpan di bank Allah yang tidak terjangkau oleh akal manusia yang terbatas.
Kemampuan untuk mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Apabila kegembiraan mencurah-curah dari hati, bolehlah kita selitkan pengetahuan mengenai mati, apabila cita-cita tercapai, kemewahan dikecapi, kebahagiaan tidak sudah-sudah, adakah kita ingat esok kita mati dan semua akan musnah!

Sayang Iz: Kehujanan melawat Bandaraya Bersejarah bersama-sama hubby dan murid-muridnya sedikit mengugat kesihatan ini. Ini juga satu peringatan!

Sunday, October 23, 2011

Hadapilah duniamu dengan senyuman


Jika kita menghadapi masalah, cubalah kita ingat-ingat masalah sukar yang pernah kita hadapai pada masa lalu. Khususnya masalah yang lebih besar dan lebih berat dari yang sedang kita hadapi. Dalam pada itu, cubalah hayati bagaimana Allah memberi jalan keluar untuk menyelesaikannya. Kerana dengan mengenang hal yang berat yang pernah kita hadapi itu, kita akan merasa hiba bercampur bangga terhadap diri sendiri, dan akan tumbuh rasa percaya yang kuat kepada diri sendiri.
Jika seseorang mengingat kesukaran-kesukaran yang pernah dialami maka ia akan berasa bahawa beban yang ia hadapi ketika ini tidak berbeza dengan masalah-masalah yang lain. Dan setiap masalah akan berlalu, dan kemudian akan menjadi sejarah atau kenangan. Kita perlu belajar dan mengambil iktibar dari setiap masalah yang kita lalui, tidak terkecuali masalah yang lebih banyak sakitnya berbanding senangnya. Terimalah segalanya dengan senyuman.
Sekali-kali jangan berfikir dua kali untuk tersenyum,kerana dengan tersenyum bermakna kita sedang menghidupkan semangat dan kekuatan yang ada dalam diri. Jangan bermurung dan bermasam muka kerana itu akan menekan kekuatan, sedang menekannya bererti kita membuat diri kita menderita.
Apabila kita tersenyum kepada orang lain, bermakna kita sedang memberi kebahagiaan kepada mereka. Senyuman dapat menyuntik perasaan optimis dan damai di hati orang lain. Sebaliknya, jika kita tampil dengan wajah bengis dan murung bermakna kita telah menyeksa dan mengganggu hati mereka. Sudah pasti kita tidak suka menjadi punca kesedihan kepada sesiapa pun.......

Sayang Iz: Masih mampu senyum walaupun orang yang disayang tidak faham pun ketika diri sedang dalam kesakitan......!

Sunday, October 16, 2011

Semoga Allah anugerahi kasih sayang

Ketika insan lain hampir tidak percaya dengan dirimu, memandang serong terhadapmu, meletakkan dirimu bagai tidak berharga, seolah-olah dunia ini gelap dan gelita, tiada tempat untuk meluah, pintu dunia seakan terkunci untuk diceritakan segala resah dan kekecewaan yang bersarang di jiwa.....
Maka saat itu, tadahlah tanganmu yang basah bersama kemurnian wudhuk dan air mata keinsafan. Allah pasti hadir dengan jiwamu untuk mendengar segala isi hati yang luka.....
......kerana Dia Maha Mendengar......
Percayalah, Allah menguji dengan kesusahan untuk mendengar luahan makhluknya yang mungkin telah lama bisu dan tidak berbicara denganNya.
Hari ini menangis dengan doa, esok lusa jangan pula menjadi kufur atas segala kesenangan yang diperoleh. Harungilah ujian kecil dunia agar kita hebat mendepani ujian lebih besar di hari akhirat.
Insyaallah...

Sayang Iz: Batu, sayang kau tak boleh berkata, semuanya kau lihat walau kau tak bermata....

Thursday, October 6, 2011

Nikmat lidah dalam berkata-kata

Sememangnya apa yang diimpikan dalam hidup ini adalah kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan dalam apa jua bidang kehidupan yang diceburi. Dalam persekitaran sebegini, ungkapan yang diguna pakai sudah tentulah kata-kata positif, penuh dengan kehalusan budi bicara yang tinggi serta enak didengar. Apa-apa yang terbit daripada mulut semuanya manis dan sedap belaka, lalu meransang kecerdasan emosi dan spirutual untuk lebih berjaya.
Kata-kata yang memberi dorongan kejayaan adalah kata-kata positif, kata-kata pujian, kata-kata ransangan, kata-kata yang boleh mencetuskan kejayaan dan kebahagiaan hidup, kepada diri sendiri atau kepada insan lain.
Kata-kata itu bukan sahaja indah dan sedap didengar bahkan boleh menyentuh hati dan perasaan insan lain lantas menimbulkan kesedaran untuk bertindak ke arah kejayaan dan kebahagiaan hidup.Kata-kata sebegini turut mampu memberi kebahagiaan dan ketenangan hati bagi pihak yang mendengarnya.
Walau apapun bentuk kata-kata yang keluar melalui lidah seseorang maka itu merupakan gambaran seseorang terhadap dirinya dan terhadap insan-insan lain serta persekitaran hidup yang dihadapinya.

Sayang Iz: Aku ingin menjadi sesuatu yang bisa kau rindu.....

Sunday, October 2, 2011

Cintai Saudara Kita kerana Allah

Berasa diri disayangi dan dicintai oleh seseorang itu sangat bermakna buat diri kita. Perasaan cinta dan sayang ini lahir dari hati yang tulus dan ikhlas. Menyayangi saudara kita kerana Allah membuatkan kita sentiasa mendoakannya. Ingatan yang tulus ikhlas itu tergambar dengan iringan doa kepada sahabatnya walaupun kita tidak berada bersama-samanya.
Seseorang yang menyayangi saudaranya akan sentiasa menunjukkan penampilan wajah yang berseri-seri selain memberi hadiah atau buah tangan kepada sahabatnya seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Kalian harus saling memberi hadiah, maka kalian akan saling menyayangi".
Terpenting adalah bermaaf-maafan antara saudara harus menjadi amalan. Kita juga tidak harus menyimpan dendam kerana dendam akan menimbulkan kebencian. Kebencian akan membawa kepada perpecahan. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Dengan memberi maaf semoga kita juga akan dimaafkan....

Sayang Iz: kiranya berakhir dengan titis air mata ?!

Thursday, September 22, 2011

Minda tanpa halangan


Fikiran yang bebas, perasaan yang bebas, bebas daripada ikatan masa dan ruang (hologram). Sempadan waktu dan ruang sering menyebabkan kita berada dalam tekanan, kebimbangan, kekecewaan, kerisauan dan seumpamanya yang sering dikaitkan dengan sempadan masa dan tempat.
Sifat hologram ini boleh membuatkan kira berasa relaks, bebas, tidak tertekan, tidak kecewa, bebas fikiran, bebas perasaan, bebas dari ikatan masa dan ruang energi diri menjadi besar. Dalam keadaan ini diharap seseorang akan memperoleh maklumat yang tiada diduga (ilham, petunjuk atau rezeki) daripada Allah. Matlamat ini boleh dikaitkan dengan hasil ketakwaan seperti yang sering kita dengar yang mana Allah akan memberi petunjuk dan jalan keluar dari setiap ujian hidup yang dilalui.
Kita perlu sedar dan yakin bahawa kejayaan dan kebahagiaan hidup hakiki hanya akan tercapai melalui keyakinan diri yang diperkukuhkan tanpa jemu.Keyakinan diri ini perlu diusahakan agar kita terselamat daripada cengkaman perasaan keraguan yang sering membantutkan usaha-usaha ke arah membina kejayaan dan kebahagiaan diri. ....!

Sayang Iz: RINDU... memaksaku menyayangi mu... dan benar ke CEMBURU itu tandanya sayang

Wednesday, September 14, 2011

Apabila banyak mengkritik orang.



Setiap hari kita pasti akan mendengar pelbagai kisah hidup. Bermula dari kisah yang menggembirakan hingalah kisah yang membawa duka nestapa. Kita mungkin memikirkan yang kita beruntung menjadi pendengar cerita suka dan duka tanpa membayar apa-apa pun. Tetapi kita mungkin lupa yang dalam cerita itu, mungkin banyak cerita kritikan tentang perihal sikap atau perangai orang lain.
Kita begitu mudah melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menilai kesalahan yang kita lakukan sendiri. Kita gemar memberi komen atas orang lain namun jarang sekali memberi komen terhadap diri sendiri.
Satu hal yang mungkin kurang kita amati hasil dari mengkritik orang lain adalah penanaman sikap negatif yang mula mengambil tempat dalam minda bawah sedar kita. Apabila kita terlalu rajin mengkritik orang lain, di mata kita semua orang melakukan keburukan atau kita suka memperlekehkan orang lain, tanpa kita sedari secara tidak langsung kita melakukan hukum pengulangan. Hukum pengulangan menyatakan bahawa sesuatu perkarra yang dilakukan secara berulang kali akan membawa kepada satu keterbiasaan. Keterbiasaan ini pula akan membawa kepada satu perubahan fisiologi yang baru tidak kira sama ada positif atau negatif. Apabila kita sering berkata nista, maka kita sebenarnya menanam secara perlahan-lahan tetapi utuh akan kata-kata nista itu di dalam minda bawah sedar kita hingga akhirnya kita menjadikannya satu sikap baru.
Jika kita merasakan yang kita dikritik, maka mulai hari ini fahamlah bahawa mereka yang memberi kritikan itu juga tidak terselamat dari hukuman. Biar sekecil mana kebaikan tetap juga mendapat balasan, begitulah sebaliknya. Kita perlu hidup dalam kasih sayang. Kita boleh memberi nasihat tetapi bukan kecaman. Kita boleh memberi nasihat kerana Allah SWT dan bukan atas kehendak diri.
.............Kita perlu ingat bahawa apa yang kita katakan itu adalah satu saranan untuk diri kita supaya bersikap sedemikian di akhirnya nanti................Sayang Izzzzz!

Sunday, September 11, 2011

YANG BERHARGA itu nilai.....

Memahami erti nilai sesuatu perkara baik berbentuk material mahupun berbentuk hubungan merupakan perkara pokok yang perlu didasari dengan sikap kasih sayang. Memahami nilai hanya dalam bentuk harfiah tidak membawa banyak makna dalam hidup kerana kita tidak merasa nilai yang sepatutnya dinikmati.
Nilai itu amat berharga dan begitu bererti seandainya dilihat dari sudut hati dan perasaan. Maka sebab itu ada diantara kita menangis seperti kehilangan orang yang dicintai hanya kehilangan sekeping gambar atau sehelai baju cuma.
Hal ini adalah rentetan dari pengertian nilai yang benar yang terbit dari hati dan perasaan. Mulai hari ini, mari kita sama-sama menilai apa yang bernilai dalam diri kita serta kehidupan kita. Lihat dan timbangkanlah dengan hati dan perasaan sama ada kita benar-benar menghargai nilai yang ada itu atau ianya hanya sekadar keperluan dalam laluan kehidupan kita. Seandainya ia benar-benar bernilai maka peliharalah ia, peliharalah dengan kasih sayang yang bersandarkan kasih yang maha pengasih lagi penyayang.
Seandainya ia hanya seperti biduk yang lalu, janganlah kita buang dengan nista kerana setiap detik perencanaan Allah S.W.T pasti ada jalan penyudahnya. Hiduplah dengan nilai yang bernilai dan bukan nilai yang hanya dilihat secara harfiah yang penuh kepura-puraan lagi menjengkelkan....

Merasa kehilangan itu adalah sebuah nilai yang berharga ...................

Wednesday, September 7, 2011

Rajut Persaudaraan di Bulan Mulia Ini

Syukurlah kerana kita masih diberi kesempatan berjumpa pada bulan mulia ini. Bulan meraikan kemenangan setelah Ramadhan kita tempuhi dengan takwa. Kerana itu, walaupun Ramadhan baru beberapa hari meninggalkan kita, namun ada perasaan rindu padaRamadhan. Jika Ramadhan kita lalui dengan sungguh-sungguh, maka bolehlah kita dianggap sudah mendapat kemenangan.
Tidak ada kesempatan yang lebih indah dalam kehidupan ini selain saat menyambut Aidilfitri. Waktu beginilah kita dapat berkumpul bersama-sama ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat taulan. Kita bersilaturrahim dengan sesiapa sahaja. Tidak sahaja kenalan rapat, kenalan baru dan tidak dikenali juga dapat diikat dengan tali silaturrahim Aidilfitri. Semua mempunyai makna yang sama. Yang penting salam bersalaman, berjabat tangan, maaf memaafi.
Menjalinkan silaturrahim dan mempereratnya kembali, inilah saat dan momen paling tepat kerana pada hari-hari biasa, kita disibukkan dengan pelbagai pekerjaan dan tuntutan hidup sehingga waktu untuk silaturrahim terasa kurang dan sempit. Justeru, pada hari raya adalah waktu yang paling sesuai kerana tidak ada alasan sibuk lantaran semua orang tahu bahawa hari raya adalah hari cuti.
Mudah-mudahan dalam kesempatan cuti panjang hari raya, marilah kita suburkan tradisi bersilaturrahim ini kerana silaturrahim melapangkan rezeki dan memanjangkan umur.......
Moga kita semua mendapat reda dan rahmatNya.Amin!

Thursday, August 25, 2011

Ramadhan yang pergi...




Kehadiranmu Ramadhan dirindui, lantas pemergiaanmu pasti ditangisi, pasti meninggalkan kesan dalam hati kita...... sebenarnya kita pun tidak tahu sama ada tahun depan kita masih berkesempatan untuk bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini. Waaluhalam! Berdoalah semoga ibadat kita pada tahun ini diterima oleh Allah s.wt.





Sayu dan sedih di lubuk hati mengenangkan Ramadhan akan pergi,....pasti ada sendu bertamu di hati, ada doa berlagu tak henti, ada suara hati yang tak didengari, ada rindu yang ingin dilunasi, hanya padaNya kita munajatkan diri. Semoga kita telah memenuhkan malam-malam sunyi Ramadhan dengan merintih zikir, menambah doa pada Yang Malah Esa yang maha mengetahui gerak hati dan langkah yang seterusnya.





Semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan kasih sayangNya......!



SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI!




Sayang Iz: Seronok juga mendengar orang utara berbicara....!











Sunday, August 21, 2011

Kau tersenyum ku tersenyum

Senyum sebagai sedekah, kerana ia menyenangkan hati orang. Sedekah itu sendiri pada dasarnya menyenangkan dan menggembirakan. Senyum seindah suria yang membawa cahaya. Senyumlah dari hati duniamu berseri.
Senyuman adalah memulakan bicara sebagai tanda salam perkenalan. Senyum kepada saudara seislam dan sesama manusia. Walaupun tanpa majlis tertentu , kita tetap dianjurkan untuk senyum terutamanya di dalam kehidupan harian dan setiap perbuatan kena mulakan dengan senyuman.
Dalam islam bermanis muka, ceria dan senyum sangat dituntut untuk tidak kelihatan sombong. Kita mendapat pahala sedekah sebanyak mana, itu Allah yang tentukan. Jika orang senyum kepada kita balaslah dengan senyuman atau riak muka yang manis, jika kita menarik muka bererti kita seorang yang sombong dan bongkak. Apabila sudah menjadi sombong dan bongkak itu sudah dianggap berdosa.Balaslah senyuman itu walaupun dengan cara anggukan sebagai tanda kita faham makna senyumannya.
Kita tidak boleh ada perasaan riak, hasad, dengki, sombong, bongkak dan berburuk sangka. Semua perasaan itu jika tidak ada di dalam diri maka akan menampakkan keikhlasan hati akan menyerlah di wajah. Perasaan yang akan lahir di dalam senyuman adalah kebaikan sifat di dalam hati.Senyuman dan ketawa adalah rawatan untuk orang yang susah hati dan stress.

Sayang Iz: Tidak perlu kata apa-apa, kertas putih salju kucoretkan kedukaanku....


Tuesday, August 16, 2011

Mengajar @ Mendidik

Kita sering mendengar perkataan mengajar dan mendidik. Kita mungkin melihatnya sama, namun hakikatnya kedua-duanya adalah berbeza. Jika dahulu, kedua-duanya bersatu dan melengkapi tetapi mungkin hari ini menjadi entiti yang berlainan. Kita mungkin menganggap mengajar itu adalah mendidik tetapi sebenarnya mengajar hanyalah sebahagian daripada mendidik. Manakala mendidik pula merangkumi mengajar.

Mengajar itu adalah menerangkan, menerima fakta dan memberi arahan. Justeru seorang pengajar adalah seseorang yang menerangkan sesuatu ilmu pengetahuan dan disampaikan kepada pelajar.

Mendidik pula adalah memberi pembangkitan diri, mencerahkan serta membebaskan. Oleh yang demikian seorang pendidik adalah seseorang yang mampu memberi pencerahan, seseorang yang mampu membebaskan keterikatan fikiran serta membangkitkan pengisian diri. Secara setimologinya, pendidikan atau 'education'itu diambil dari membesarkan yang juga memberi maksud membangunkan sesuatu dari dalam dan mampu memimpin.

Sayang Iz: Sebenarnya kita ini pendidik atau pengajar sahaja? Cerminlah diri.......

Wednesday, August 10, 2011

Bahaya dan Bahana Lidah.

Lidah manusia sangat tajam. Ketajaman lidah tidak sama seperti ketajaman mata pedang. Luka akibat mata pedang mungkin akan sembuh, namun luka akibat ketajaman lidah seseorang sukar disembuhkan.
Firman Allah Taala dalam surah al-Hujurat ayar 12 memadai menunjukkan kekuatan larangan mengumpat iaitu senjata yang menggunakan lidah.
"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telag mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh sebab itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah.
Mengumpat sepertimana pandangan al-Ghazali dan diikuti oleh al-Nawawi dijelaskan dengan makna seseorang menyebut tentang sesuatu perkara mengenai orang lain yang tidak disukai olehnya.Sama ada berkaitan tubuh badan, agama, dunia, diri, jasad, perangai, harta, bapa, anak,isteri, suami, gerak geri, pakaian, diam dan lain-lain yang berkaitan dengan seseorang.
Begitu juga sama ada dengan lafaz, isyarat mata, atau sebagainya. Pendek kata, semua perkara yang kita lakukan yang boleh melukakan hati saudara kita sekiranya dia mengetahui hal tersebut, maka ianya adalah mengumpat.Sesungguhnya mengumpat adalah riba yang paling dahsyat dengan mencerobohi maruah seseorang muslim dengan tanpa hak.!

Sayang Iz: Marah itu mudah, sabar itu indah. Memafkan secara lahiriah belum pasti memperoleh kemaafan secara batiniah!

Monday, August 8, 2011

Cantik di Hati

Cukup adalah persoalan kepuasan hati. Cukup hanya boleh diucapkan oleh orang yang bersyukur atas apa-apa yang diperoleh. Tak perlu takut berkata cukup. Mengucapkan kata cukup bukan bererti kita berhenti berusaha, 'cukup' juga tidak boleh disama erti anda sudah berpuas hati.
Mengucapkan kata cukup membuat kita melihat apa-apa yang telah kita terima, bukan apa-apa yang belum kita dapatkan. Jangan biarkan kerakusan manusia membuat kita sukar untuk mengungkapkan kata cukup.
Belajarlah mencukupkan diri dengan apa-apa yang ada pada diri kita hari ini, maka kita akan menjadi manusia yang berbahagia dan sentiasa bersyukur dengan apa-apa yang ada. Belajarlah untuk berkata 'cukup'!

Friday, July 22, 2011

Memaafkan Orang Lain - Cara "membasuh hati".

Sesungguhnya hati yang berada di dalam dada kita boleh dilatih supaya menjadi kuat dan gagah. Maka latihlah hati kita agar banyak memaafkan, bertolak ansur dalam beberapa hak, tidak terlalu mengikut keinginan hawa nafsu dan cuba memenuhi hati dengan kasih sayang.
Sekiranya kita mampu untuk menyayangi seluruh makhluk Allah, maka jangan biarkan hati kita berasa sempit kerananya. Bahkan kita akan berasa luas dan lapang dengan kehadiran setiap tetamu baru dalam hati kita. Sesungguhnya hati itu luas dan mencukupi untuk setiap orang yang berhak mendapat tempat di dalamnya.
Pada setiap malam sebelum tenggelam dalam tidur, latihlah hati kita supaya memberi kemaafan, kemudian biarkan mata tertutup lena dalam tidur yang tenang dan mengasyikkan.
Maafkan setiap orang yang bersalah terhadap kita, menzalimi kita, memusuhi, melanggar hak kita, melupai kebaikan kita, bahkan lebih daripada semua ini.
Sebagaimana kita membasuh muka dan tangan dengan air beberapa kali sehari atau lebih daripada 10kali sehari kerana kita menghadapkan kedua-duanya kepada orang orang ramai, begitu juga kita mesti membasuh hati kita yang menjadi tempat pandangan Allah s.wt.
Maka basuhlah hati kita dan jagalah ia setiap hari, supaya tidak bertimbun segala anasir yang tidak elok dan negatif seperti dendam kesumat, kenangan pahit, kebencian, kemarahan dan lain-lain yang boleh menjadi belenggu dan penghalang kepada ketenangan hati daripada beramal dan bekerja untuk mendapat kehidupan yang baik dan sentosa.

Friday, July 15, 2011

Sahabat umpama tangan dan mata

Ramai yang berkata, kawan memang senang dicari dan ramai, tetapi sahabat belum tentu. Kawan dan sahabat ada perbezaannya. Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja yang kita suka dan memiliki seberapa ramai kawan yang kita suka. Namun sahabat hanyalah untuk orang tertentu sahaja. Sahabat lebih akrab hubungannya. Susah senang segalanya boleh dikongsi bersama.
Persahabatan itu seperti tangan dan mata. Ketika tangan terluka, mata menangis, dan saat mata menangis, tangan menghapuskan air mata. Sahabat sejati adalah sahabat yang sama-sama mahu menempuh saat suka dan duka. Tidak hairan ada orang menjalin persahabatan bertahun-tahun lama, diikat pula dengan hubungan sesama keluarga yang erat. Sahabat begini sesungguhnya susah ditemui tetapi ada di dunia ini. Cuma masa dan keadaan menemukan kita dengan sahabat sejati.
Namun persahabatan itu tidak terjalin atas landasan lurus. Sepanjang perjalanan membina hubungan persahabatan, tidak sedikit dugaan dan ujian melanda. Sebab itu, ada persahabatan tidak kekal lama. Akhirnya tinggallah kita sendiri tanpa sahabat. Dunia menjadi sepi dan sunyi, hilang sahabat umpama hilang separuh diri.
Tidak selalu apa yang kita harapkan berjalan lancar. Pengalaman kita bersama-sama sahabat kekadang membuat kita sangat lelah dan terasa jengkel. Tetapi itulah yang mengikat tali persahabatan semakin mempunyai nilai indah. Setiap persahabatan akan berdepan dengan cabaran tetapi akan sentiasa mengatasi cabaran hingga mengukuhkan perhubungan itu.
Persahabatan akan pasti diwarnai pelbagai pengalaman suka duka. Kadang-kadang terhibur, ada kala berjauh hati, diberi perhatian, tidak kurang dikecewakan, didengar dan diabaikan, dibantu-ditolak, namun semua itu tidak pernah sengaja dilakukan.
Sahabat sejati tidak akan menyembunyikan kesalahan untuk menghindari perselisihan. Sebaliknya kerana kasihnya kepada sahabat, dia memberanikan diri menegur dan membetulkan sahabat itu seadanya.
Semua orang pasti memerlukan sahabat sejati, namun tidak semua orang beruntung mendapatkannya. Banyak juga orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu HANCUR dikhianati sahabatnya.......!

Monday, June 27, 2011

Kebijaksanaan dan Keunggulan Sahabat

Orang yang bijaksana adalah orang yang mencintai dan menghormati Allah. Orang yang benar-benar bijaksana adalah orang yang memperoleh hikmah dari kecelakaan yang menimpa orang lain.
Orang yang bijaksana itu berfikir dua kali sebelum berbicara kerana makin bijaksana seseorang maka makin pandailah dia menjaga mulutnya dan bijaksana itu lebih baik daripada kekuatan...kerana orang bijaksana adalah orang yang menonjolkan sifat sederhana dan lebih suka berdiam.
Kebahagiaan itu terletak pada pengorbanan, kemampuan mengekang kesombongan, keinginan untuk menderma, sikap tidak mengganggu orang lain dan jauh dari sikap egois dan ingin menang sendiri.
Tertawa dan senyum yang sekadarnya akan membuat jiwa menjadi lapang, hati menjadi kuat, menghilang kebosanan, meningkatkan semangat bekerja serta menjernihkan fikiran.
Sahabat yang paling baik adalah orang yang sangat kita percaya dan membuat diri kita tenang bersama-samanya, membantu kesulitan kita, ikut prihatin dengan kegelisahan kita dan ia tidak menyebarkan rahsia atau aib kita!


Sayang Iz: Andai tidak berhati-hati, menyimpan gunting dalam lipatan akan mencederakan kaki sendiri lantaran manusia yang agung dengan sifatnya yang mudah lupa.....

Wednesday, June 22, 2011

Cintaku Cintamu Jua....

Sebenarnya tidak susah untuk menikmati kasih sayang orang. Asalkan kita pandai memberikan kasih sayang kita, kita akan mendapatnya balik. Usah sangka orang lain senang, kita saja yang susah. Gambaran hidup selalunya begitulah.........
Pada orang yang bersyukur lagi jujur akan melihat kesusahan adalah perencah kepada kehidupan.Ada kalanya kita terpejam mata oleh masam dan masinnya, adakalanya kita tersenyum oleh manisnya. Kadang-kadang kita ternganga sahaja apabila lidah tidak merasa apa-apa.
Takkan oleh masin kita taubat tidak akan makan garam lagi. Mentang-mentanglah gula dikatakan punca penyakit kencing manis maka kita terus anti gula. Sebenarnya semua perencah ini apabila digaul dalam satu resepi maka menjadi enak sekali.
Demikianlah hidup, apabila ia bercampur gaul antara nikmat dengan sakit, hiba dengan gembira, sedih dengan bahagia, maka itu adalah resepi kehidupan yang sebenar-benarnya selesa. Sesungguhnya kasih sayang adalah penyubur jiwa, tanpa kasih sayang akan matilah sayang - matilah jugalah kasih sayang......

Sayang Iz: Kasih sayang tiada erti andai membakar diri sendiri.......!

Thursday, June 16, 2011

Berbahgialah dengan anugerah Allah.....

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan atau penyakit, atau kekhuatiran atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya (dosa) kerananya. (Hadis Riwayat: Al-Bukhari 5642)

Seminggu bertarung dengan kesakitan dan ketidak selesaan hidup sebenarnya memberi lebih keinsafan kepada diri betapa kehidupan ini hanya sementara dan kesementaraan itu perlu diisi dengan melaksanakan segala tanggungjawab yang dibebankan ke bahu ini......Sesungguhnya keyakinan tetap tebal, bahawa Allah masih menyayangi dan masih memberi peluang untuk diri meneruskan kehidupan dan memperbaiki setiap apa-apa kekurangan. Memang sudah menjadi ketetapan daripada Allah swt bahawa setiap manusia pasti pernah dan akan mengalami sakit dan musibah. Syukur Ya Allah!

Sesungguhnya Allah telahpun merencanakan kehidupan manusia di muka bumi ini dengan jalan cerita yang berbeza. Mengingati masa lalu sebagai kenangan adalah suatu keperluan untuk kita jadikan landasan membangunkan masa hadapan supaya jauh lebih baik. Masa memang tidak dapat diputarkan kebelakang dan masa depan itu tidaklah terlepas daripada kenangan dan masa lalu yang telah kita lalui. Masa depan itu perlu kita bangunkan dengan masa-masa lalu serta kenang-kenangannya. Masa lalu yang indah, kenangan yang tidak terlupakan dan tidak mahu dilupakan.....

Barang yang lepas usah dikenang! Berikan diri peluang untuk hidup bahagia kini, dan masa depan dengan optimistik. Sentiasa bersangka baik dan fikirkan yang positif! Terpenting adalah jangan sekali-kali memandang rendah kepada diri sendiri kerana setiap individu diciptakan dengan potensi dan kebolehan yang berbeza!


Sayang Iz: Tak nak duduk wad bukan sebab takut tapi tak sampai hati nak tinggalkan anak-anak dan ayahnya di rumah lantaran masa cuti sekolah.........!



Thursday, June 9, 2011

Hanya Sebuah Rasa

Jika sedang marah, pergilah ke bilik air dan mandi. Jika ada air pancur di bilik air itu, duduk di bawah pancuran dan biarkan air membasahkan kepala dan seluruh tubuh. Mandilah seberapa lama yang anda mampu, sampai menggigil kesejukan pun boleh. Apabila tubuh sudah dilap kering selepas mandi, nescaya kemarahan juga turut reda bersama-sama kesejukan air yang mengalir ke tubuh. Biarpun rasa marah masih bersisa tetapi ia tidak lagi meluap-luap seperti sebelumnya.
Jika sedang resah gelisah dan keliru, pergilah ke bilik air dan ambillah wuduk. Kemudian sujudlah kepada Allah. Berbicarlah kepadaNya dengan sepenuh hati. Jika ingin menangis di sejadah itu menangislah sepuas-puasnya kerana selepas itu jiwa akan kembali tenang.
Jika sedang di dalam dilema untuk membuat sebarang keputusan penting dalam kehidupan, bangunlah di sepertiga malam. Ketika orang lain sedang lena diulit mimpi, kita memohon petunjuk Allah. Bersolatlah dengan jiwa yang jernih dan hati yang kosong. Pasti bantuan Allah akan kita peroleh. Petunjuk dari Allah adalah sebenar-benar petunjuk.
Dan jika tiba-tiba berasa sebal terhadap sesuatu perkara dan menyalahkan orang lain kerana berlakunya perkara itu, cuba bersendirian di dalam bilik sambil mendengar lagu-lagu beralunan lembut, sebaik-baiknya lagu kerohanian. Jangan tidur sebaliknya bertafakur dan selidik semula apa punca sebenar berlakunya perkara itu. Benarkah langsung tidak ada kesalahan kita di sana?!Apabila kita berfikir dengan tenang tanpa emosi, pasti kita dapat jawapan bahawa kita pun tidak sesempurna mana untuk menyalahkan orang lain. Ego sebenarnya yang membesarkan amarah itu.
Sebenarnya apa-apa pun cara yang kita lakukan dalam hidup ini, kita tidak terlepas daripada ujian, kecil mahupun besar. Namun Allah, memberikan kita pelbagai cara untuk menyelesaikannya sama ada melalui cara kita sendiri atau datanglah mengadu kepadaNya.!

Adaptasi dari MW.

Friday, June 3, 2011

Menjana Minda Positif

Minda adalah seperti payung terjun, yang hanya akan berfungsi apabila dibuka. Di dalam diri manusia ada arus elektromagnet (bio-elektrik). Untuk mendapat manfaat daripada arus elektromagnetik ini, suis mesti dibuka. Suis pada bio-elektrik ini terletak kepada minda yang positif. Minda yang negatif menutup arus elektromagnetik ini daripada menjadi sumber tenaga yang menggerakkan 'chemistry' di dalam tubuh.
Dengan kata lain, ketegangan yang berpunca daripada minda yang negatif menutup sistem tenaga dalam tubuh individu. Apabila sistem tenaga bio-elektromagnetik terputus, maka gelaplah di dalam tubuh individu. Dalam kegelapan, semua sistem di dalam tubuh individu secara biologinya dan peringkat lebih kronik lagi mungkin terhenti .
Menurut pakar kesihatan, Dr. Richard J. Davidson, "Golongan yang optimis biasanya lebih sihat daripada orang lain . Hal ini kerana, hormon kortisol dalam darah mereka dan ini meningkatkan sistem pertahanan badan. Hormon kortisol adalah hormon yang keluar semasa tekanan atau stres menyerang individu. Apabila kadarnya rendah, individu menjadi lebih tenang semasa menghadapi ujian.

Sayang Iz: Bertenanglah ketika musibah melanda......dan usah membuang masa mentafsir mimpi yang tidak pasti!

ADIOS

Tuesday, May 31, 2011

Pulihkan diri dari kesempitan tekanan hidup

Sebagai makhluk bernyawa, tubuh ini perlu digerakkan. Seluruh potensi diri sama ada fizikal, mental, emosi dan spiritual perlu digerakkan secara aktif agar seseorang dapat merasi nikmat hidup. Membiarkan diri beku dan jumud bakal mendedahkan diri kepada kerosakan dan kebinasaan.
Masalah dan tekanan hidup sering membuat seseorang meletakkan diri dalam keadaan beku dan jumud. Apabila masalah melanda, individu selesa mendiamkan diri sambil melayan tekanan yang dihadapi. Mereka suka menyendiri, kurang berbicara dan bersikap pasif. Minda asyik melayan pemikiran negatif. Keadaan ini menyebabkan emosi semakin tertekan. Nikmat rasa ceria dan suka makin hilang.
Tindakan memencilkan diri dariapda dunia luar bukan jalan terbaik ketika diri ditimpa masalah. Tindakan ini hanya menambah bebanan yang ada lantas mendedahakn diri kepada kesengsaraan, secara fizikal, mental, emosi dan spiritual.
Justeru, peluang hidup yang tidak kita pasti di mana dan bila nokhtahnya ini perlu kita hargai dan penuhi dengan positif. Ketika ditimpa ujian hidup usah bertindak berdiam diri atau menyisih diri daripada persekitaran. Kita sedar, keredaan mendatangkan ketenangan, kedamaian, kekuatan hati dalam menghadapi keraguan.

Sayang Iz: Bersyukur kerana diberi kekuatan masih mampu 'senyum' menghadapi pelbagai dugaan yang mendatang. Terima kasih Ya Allah!

Saturday, May 21, 2011

Bila Diri Disayangi



Andai terasa diri disayangi 'klik'lah pada butang 'play' . Semoga sentiasa dirahmati dan disayangiNya.....! dan salam sayang buat yang menyayangi dan yang disayangi...

Thursday, May 19, 2011

Jika benar....

Jika benar kita ini akan mati mengapa pula kita cuba menjauhinya. Bukankah lebih baik kita bersedia menghadapinya. Jika benar mati itu pasti, mengapa pula kita masih berdiri dengan ego sendiri seolah-olah kita suda tahu sakitnya mati.!
Jika benar kita bijak, mengapa pula kita sering membuat keputusan yang salah. Kita sering menggunakan apa yang kita panggil kepandaian untuk membuat satu-satu keputusan. Kita kemudian cukup yakin yang keputusan yang kita buat itu adalah yang terbaik untuk kita. Kita tidak pernah tahu bagaimanakah masa depan kita yang sebenarnya. Kita membuat keputusan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang kita ada.Justeru tidak layak untuk kita mengatakan itu yang terbaik kerana yang terbaik hanyalah ada pada pengetahuan Allah yang Maha Esa.
Jika benar kita ingin berubah, berubahlah dari jiwa yang tidak tenang kepada jiwa yang tenang. Tenang pula hanya datang dengan mengingati Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya ingat. Jika sudah tenang maka berlakulah perubahan dalam kehidupan.......

Sayang Iz: Walaupun hanya kemalangan kecil yang berlaku dalam hujan yang lebat petang tadi namun tetap mengerikan......

Tuesday, May 17, 2011

Catatan Sempena Hari Guru: Guru yang Berkesan Sentiasa Berfikir

Kelebihan manusia adalah kerana memiliki otak. Otak manusia merupakan komputer yang amat menakjubkan. Guru yang berkesan sentiasa berfikir, menggunakan imaginasi, dan merancang. Kecemerlangan profesion keguruan sebenanrnya berkait rapat dengan keupayaan kita mengimplimentasikan teknik-teknik baru yang terbit daripada idea fikiran kita sendiri.

Guru yang berkesan hendaklah menjadikan dirinya sebagai contoh kepada pelajar-pelajarnya. Sekiranya dia ingin pelajarnya sensitif tentang menepati masa, guru sendiri perlu menunjukkan sikap itu. Misalnya dengan sentiasa masuk ke kelas tepat masanya, tidak melewat-lewatkan pemulangan buku yang telah diperiksa, tidak lewat datang ke sekolah, tidak lewat ke tapak perhimpunan dan tidak 'mencuri' masa kerjanya.

Guru berkesan tidak akan pernah merungut, mengeluh dan tidak akan berpuas hati dengan apa-apa yang dilaksanakan di dalam kelas. Sebaliknya, sentiasa berfikir untuk melakukan sesuatu yang lebih baik setiap kali melangkah ke kelas. Guru berkesan perlu membuat perubahan positif terhadap murid-muridnya. Dunia pendidikan memerlukan guru yang berkesan yang sentias berfikir dan mengajarkan anak-anak didik mereka berfikir.

Berfikir memang sukar tetapi tindakan anda itu akan mendatangkan banyak kebaikan kepada murid-murid anda. Berfikirlah..........

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU KEPADA SEMUA INSAN YANG DIPANGGIL CIKGU dan BAKAL MENJADI CIKGU!

Saturday, May 14, 2011

Sesuaikan usaha dan keredhaan Allah

Secara semulajadi, kehendak manusia dan kehendak Allah itu sangat jauh berbeza. Perancangan manusia terbatas kepada kemampuan yang dimiliki dan segala natijah akhirnya akan ditentukan Allah Yang Maha Mengetahui. Perancangan Allah melampaui batas kemampuan manusia dan Allah berkuasa menentukan apa-apa sahaja untuk segala makhlukNya.

Dalam kehidupan ini, sesuatu yang ditakuti oleh manusia adalah kegagalan. Manusia memahami kegagalan sebagai matlamat yang tidak tercapai atau menyimpang daripada apa yang disasarkan. Akhirnya kegagalan boleh mengundang rasa kecewa. Kekecewaan boleh menyebabkan seseorang menyalahkan takdir Allah ke atas dirinya. Timbul perasaan seolah-olah Allah tidak mengasihi dirinya kerana setiap yang diusahakan itu berakhir dengan kegagalan atau gagal mencapai sasaran.

Sebenarnya kekecewaan itu boleh diubati jika seseorang memahami erti sesuatu kegagalan dalam hidup ini. Sesuatu yang dianggap kegagalan itu sebenarnya merupakan maklum balas terhadap segala keputusan dan gerak kerja yang telah kita lakukan yang tidak selari dengan kehendak Allah Yang Bijaksana.

Manusia merancang sesuatu kejayaan dan melaksanakan segala perancangan demi meraih kejayaan tersebut. Namun perancangan kita tidak menepati kehendak Allah yang penuh teliti dan bijaksana lalu menyedarkan kita bahawa tindakan kita harus DIPERBETULKAN. Wallahualam.....

Thursday, May 12, 2011

Setiap Kesusahan Ada Kebaikan

Menilai susah senang atau ujian yang menimpa diri kita bukan hanya dengan logik akal semata-mata tetapi hendaklah juga menilainya dengan mata hati. orang yang beriman apabila menghadapi ujian dia sedar itu takdir daripada Allah yang tidak boleh dielak. Tidak ada dalam istilahNya, "Kalau aku buat begini atau begitu sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku kepadaku". Ini kenyataan orang jahil tentang takdir Allah.
Sepatutunya apabila sesuatu perkara yang tidak diingin berlaku, orang yang beriman akan melihatnya sebagai anugerah daripada Allah dan Allah tidak sama sekali bertujuan untuk menzalimi hamba-Nya.
Disebalik setiap ujian pasti ada pengajaran atau kebaikan yang Allah ingin sampaikan, terpulang kepada setiap individu untuk mencungkilnya. Jika ia sabar maka dia akandiberi pahala dan Allah akan menghapuskan dosanya. Setiap kesusahan ada peluang untuk kebaikan. Maka kesusahan itu dihadapi dengan tenang untuk mencari kebaikan yang ada tersembunyi di dalamnya.....

Tuesday, May 10, 2011

Hikmah Musibah

Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia iaitu berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan,kegagalan,kesedihan dan lain-lain lagi. Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai. Selaku umat islam kita wajib meyakini kasih sayang Allah yang sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah "Bismillahhir Rahman nir Rahim" - dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi Maha Penyayang - sentiasa menjadi sebutan kita.

Namun ketika musibah melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang mentakdirkan begitu? Adakah sudah sirna kasih sayangNya?

Jangan. Jangan begitu. Dalam apa-apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk hanya ada dalam rumus pemikiran manusa sahaja.Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kadang-kadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatan sangat pahit, tetapi sebenarnya amat manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insyAllah,....!

Apabila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu!


Sayang Iz: Bohonglah jika tidak berasa sedih atas musibah ini, namun dalam hati tetap yakin bahawa musibah adalah sumber pahala dan kebaikan serta menguji tahap kesabaran seseorang. !

Saturday, May 7, 2011

Buat untuk orang Lain

Manusia selalu berasa bahawa banyak nikmat diberikan untuk orang lain tetapi tidak untuk dirinya. Maka timbul rasa cemburu dengan kesenangan orang lain. Maka sifat cemburu ini menghilangkan keseronokan bekerja kerana nikmat banyak diperoleh oleh orang lain bukan untuk diri kita.

Oleh itu, kita perlu rasakan bahawa semua nikmat Allah adalah untuk diri kita dan kita diajarkan oleh islam untuk mengagihkan nikmat itu kepada orang lain. Dengan kata lain, usaha kita bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk orang lain juga.

Sikap mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri ini akan membesarkan energi positif kita. Matlamat kerja kita berbentuk jangka panjang serta sesuai dengan tuntutan islam, hublum minallah wa hablum minnnas (hubungan dengan Allah dan hubungan dengan sesama manusia.)

Kehidupan bermasyarakat menganjurkan kita bekerja bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain. Kita disarankan untuk tolong menolong sesama manusia demi kebajikan, menjalinkan hubungan kemesraan dengan ikhlas, jaga hubungan hati dan perasaan orang lain serta tidak berburuk sangka dengan sesama manusia......insyaallah BAHAGIA!

Sayang Iz: Pengalaman digigit Mak Menti itu juga sesuatu yang membahagiakan.....

Tuesday, May 3, 2011

Langkawi, kami akan datang lagi!





Berkunjung ke Pulau bersejarah ini, sempena Hari Keluarga JPM merupakan satu pengalaman yang indah. Namun waktu yang singkat membataskan pergerakan dan peluang mengunjungi semua tempat menarik di sini. Tambahan pula ini ini adalah kunjungan yang pertama ,pasti suatu hari nanti kami akan ke sana lagi !

Tuesday, April 26, 2011

Kucing harus disayangi bukan dizalimi.











Islam menyuruh umatnya agar menyayangi semua makhluk Allah, termasuk insan, haiwan dan juga alam sekitar. Dalam hadis Bukhari bilangan 3071, Ibn Umar radiallahuanhu meriwayatkan sabda rasulullah s.aw. yang bermaksud: Seorang wanita dimasukkan ke neraka, kerana mendera seekor kucing, ia tidak memberinya makan minum sehingga mati kelaparan. Tiada sebab mengapa kucing harus didera, jika tidak kerana hati yang keras dan tidak bertimbang rasa. Memang hati yang keras tidak pernah mengenal mangsa, sama ada kucing atau manusia!
Menyayangi binatang adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang syumul (lengkap). Setiap makanan yang diberi dan setiap tanaman yang dimakan olehnya ada pahalanya. Kasihanlah kepada haiwan, jangan menzaliminya, jangan khianati pergerakan dan kehidupannya. Haiwan juga makhluk Allah yang ingin hidup bersama-sama manusia di bumi ini.

Sayang Iz: Menangis di awal pagi, sayu mengiringi pemergian kucing yang terlibat dalam kemalangan ....! oh, zalimnya manusia...

Saturday, April 23, 2011

Permata, kalau digilap pasti bersinar jua






Syukur ke hadrat Illahi, dan sekalung tahniah buat anakanda Syafiq yang telah membuktikan kebolehannya dalam berpidato. Setelah dua tahun mencuba, akhirnya beliau dinobatkan juga sebagai Naib Juara Pertandingan Pidato Intergriti peringkat kebangsaan yang diadakan baru-baru ini.

Kejayaan ini dikongsi bersama-sama pihak pengurusan, warga JPM dan seluruh warga IPG Kampus Raja Melewar. Semoga kejayaan beliau akan menjadi peransang kepada pelajar-pelajar lain untuk menceburi bidang ini pada masa akan datang.


Terkini, anakanda Syafiq juga telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Pidato Belia Daerah Seremban yang diadakan di Perpustakaan Negeri NS pada pagi tadi 24 April 2011. Semoga beliau akan menjadi seorang guru yang cemerlang suatu hari nanti .........dan tidak cepat lupa diri!


Sayang Iz: Meskipun kau tersenyum, namun orang tahu apa is hatimu.....

Wednesday, April 20, 2011

Konvokesyen Pertama




Majlis Anugerah Cemerlang SBPI Jempol yang diadakan pada 20 April 2011 dalam suasana yang gemilang menjadi titik tolak dan peransang kepada pelaja-pelajar yang diraikan. Dalam majlis ini semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM 2010 diberi penghargaan.







Yang menariknya, majlis ala-ala konvokesyen ini merupakan konvokesyen pertama bagi puteri tunggal yang disayangi. Pastinya selepas ini akan ada lagi majlis konvokesyen yang akan dihadiri kerana ini hanyalah merupakan langkah pertama dalam perjuangannya.

Semoga Allah sentiasa melindunginya, melapangkan dadanya menerima ilmu pengetahuan, mempermudah dan memberi ketabahan kepada puteri kesayangan dalam menempuh cabaran menimba ilmu pengetahuan. Jadilah insan yang beriman, berilmu pengetahuan dan berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.








Saturday, April 16, 2011

Doaku dalam Hidup yang Sementara


Ya, Allah izinkan aku menjadi seperti pepohon yang rendang yang memayungi insan di sekelilingku dengan cinta dan kasih sayang yang bersulam redhaMu. Sampai masa pohon ini akan kering dan mati ...... Namun tersenyum puas tika dirinya meyembah bumi!

Semoga kita miliki kebahagian yang cukup untuk membuatkan diri kita menarik, percubaan yang cukup untuk membuat kita kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan kita adalah seorang insan dan harapan cukup untuk membuat kita bahagia.

Kebahagian seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Kita membuat yang terbaik dalam hampir apa-apa sahaja yang datang dalam hidup kita.


Kebahagian terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mencuba . Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka!

Friday, April 8, 2011

Menangislah......


Menangis bukanlah sekadar melampiaskan perasaan. Menangis merupakan reaksi atas tersentuhnya hati oleh sesuatu kejadian. Erti air mata yang tertumpah saat menangis merupakan ungkapan perasaan atas kebahagiaan, kekecewaan atau kesedihan.


Tangisan adalah anugerah Allah bagi hidup dan hati agar sentiasa menyedari fitrah kemanusiaan yang begitu indah tetapi lemah dan tidak berdaya atas kuasa Allah s.w.t. Maka, menangislah jika itu melegakan perasaan walau tangisan itu tidak mampu mengubah suratan!

Thursday, April 7, 2011

Dia memiliki jiwa pendidik sebenar.


Rasa kagum dan amat berpuas hati. Tidak sia-sia menjadi pembimbing dan penyelia kepadanya. Aksinya seperti seorang guru yang sudah profesional. Lagaknya memang lagak seorang pendidik. Penampilan yang ceria, tak lokek dengan senyumnya dan lebih-lebih lagi tingkahnya amat prihatin dan pandai mengambil hati anak muridnya.


Aisya, tahniah kerana anda telah berjaya membuktikan bahawa anda sememangnya mahu menjadi seorang guru. Teruskan usaha dan jangan jemu mendalami ilmu untuk menjadi penyalur ilmu kepada generasi baru.


Menyelia sesi p dan p Aisya hari ini mengingatkan saya pada nostalgia 18 tahun dahulu, yang mana ketika saya sedang menjalani sesi praktikum seperti ini. Terbetik keyakinan di hati ini, bahawa Aisya akan jadi seorang pendidik yang akan disayangi dan dihormati oleh anak didik dan masyarakat suatu hari nanti. Syabas sayang...!

Persahabatan

Persahabatan mempunyai kedudukan yang khusus dalam hati seseorang. Persahabatan tidak pernah mengenal jantina. Hidup dalam dunia hujung jari kini, berkawan dengan sesiapa itu bukanlah persoalannya. Yang penting ikhlas dan berpaksikan batas-batas yang normal disamping mengawal emosi.


Budaya dan masyarakat kita selalu membuat tanggapan salah apabila ada lelaki dan wanita bersahabat karib. Kita perlu berfikiran positif dan bersangka baik. Ada orang berasa lebih selesa bersahabat dengan jantina yang berlainan, ada orang boleh bersahabat dengan sejantina sahaja dan tidak kurang ada orang yang tidak mahu menjalin persahabatan dengan orang lain. Terlalu banyak prasangka dan buruk sangka sebenarnya membuka jalan kepada keretakan sebuah bahagia. Fikiran yang positif akan membawa kita kepada perkara yang positif dan berbaik sangka. Justeru, setiap individu bertanggungjawab membina masyarakat yang baik dan semua itu adalah bermula daripada fikiran yang baik!


Sayang Iz: Kadang-kadang orang yang kita percayakan sangatlah yang buat khianat kepada kita. Semoga Allah memberikan petunjuknya....

Saturday, April 2, 2011

Kasihnya Ibu Bapa

Mungkin sesekali kita ada merenung bagaimana kita berada di tahap kehidupan sekarang. Kita memikirkan betapa terpaksa melalui liku-liku kehidupan yang penuh onak dan duri sebelum mengecap erti kenikmatan hidup. Kita hidup di dunia dan dapat melihat apa yang berlaku, dapat melihat bulan dan bintang, dapat menghirup nafas dan menikmati makanan dan minuman, semuanya perlu bermula dengan satu langkah. Langkah awal yang dimaksudkan adalah kelahiran kita ke dunia ini. Kita tidak akan dapat lahir ke dunia ini tanpa adanya ibu dan bapa. Sebelum kita lahir lagi kita sudah membebani ibu kita. Kita mungkin menyebabkan dia menghadapi darah tinggi, berasa letih malah terpaksa bekerja lebih keras demi menyambut kelahiran kita. Apabila kita lahir ke dunia, kita disambut meriah, dikucup, disayangi hinggakan nyamuk pun tidak boleh menghinggapi tubuh kita. Setiap hari kita didoakan oleh kedua-dua orang tua kita supaya menjadi manusia hebat di mata masyarakat. Sebenanrya sebelum lahir lagi kita bakal menjadi manusia berjaya dan harmoni kerana doa mereka. Namun apabila kita meningkat dewasa yang tinggal hanyalah kejayaan tanpa ada keharmonian. Hal ini berlaku kerana kita lupa akan satu langkah awal yang cukup memberi kesan dalam hidup kita iaitu doa kedua oran tua kita. Mereka berdoa dengan penuh kasih sayang. Kita lupa akan jasa mereka. Kita biarkan mereka dengan doa mereka kerana merasakan yang kita sudah cukup berjaya dengan usaha kita. Tetapi cuba renungkan kembali kejayaan yang dikecapi itu juga membawa keresahan diri. Keresahan diri itu datang dari sikap kita yang melupakan langkah pertama untuk kita berjaya dalam hidup iaitu doa ibu dan bapa. Justeru, marilah kita berbakti kepada mereka selagi ada hayatnya, sudah pasti Allah akan merahmati kita, hidup kita lebih harmoni dan kejayaan itu menjadi sesuatu yang pasti.

Wednesday, March 30, 2011

Leraikan Persengketaan dan Segera Memaafkan

Sebenarnya amalan memaafkan sesama insan ada kaitann dengan semangat hidup. Perasaan dendam serta permusuhan sesama manusia hanya mengundang rasa lemah diri yang akan membiakkan idea-idea negatif. Pemikiran negatif yang berlegar difikiran sendiri hanya menambah rasa kurang bersemangat kepada diri sendiri. Persengketaan perlu diselesaikan dengan segera. Seboleh-bolehnya, sebelum tidur segalanya telah selesai. Biarlah seseorang dapat tidur dengan lena tanpa perlu melayan nafsu jahat yang sentiasa mahu teruskan perselisihan dan permusuhan. Begitu juga dalam organisasi, persengketaan yang wujud perlu diselesaikan sebelum berakhirnya waktu kerja. Biarlah perjalanan pulang ke rumah, seseorang berasa aman dan damai. Justeru, sifat kemaafan dan berlapang dada perlu dijadikan pegangan hidup. Maafkanlah semua orang khususnya yang hampir dengan kita. Tenangkan hati dengan banyak memaafkan kesalahan orang lain kepada kita.


Sayang Iz: Rindukan perdamaian jauhi persengketaan, menangis bukan kerana derita tapi kerana bahagia

Saturday, March 19, 2011

Mana Hilangnya Semangat Hidup Kita?


Kemuliaan manusia bergantung kepada tanggungjawab yang dilaksanakan di atas muka bumi. Selagi manusia melaksanakan segala amanah yang diberikan Allah maka semangat dirinya akan terus kekal. Semangat diri akan bertambah apabila manusia menyempurnakan tugasnya secara istiqamah tanpa jemu.

Hubungan antara semangat dan tanggungjawab diri amat rapat. Selagi amanah Allah yang menjadi tanggungjawab diri berjaya dilaksanakan maka Allah memberi kekuatan semangat untuk seseorang meneruskan misi hidupnya. Sesungguhnya Allah akan memuliakan manusia dengan amanah yang berjaya mereka sempurnakan.

Agar seronok, hidup kena ada semangat. Untuk berjaya juga kena ada semangat. Tanpa semangat, hidup menjadi hambar dan membosankan. Semangat penting untuk kelansungan hidup. Biar hidup kurang berjaya, asal jangan hilang semangat untuk terus menuju kejayaan.

Saturday, March 12, 2011

Dan yang tinggal hanya kenangan...


Hidup ibarat roda, kekadang di atas dan ada masa mencecah ke bumi. Kehidupan sentiasa disulami suka dan duka. Memang sudah disuratkan bahawa pertemuan yang dicipta itu pasti diakhiri dengan perpisahan namum tidak mustahil pertemuan itu akan berulang kembali.

Sejarah tidak akan berubah. Yang berubah adalah mereka yang melakar sejarah. Untuk memiliki sesuatu yang baru ada kalanya menuntut kita melepaskan yang telah kita genggam walaupun mungkin tanpa rela. Tumpahnya air mata lantaran perpisahan ini takkan mampu menarik kembali layang-layang yang sudah dilepaskan kemudi. Kenangan-kenangan indah akan tetap lekat di ingatan, sentiasa baru di dalam hati dan segar dalam iguan mimpi.

Buat Kak Maria, mengenalimu merupakan suatu kenangan yang indah dan mengkagumkan. Harap keputusan yang dipilih menjanjikan kebahagiaan yang dicari. Semoga Allah memberkati setiap gerak langkah dan hanya kepadaNya tempat kita berserah!

Friday, March 11, 2011

Cantik di Mata.

Manusia yang memiliki mata kepalsuan cuma melihat pada keindahan dan kecantikan adalah tergolong dalam golongan kaum yang rendah martabatnya yang mana mereka akan dibebani dosa...

Sayang Iz : Jangan terlalu membanggakan yang cantik kerana cantik di luar tidak menjanjikan cantik di dalam .....

Sunday, March 6, 2011

Melalui FASA sukar dalam hidup

Setiap detik yang kita lalui, hidup kita umpama ombak yang merentasi lautan. Ada kalanya begitu tenang tanpa gelora namun satu waktu berubah menjadi ombak yang mampu membadai apa sahaja.

Kadangkala kita berfikir hal itu adalah mungkin kerana sifatnya ombak tetapi jika diperhalusi rupanya keganasan ombak bukanlah hanya disebabkan oleh sifatnya ombak tetapi pengaruh alam yang mula berubah.

Begitulah laluan liku kehidupan yang kita lalui selama ini. Kita perlu melalui kesukaran kerana hanya dengan melalui kesukaran barulah kita tahu ertinya kegembiraan. Kita perlu mengharungi masalah kerana darinya kita belajar untuk menjadi lebih matang!

Thursday, March 3, 2011

Wajah yang Menyenangkan



Persepsi kita terhadap orang kita temui bergantung kepada wajahnya. Daya tarikan pada wajah seseorang itu bukanlah terletak kepada kecantikkan semata-mata. Walaupun wajah seseorang memang berbeza daripada rupa paras tetapi perasaan terhadap seseorang itu lahir dalam sanubari kita.
Apabila bertemu dengan seseorang, kita akan membuat penilaian menerusi perasaan kita terhadapnya seperti suka, rasa mesra, segan-silu, manis, lembut, ayu, sombong dan sebagainya.

Senyuman yang tulus ikhlas dapat menghangatkan jiwa yang menerimanya. Senyuman boleh menjadi penawar dan ibadah,malah turut menceriakan dan memaniskan penampilan kita. Apabila kita senyum dengan niat kerana Allah, akan jadi ibadah sedekah.

Senyuman mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Orang yang selalu senyum akan dapat mengeluarkan endorphin dalam badan yang mampu menimbulkan rasa lega, selesa dan ceria. Kesan senyuman ini dapat menimbulkan rasa gembira kepada orang yang melihatnya. Senyuman yang ikhlas akan meresap dalam kalbu yang paling dalam......!

Sayang Iz: Hadiahkan senyuman kepada yang menyambut hari lahir pada 3.3.2011

Saturday, February 26, 2011

Cantik di Hati:

Hindarilah dari menjadi manusia yang suka berpuak-puak dan berpecah-pecah. Contohilah resam semut apabila bertemu seakan bersalaman dan suka bekerja sama antara satu sama lain.

Thursday, February 24, 2011

Menghargai Persahabatan

Tiada mutiara sebening cinta....tiada sutera sehalus kasih sayang, tiada embun sesuci ketulusan hati, dan hubungan seindah PERSAHABATAN! Sahabat bukan metamatika yang dapat dihitung nilainya dan bukan ekonomi yang mengharapkan materi. Tetapi sahabat adalah SEJARAH yang dapat dikenang sepanjang masa.

Peliharalah kepercayaan yang telah diberikan oleh sahabat. Jangan pernah merasa iri hati kepadanya kerana kebhagiaannya adalah bahagia milik kita juga. Jangan pernah ragu untuk minta maaf andai kita tahu kita melakukan kesilapan terhadapnya. Berikanlah pertolongan yang secukupnya, pujilah akan kebaikannya dan terpenting sayangilah dia seadanya....

Saturday, February 19, 2011

Hindari Buruk Sangka

Hubungan yang baik antara satu dengan lain khususnya antara muslim yang satu dengan muslim yang lainnya merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Hal ini kerana Allah telah menggariskan bahawa setiap muslim itu bersaudara.

Berbaik sangka dalam hubungan sesama muslim akan menghindari terjadinya keretakan hubungan, terhindar daripada penyesalan dalam hubungan dengan sesama kita kerana buruk sangka akan membuat seseorang menimpakan keburukan kepada orang lain tanpa bukti yang benar.

Buruk sangka merupakan sesuatu yang berdosa kerana kita sudah menganggap orang lain tidak baik tanpa dasar yang jelas, malah berusaha pula menyelidiki atau mencari-cari keburukan orang lain dan mengungkapkan segala sesuatu yang buruk tentang orang lain. Sesungguhnya orang yang berburuk sangka adalah orang sentiasa berada dalam kerugian!

Sayang Iz: Kekayaan yang paling kaya ialah akal, kemiskinan yang paling miskin ialah bodoh, keburukan yang paling buruk adalah terpesona pada diri sendiri!

Sunday, February 13, 2011

Bahaya Emosi yang Keterlaluan

Banyak kes yang berlaku memang melibatkan emosi, tetapi kita tidak boleh dikuasai emosi sepenuhnya. Memang benar terdapat pelbagai peristiwa yang menyakitkan hati tetapi sakit hati adalah satu luahan emosi dan tidak perlu diikutkan atau terlalu mendalaminya. Kadang kala peristiwa yang berlaku tersebut adalah secara tidak disengajakan, tidak disedari atau tidak difahami dengan baik dan yang pentingnya ada peristiwa boleh dimaafkan.
Memang benar sesuatu peristiwa yang telah berlaku adalah sukar untuk dilupakan, tetapi bukankah itu juga satu luahan emosi juga? Ramai orang menghancurkan diri, keluarga atau persahabatan dek kerana terlalu mengikut emosi dan bertindak dengan emosi yang selalunya emosi keterlaluan.
Sepatutnya, kita perlu menghadapi sesuatu peristiwa dengan tenang, tabah dan berinformasi. Jika kita ingin marah, marahkanlah dengan baik dan kemudian cepat-cepat bertenang keranan kemarahan, dendam dan apa jua emosi yang anda ingin ikutkan itu tidak memberikan kita kebaikan untuk masa panjang ke hadapan. Maksudnya, fikirkanlah dengan akal dan ilmu dan tidak semestinya terletak pada cita rasa, perasaan atau kemahuan semata-mata.....

Sayang Iz : Kadang-kadang marah juga kalau pagi-pagi orang tak senyum....!

Thursday, February 10, 2011

Cantik di Hati

Pandanglah kecantikan hanya suatu keindahan yang bukan untuk diagung-agungkan. Begitu juga janganlah memandang keburukan suatu kehodohan atau kecelaan. Bersyukurlah atas apa yang dikurniakan kepada kita kerana kedua-duanya adalah anugerah Allah.

Sayang Iz : Tak cantik pun tak apa asalkan ada orang sayang!!

Friday, February 4, 2011

Hari Ini Telur Berdiri Sendiri....




Fenomena alam ini berlaku sekali sahaja dalam setahun. Hari ini mulai jam 12.00 tengah hari hingga ke pukul 3.00petang, telur ayam boleh berdiri sendiri tanpa sokongan atau dipegang. Telur boleh berdiri di atas simen, meja dan apa-apa permukaan yang rata. Begitulah hebatnya kekuasaan Allah s.w.t.

Mengikut kajian saintifik, hari ini daya graviti bumi berada di tahap terlemah kerana matahari berada di posisi yang istimewa, iaitu tepat di atas garis khatulistiwa. Difahamkan juga, fenomena ini berlaku lantaran graviti bulan dan matahari berada dalam keadaan sejajar dan membantu membolehkan telur berdiri tegak.

Kesempatan ini kami gunakan untuk mencuba dan berjaya membuatkan telur berdiri tegak dari pukul 1.00 petang hingga 3.00petang. Seronok dan terpesona melihat keajaiban ini...!

Thursday, February 3, 2011

SEMESRA vs SBPIJ, SKKD jadi pengadil!



Hampir sebulan tidak bertemu. Ketiga-tiga beradik yang mama sayangi ini rupa-rupanya mempunyai semangat sayangkan sekolah masing-masing. Meriah dan seronoknya apabila tiba musim cuti sekolah seperti ini. 'Library' tempat mama dan ayah melunaskan tugas-tugas yang tidak selesai di tempat kerja ini sudah kesunyian sejak sebulan yang lalu lantaran heroin dan hero yang sudah balik ke asrama.

Sempena cuti Tahun Baru Cina ini merupakan kali pertama ketiga-tiga mereka bertemu semula. Kak Long, Iyoi dan Simanja Aiman. Tajuk perbualan mereka yang pertama sudah pasti mengenai sekolah masing-masing. Kak Long dan Iyoi cuba mempertahankan kehebatan dan kelebihan sekolah masing-masing. Masing-masing ada hujah yang kuat untuk menunjukkan bahawa sekolah masing-masing lebih hebat . Aiman yang jadi pendengar lantas berkata , " hai... kalau macam ni biar adik jadi pengadillah adikkan sekolah Dacing...!"

Apa-apa pun mama bersyukur kepada Allah kerana segalanya menunjukkan perkembangan yang positif. Semoga anak-anak yang disayangi akan berjaya di sekolah masing-masing!

Thursday, January 27, 2011

'Markisa' buat mimpi lebih indah!




Buahnya nampak pelik dan jarang ditemui. Cuma kini baru bersua dan menikmati kelazatannya. Markisa banyak khasiat dan mampu meredakan pelbagai ketegangan penyakit kerana kandungan nutrisinya. Markisa kaya dengan vitamin-vitamin B yang menenangkan dan potassium yang merilekskan sistem saraf. Orang Amerika Selatan secara tradisional makan markisa untuk membantu tidur. Bahkan menurut mereka, makan sebiji buah markisa sebelum tidur bisa membuat mimpi jadi lebih indah........




Syukur kepada Allah, walaupun selepas 40 tahun barulah mengenali dan dapat merasa manisnya 'markisa'. Terima kasih kepada pembekal 'markisa' di JPM. Semoga kebaikan dan kemurahan hatinya dibalas dengan kebaikan jua daripada Allah.

Saturday, January 22, 2011

Pemaaf ....Sifat Manusia Hebat!

Orang yang mudah meminta maaf dan mudah pula memberi maaf kepada orang yang berbuat salah kepadanya adalah orang yang hebat. Mengapa? Hal ini kerana tidak ramai yang sanggup menundukkan perasaan ego dan sombong untuk berbuat demikian.
Walaupun pada pandangan manusia, orang yang pemaaf itu tiada apa-apa keistimewaannya, tetapi lama-kelamaan insan pemaaf akan dipandang tinggi oleh orang lain. Hal ini ditunjukkan sendiri oleh jinjungan Nabi Muhammad s.a.w yang mudah memaafkan manusia yang berbuat jahat kepadanya.
sikap pemaaf ini hanya dimiliki oleh jiwa bersih dan suci. Orang yang pemaaf mempunyai hati yang kaya, kerana ia tidak ambil hati terhadap kata-kata dan perbuatan orang lain kepadanya. Lantaran kekayaan jiwa yang memenuhi hatinya, maka perbuatan jahat orang lain terhadapnya tidak memberi kesan kepada hatinya. Yang penting bagi insan pemaaf ini ialah sifat berkasih sayang sesama manusia.......

Sayang Iz: Dalam kerendahan hati, ada keluhuran budi, dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa!