Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Wednesday, December 29, 2010

Mengunjungi Darul Ridzuan Sempena 'Anniversary' ke 16


Kata orang tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat berputik CINTA dua jiwa. Perak Darul Ridzuan, menyaksikan pertemuan, percintaan dan perjanjian kasih dan sayang antara dua jiwa yang tidak ingin dipisahkan. Sempena ulangtahun perkahwinan kami yang ke - 16 kami sekeluarga berkunjung ke negeri Perak. Menziarahi semula tempat-tempat bersejarah yang pernah kami kunjungi dulu. Cuma bezanya dulu bersama-sama rakan-rakan tapi kini bersama-sama anak-anak tersayang.
Peluang yang ada kami gunakan melihat kembali MPKI yang hanya tinggal nama lantaran pengurusannya telah diambil sepenuhnya oleh Politeknik Ungku Omar. Terlalu banyak sejarah dan kenangan kami di MPKI. Di situ juga kami dilatih menjadi pendidik yang dedikasi. Kekangan hujan yang turun terlalu lebat mengagalkan usaha kami untuk bergambar semula di hadapan institusi ini selepas 17 tahun ditinggalkan. Begitu juga TC tempat kediaman kami dahulu. Tidak banyak berubah.
Bertemu dengan beberapa orang rakan lama, menginsafkan betapa sebenarnya kita sudah diganjak usia .............
Percutian indah dan bersejarah ini akan tetap dikenang demi mengerat dan mengukuhkan lagi ikatan kasih dan sayang sekeluarga......
Terima kasih Ya Allah!

Thursday, December 23, 2010

Syukur Alhamdulillah...


Terima kasih dan syukur alhamdulillah kepada Mu Ya Allah..... hari ini sejarah tercatat lagi. Puteri tunggal yang amat disayangi telah memperoleh 9A dalam peperiksaan PMR yang telah didudukinya. Berkat usaha, kesungguhan, dan keazamanannya akhirnya membuahkan hasil yang diidamkan. Jutaan terima kasih kepada semua guru yang telah mengajar dan membimbing anakandaku ini. Semoga Allah akan membalas kebaikan tuan/puan dengan kebaikan juga. KepadaMU Ya Allah, hambaMu ini bersujud dan bersyukur atas kurniaan yang telah Engkau berikan. Tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya dengan cemerlang, kepada anak rakan-rakan, semua calon PMR yang telah mencatat kejayaan. Kepada yang kurang cemerlang jangan putus asa....

Apa-apa pun teruskan belajar dan berusaha dengan lebih gigih untuk menghadapi peperiksaan yang lebih besar dan menjadi penentu masa depan.......

Tahniah sayang mama!

Sunday, December 19, 2010

Pendakian Menginsafkan Diri....

Pengalaman mendaki Bukit Broga yang semakin popular sebagai tempat rekreasi masa ini, banyak memberi kesedaran dan keinsafan kepada diri sendiri. Betapa indahnya ciptaan Allah, kekuasaan Allah dan kerdil serta lemahnya diri ini dalam usaha meneroka keindahan alam ciptaanMu. Syukur, dengan keizinanNya dan berkat kesabaran, kesungguhan dan sokongan yang 'hubby' akhirnya dapat juga saya menjejakkan kaki di puncak 'Broga Hill'. Memang indah pemandangan dari puncak bukit dan udaranya segar dan nyaman. Berada di puncak mengingatkan diri bahawa kita tak akan lama di situ kerana pasti kita akan turun ke kaki semula.... Begitulah putaran hidup ini......!

Apa-apa pun saya tetap kagum dengan kekuatan stamina 'hubby'!.Semoga sentiasa sihat dan 'kuat' supaya dapat menjaga seisi keluarga yang bergantung di bahumu......!

Saturday, December 18, 2010

Ubatilah Kekecewaan .....


Andainya kekecewaan menguasai diri.....

Terimalah kenyataan apa-apa yang berlaku dengan redha.

Berfikirlah pasti ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.

Luahkan apa-apa yang terpendam kepada orang yang dipercayai.

BERI TUMPUAN KEPADA HIDUP ANDA dan RANCANG MASA DEPAN.

Lakukan aktiviti yang menggembirakan anda.

Bercuti untuk tenangkan fikiran.....

Eratkan hubungan kekeluargaan agar anda rasa dihargai.

Berusaha menjadi lebih baik dan mencapai impian.

Berdoa kepada Allah agar anda menjadi insan cemerlang dan bahagia....!

Friday, December 17, 2010

Gangguan yang menyakitkan!

Lumrah kehidupan ini tidak sesempurna dan seindah yang kita selalu mimpikan. Kita sebagai makhluk ciptaan Allah pun kekadang mengalami gangguan dan kecacatan diluar jangkaan kita. Apatah lagi laman blog yang kita ciptakan ini. Entah kenapa sudah dua hari laman blog ini mengalami gangguan yang sedikit-sebanyak menerbitkan rasa sakit juga di hati saya. Bukannya apa, sudah beberapa kali saya cuba menerbitkan catatan yang baru tapi satu pun tidak berjaya......Kenapa yek??? Ada gangguan daripada siapa ni??????!Hampir seharian saya 'memujuk' semula laman blog ini supaya sudi menerbitkan catatan saya. Tapi rasanya gangguan ini berpunca daripada tambahan imej yang ............ooppsssss Harap catatan ini dapat diterbitkan!

Thursday, December 9, 2010

Senyumlah Pada Kejahatan Orang

Sebaik manapun anda, perkataan buruk akan tetap anda terima sama ada anda sedari ataupun tidak. Manusia memang suka mencungkil keburukan berbanding kebaikan. Usah hairan dengan sikap manusia bercerita perkara buruk tentang orang lain. Sememangnya mutakhir ini wartawan tanpa tauliah dan tanpa gaji memang banyak di mana-mana. Mengapa orang berbuat jahat terhadap kita? Mereka mahu melihat kita sedih, menangis, marah, mengamuk dan semua sikap yang tidak baik. Dengan itu mereka ada sebab untuk ketawa. Tetapi andai kita boleh senyum kalaupun tidak ketawa, kita sebenarnya telah menyebabkan mereka terjelepok... Mereka akan susah hati dan berasa payah sekali. Nah, mengapa hendak menangis oleh perlakuan jahat manusia sebaliknya bersikap tenang dan ketawalah, kerana sebenarnya kita telah mengembalikan kesakitan kepada mereka...!

Thursday, December 2, 2010

Sandera Cinta 'Cinta Bukan Bererti Memiliki'....

Cinta dan memiliki itu suatu yang berbeza. Jangan silap tentang hakikat itu. Apabila kita mencintai seseorang, kita berfikir tentang dirinya bukan diri kita. Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung kepada mengikat, membelenggu dan mengawal. Ah, cinta kita kekadang begitu. Kita ingin memberi kebaikan yang diinginkan oleh kita bukan yang diinginkan oleh orang kita cintai..... Tidak sukar memahami dan merasai jika kita benar-benar mencintai. Bukankah kekasih sejati itu bertindak memahami dahulu kemudian baru difahami????

Friday, November 19, 2010

Majlis Graduasi Si manja Aiman.






Pejam celik-pejam celik, 2010 hampir melabuhkan tirainya. Si Manjaku Aiman juga telah berjaya menamatkan pengajian di Tadika An Nur, Tasik Kesuma, Semenyih. Majlis Graduasi diadakan 14 November 2010 lalu dalam suasana meriah. Si Manja Aiman kini sudah boleh membaca, menyelesaikan masalah matematik mudah, mengaji, berbahasa Inggeris dan sedikit berbahasa Arab. Yang penting dia boleh bergaul dengan rakan dan mengenali dunia luar daripada keluarganya. Terima kasih tak terhingga kepada guru-guru yang telah mendidik Aiman hingga mampu menguasai semua kemahiran asas dalam pembelajaran. Semoga Allah akan membalas jasa baik puan. Kata Aiman, dia dah tak sabar nak masuk kelas Tahun Satu tahun depan.....

Sayang Iz: Tak sangka si Manjaku ini pandai menari gelek dan menyanyi.....!

Saturday, November 13, 2010

Tahniah, Hero Mama!


Syukur alhamdulillah...... putera yang disayangi berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR yang diumumkan baru-baru ini. Tahniah juga kepada 'hubby'yang bertungkus lumus berusaha untuk memastikan 'hero' kesayangan kami ini berjaya. Terima kasih kepada semua guru SKKD yang telah memberi ilmu dan mendidik Amirul hingga berjaya. Terima kasih kepada nendanya dan semua mak dan pak saudara yang menyayangi dan sentiasa memberi perhatian kepada Amirul. Semoga kejayaan ini menjadi titik permulaan kepada 'hero' ini mengorak langkah menuju ke mercu jaya dalam pendidikan. Tahniah juga kepada semua guru SKKD dan semua Tahun 6 atas kejayaan yang membanggakan. Syabas!

Friday, November 5, 2010

Mesyuarat Post Mortem MBM-KPKI : Tugas Berat Menanti 2011



Mengikuti Mesyuarat Post-Mortem MBM-KPKI di Vistana Hotel, KL selama 3 hari telah mengorbankan cuti berganti yang sepatutnya saya miliki. Namun demi tugas dan tanggungjawab saya redhakan jua. Selama 3 hari berbincang dan bermesyuarat satu kesimpulan yang dapat saya rumuskan adalah tahun 2011 menjanjikan tugas yang lebih berat kepada saya dan rakan-rakan di JPM. Berbincang dalam kumpulan mengikut zon (Zon Selatan) pada dasarnya membuktikan pelaksanaan KPKI 2010 zon selatan berada pada kedudukan yang cemerlang. Tahniah kepada semua yang telah menjayakan KPKI 2010.Tahun 2011 menuntut kita meneruskan KPKI tetapi dengan sasaran yang lebih tinggi. Jika tahun ini lapan kali mungkin tahun 2011 kita kena laksanakan sebanyak dua puluh kali kursus. Inilah isu paling hangat dibincangkan. Kita tidak sanggup tetapi pihak atasan minta kita buat juga......!Yang nyata kita memang perlu buktikan bahawa kita memiliki 'kepakaran' yang tidak dimiliki pihak lain kerana inilah alasan kukuh daripada pihak atasan untuk meneruskan tugasan ini!


Sayang Iz: Terharu apabila diberi kepercayaan membentangkan hasil perbincangan kumpulan Zon Selatan.......

Sunday, October 31, 2010

Mimpi Itu Indah....(Mesyuarat di KL selama 3 hari)


Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu
Aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau sentuh
Kerana langkah merapuh tanpa dirimu
Oh, kerana hati telah letih

Aku ingin menjadi sesuatu yang selalu bisa kau sentuh
Aku ingin kau tahu bahawa ku selalu menyayangimu
Tanpamu sepinya waktu merantai hati
Oh, bayangmu seakan-akan

Kau seperti nyanyian dalam hatiku
Yang memanggil rinduku padamu
Seperti udara yang kuhela kau selalu ada

Hanya dirimu yang bisa membuatku terang
Tanpa dirimu aku merasa hilang
Dan sepi,sepi...

Selalumada,selalu ada,selalu ada,selalu ada......

Monday, October 25, 2010

Syukur PadaMu Ya Allah



Syukur padaMu Ya Allah # dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan diberi kebahagian dalam kehidupan.... SYUKUR KU PADA MU YA ALLAH semoga terus diberi keberkatan dan hidayah di dalam kehidupan ini# Pujian dan syukur pada MU Allah atas usia baru ini, atas kepercayaan Mu padaku untuk masih terus menjalani hidup ini, semoga dapat aku melakukan yang terbaik.Pujian dan syukur Ya Allah atas segala masalah yang selalu Kau hindarkan daripadaku, atas kurnian puteri dan putera yang sihat dan cerdas. Pujian dan syukur atas suami yang memberikan cinta dengan penuh kesabaran dan ketenangan, atas keluarga yang tanpa henti mencurahkan kasih kepadaku, atas rezeki, kesihatan dan pekerjaan yang baik, atas sahabat dan teman yang memahami lagi menyayangi serta atas segala harapan yang dapat disempurnakan. Pujia dan syukur atas rinduku padaMu, atas seluruh nikmat hidupku. Setiap hembusan nafasku ini, kusandarkan pada kasih dan penyelenggaraan MU agar apa-apa yang terjadi padaku semuanya adalah kehendakMU.....Amin!


Terima kasih 'hubby'hadiahkan lap top baru....

Thursday, October 21, 2010

Kalau kita sayangkan dia, pasti dia juga sayangkan kita!




Lumrah kehidupan, setiap yang hidup mahu disayangi dan mahu juga menyayangi. Menyayangi bererti kita akan menjaga, membelai dan sentiasa mengambil berat akan siapa yang kita sayangi. Disayangi bererti kita sentiasa dalam ingatan, dijaga dan dibelai. Tidak kiralah dia mampu berkata-kata atau hanya sekadar lontaran bunyi yang tidak difahami maknanya. Namun bagi yang menyayangi dan disayangi pasti memahami maksud yang tersirat disebaliknya.... Beginilah saya menjaga, membelai dan mengambil berat akan kucing kesayangan saya. Setiap minggu 'dia' dimandikan dengan air suam-suam panas, disyampu, dibilas, dilapkan dan kemudian dikeringkan semula menggunakan alat pengering rambut saya. Yang pasti saya sayang akannya dan saya tahu 'dia' juga sayang akan saya!

Saturday, October 16, 2010

Semuanya Bermula pada Hati


Benarlah seperti yang disabdakan oleh junjungan Rasulullah s.a.w bahawa semuanya bermula dari hati, baik hati seseorang hamba maka baik jugalah perbuatan mereka. Jika rosak hati seseorang manusia maka rosak jugalah amal perbuatan mereka. Hati berfungsi dari darah yang mengalir ke seluruh anggota badan. Darah terhasil daripada makanan yang kita masukkan ke dalam mulut kita. Maka apa-apa saja sumber yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Justeru jelaslah betapa pentingnya bagi kita untuk menjaga setiap suap makanan yang masuk ke perut kita. Ingatlah, sifat mahmudah yang umpama menanam padi perlu kita gemburkan dan suburkan setiap masa. "Lalang-lalang mazmumah" pula hendaklah kita singkirkan, jangan sesekali kita tanam benihnya di dalam hati kita kerana lalang-lalang ini jika tidak ditanam sekalipun, ia tetap akan tumbuh. Mustahil bagi kita untuk menghilangkan "lalang-lalang mazmumah"namun bukanlah mustahil untuk mengurangkannya. Tanamlah sifat mahmudah dengan sifat sabar dan istiqamah. Ciptalah dunia yang penuh hikmah kerana Islam adalah agama hikmah. Wallahu a'lam!

Tuesday, October 12, 2010

TAHNIAH ' Hubby' !




Sekalung TAHNIAH buat suami tercinta atas kejayaan memperoleh Sarjana Kesusasteraan Melayu dalam Majlis Konvokesyen ke -34 Universiti Putra Malaysia. Majlis yang berlangsung pada 12 Oktober 2010 merupakan Sidang Kelapan sesi Konvokesyen ke - 34 UPM disempurnakan oleh Yang Berbahagia Pro Canselor UPM Dato'Rozali Ishak. Majlis berlangsung dalam suasana meriah dan santai. Syabas dan tahniah kepada 'hubby' walaupun terlalu sibuk dengan tugas-tugas di sekolah dan di rumah, namun berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang singkat iaitu lebih kurang satu tahun setengah. Walaupun sebenarnya tiada apa-apa tujuan kita melanjutkan pelajaran tetapi jauh di sudut hati kita berharap anak-anak akan menjadikan segala usaha kita sebagai contoh untuk mereka agar sentiasa menyimpan cita-cita menuntut ilmu hingga ke tahap tertinggi. Sebagai ibu dan bapa tugas kita adalah menyediakan segala kemudahan kepada anak-anak agar mereka dapat meneruskan cita-cita tanpa sebarang gangguan. Insyaallah.... Nampaknya lepas ni mama dan hubby akan berlumba pula siapa bakal dapat PhD dulu......!

Monday, October 11, 2010

Ziarah Kasih JPM Eratkan Persahabatan Kukuhkan Persaudaraan




Program Ziarah Kasih JPM sempena Syawal tahun ini memberi impak yang positif kepada hubungan persahabatan dan persaudaraan antara ahli JPM dan keluarga masing-masing.
Destinasi paling mencabar adalah ke Parit Sulong, Batu Pahat. Jarak yang agak jauh dan menagih kesabaran yang tinggi lantaran hala tuju yang kurang pasti akhirnya telah menjalin dan mengeratkan lagi persabahatan dan persaudaraan antara keluarga yang berkunjung. Hilang rasa penat, panas dan macam-macam lagi apabila kehadiran disambut dengan senyuman dan layanan yang mesra daripada tuan rumah. Selaku pihak pengunjung ingin rasanya merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian meluangkan masa menerima kehadiran dan memberi layanan yang istimewa kepada kami. Walaupun SESAT tapi itu tidak apa-apa...... Terima kasih kakak dan abang yang baik!

Saturday, October 9, 2010

Doa Buat Sahabat



Tahniah saya ucapkan kepada rakan seperjuangan yang disayangi kerana akan berpindah dan memulakan tugas baru di IPG Induk tidak lama lagi. Pertukaran ini mungkin akan membuka peluang yang lebih luas kepada sahabat untuk lebih berjaya dan memajukan diri dalam bidang pengurusan yang diminati. Selain itu, pertukaran ini juga akan menyelasaikan masalah 'jauh' tempat kerja kepada beliau. Sahabat yang dimaksudkan adalah Pn. Zanariah binti Sipon. Saya banyak berurusan dengan beliau terutamanya mengenai KPKI, MKI dan MKSP juga ISO. Perpindahan beliau meninggalkan saya dengan tugas-tugas itu sendirian.... Namun saya tetap doakan agar apa-apa yang diimpikan dan dicitakan oleh beliau akan dperoleh dan Allah akan sentiasa melindunginya. Cuma selepas ini, janganlah melupai sahabatmu ini di sini.......

Monday, October 4, 2010

Puteri Kesayangan Amran Faiz ke Medan Juang Lagi


Puteri tunggal kesayangan kami akan meneruskan perjuangan dalam pendidikan dengan menempuh satu lagi peperiksaan iaitu PMR mulai 5 Oktober hingga 12 Oktober 2010. Menimba ilmu di SBPI Jempol, sejak tingkatan satu lagi sebenarnya memberi impak jiwa juga kepada kami. Menghantarnya ke sekolah berasrama bukanlah bermakna kami ingin melepaskan tanggungjawab, tetapi kami mengharapkan agar puteri kami ini memperoleh sumber ilmu yang terbaik. Mama dan ayah sentiasa mengiringi perjuangan puteri yang disayangi ini dengan doa dan harapan agar Allah sentiasa melindungi dan mempermudahkannya menjawab semua soalan. Semoga berkat usaha dan kesungguhannya akan membuahkan hasil yang membanggakan dan menjadi idola kepada adik-adik dan saudara yang lain. Selamat menduduki peperiksaan sayang. Selamat juga kepada anak rakan-rakan yang menduduki peperiksaan yang sama. Doakanlah ketenangan dan kejayaan mereka.

Wednesday, September 29, 2010

Menjadi Satu kerana Yang Satu

Dua batang kayu disatukan dengan paku. Dua ketul batu disatukan dengan simen. Dua hati disatukan dengan apa?.... Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati Yang Satu, pasti mudah kedua-duanya bersatu. Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada Allah, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Ada ribut .... tetapi sekadar dalam cawan. Ada gelombang... tetapi cepat-cepat menjadi tenang!

Monday, September 27, 2010

Ziarah Kasih Eratkan Sillaturrahim..







Terharu dan gembiranya menerima kehadiran KJ, KU dan semua kekanda yang disayangi ke teratak buruk keluarga saya di Kampung Daching hari ini. Kehadiran sempena program 'ziarah kasih' JPM ini merupakan satu program yang baik dan patut diteruskan. Selain mengeratkan hubungan sesama ahli dapat juga merapatkan hubungan dengan ahli keluarga ahli. Kehadiran warga SKKD juga amat menggalakkan dan saya gembira menerima kehadiran mereka. Semoga keakraban sesama kita akan diberkati dan akan menjadikan kita saudara seagama yang saling menyayangi dan menghormati!....

Friday, September 24, 2010

Kelapangan Hati dengan Kemaafan


Kegembiraan, kemeriahan,keindahan, kesyahduan, kesyukuran dan pelbagai rasa hati dan perasaan, letaknya di hati kita. Pelbagai kalimat ini, memerlukan hati yang lapang untuk menampungnya. Jika sempit hati, bagaimana mampu menampung segala perasaan tersebut? Antara perasaan yang memberatkan hati dan menyempitkan jiwa adalah kemarahan. Api kemarahan, apabila marak akan membakar segala ruang yang diperlukan dalam seseorang. Memberi kemaafan ada kalanya lebih berat daripada memikul batu di bahu. Lebih-lebih lagi jika hati telah keras membatu, bersalut dengan dendam dan kebencian.Kemaafan akan membuka pintu kelapangan dalam jiwa. Jiwa pemaaf akan mengecap kelapangan perasaan terhadap saudara yang lain. Kelapangan perasaan adalah rahsia kebahagian hidup insan. Insan pemaaf akan menikmati kelapangan jiwa, hati dan perasaan. Kelapangan hati inilah rahsia kelapangan hidup sebenar.....!

Sunday, September 19, 2010

Selamat Menduduki UPSR Hero Mama!


Tarikh yang ditunggu-tunggu akhirnya akan tiba jua. Pada 21 hingga 23 September 2010 ini, semua murid tahun enam akan menduduki peperiksaan UPSR bagi menentukan pencapaian masing-masing sebelum melangkah ke sekolah menengah. Dalam memastikan kejayaan murid-murid ini sebenanrya memerlukan komitmen semua pihak terutamanya ibu bapa, para guru, rakan dan masyarakat. Namun debaran lebih dirasai oleh para guru dan juga ibu bapa berbanding murid-murid sendiri. Mungkin mereka masih belum memahami kepentingan dan konsep sebenar peperiksaan.
Hero mama, semoga segala usaha, tunjuk ajar daripada guru-guru, kesungguhan dan iringan doa daripada mama, ayah, nenek, kak long,adik dan semua yang menyayangi akan membuahkan hasil yang membanggakan. Apa-apa pun yang penting sekali, hadapilah peperiksaan dengan tenang dan hati-hati membaca dan menjawab soalan. PASTIKAN 5A milikmu. Kepada semua murid SKKD dan anak rakan-rakan yang menduduki peperiksaan yang sama semoga mereka berjaya. Insyaallah.

Thursday, September 16, 2010

Kebetulan tanpa jangkaan...




Syawal tahun ini menemu dan mengumpulkan semula adik-beradik yang telah merantau dan menetap di tempat lain. Kebetulan tahun ini semua memilih untuk beraya di Kampung Daching sebagai giliran berhari raya. Yang paling seronok pastinya emak, kerana semua anak dan cucunya balik berhari raya dengannya. Saya juga seronok dapat berjumpa dengan adik-adik dan anak-anak saudara yang tidak berjumpa hampir dua tahun juga.Lebih seronok lagi apabila keluarga saya dan keluarga adik yang menetap di Johor Baharu memilih warna kelabu sebagai tema baju hari raya tahun ini. Kami tak pernah merancang malah tak pernah bertanya pun tentang baju raya sebelum ini. Cuma di pagi raya barulah riuh jadinya apabila masing-masing mengenakan baju Melayu yang berwarna kelabu.Inilah kebetulan yang tak dijangka. Besarnya kuasa Allah hingga memberikan inspirasi yang sama kepada kami untuk memilih tema warna yang sama tahun ini.....Terima kasih Ya Allah.!Walaupun berhari raya dalam kesedihan saya masih mampu tersenyum dan akan terus senyum dalam meneruskan kehidupan yang tidak pasti bila bernoktahnya....!

Sunday, September 12, 2010

PadaMu ku bersujud


Kumenatap dalam kelam
tiada yang bisa kulihat
selain hanya namaMu Ya Allah

esok ataukah nanti
ampuni semua salahku
lindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
jadikan aku selamanya
hambaMu yang selalu bertakwa

ampuniku Ya Allah
yang sering melupakanMu
saat Kau limpahkan kurniaMu
dalam sunyi aku bersujud.......


Kepada semua insan yang kusayangi SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI, semoga sentiasa dilindungi Allah. Salam rindu dan sayang selalu!

Thursday, September 2, 2010

Cantik di Hati:


Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu untuk bermain,itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah waktu untuk belajar,itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Allah.
Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati.
Ambillah waktu untuk memberi, itu akan membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah waktu untuk beramal, itu adalah kunci menuju ke syurga.

Tuesday, August 31, 2010

Merdeka dan Ramadhan


Sambutan hari merdeka jatuh pada bulan Ramadhan. Alangkah bertuahnya kita dapat menyambut perayaan hari merdeka tahun ini dalam bulan puasa. Alhamdulillah! Merdeka dan Ramadhan satu perkara yang amat berkait rapat. Elok sangatlah kita menghayati erti kemerdekaan dalam bulan yang mulia ini. Merdeka dari penjajahan minda dan merdeka sebagai seorang hamba Allah yang terbelenggu oleh hasutan nafsu. Kita meraikan kemerdekaan itu bersungguh-sungguh sehingga ada yang berpesta ria, konon sudah benar-benar merdeka,tetapi sebenarnya jiwa kita masih terkongkong.Hati kita masih terbelenggu dengan budaya orang lain. Hari ini, ramai anak muda merasakan diri mereka begitu bebas sehingga boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan.Pengaruh luar begitu membudaya dalam cara hidup mereka, sehingga teguran orang dewasa dianggap kuno. Inilah cara jajahan paling halus yang sedang diterapkan dalam diri anak remaja hari ini. Pendidik dan pendidik bakal pendidik sebenarnya menggalas tanggung jawab yang amat berat dalam memperbetul kesilapan ini.....!

Thursday, August 26, 2010

Ya,Allah HambaMu Redha...

Andainya ini dugaan Allah yang perlu saya tempuhi, syukur alhamdulillah. Sesungguhnya saya redha..... Moga ada petunjuk dan hidayahMu Ya Allah yang akan memberi kekuatan kepada hambaMu yang lemah ini meneruskan perjalanan hidup yang belum pasti di mana nokhtahnya.Menghadapi dugaan-dugaan kecil ini memberi peringatan kepada saya bahawa ada orang lain yang menerima dugaan yang lebih hebat lagi...Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, Maha Mengetahui lagi Maha Menyayangi. Saya yakin Allah akan sentiasa menguji hamba-hamba yang disayangiNya demi memastikan keteguhan iman para hambaNya.Mungkin juga mengingatkan hambaNya agar tidak terus leka.Ssubhanallah.....
Terima kasih kepada teman-teman yang sentiasa memberi semangat dan sokongan. Semoga Allah memberkati kehidupan kalian!

Persoalannya.... mampukah saya melengkapkan semula tesis yang hilang dibawa angin? Ya, Allah bantulah hambaMu ini...

Tuesday, August 24, 2010

Puasa Membentuk Jiwa


Ibadah puasa menjadikan seseorang lebih bertanggungjawab kepada Allah kerana kita perlu memastikan kita melakukan ibadah wajib ini dengan sempurna dan dalam masa yang sama mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang Allah.Berpuasa bukanlah alasan untuk seseorang itu mengelakkan diri daripada melakukan kerja yang sepatutnya.Walupun berpuasa, kita seharusnya menjalankan rutin harian seperti hari-hari biasa dengan penuh ikhlas dan bersemangat.Berpuasa juga mendidik jiwa menjadi lebih sabar, tabah, tenang dan bersemangat. Dalam hadis ada menyebut, berpuasa memberi kehebatan pada akal fikiran.Fikiran menjadi lebih tajam, matang dan bergeliga.Segala logiknya di sini, apabila kita berasa sedikit susah, minda kita berfikir dengan lebih waras, bernas dan bergeliga.Namun ada yang menyedihkan apabila, ada segelintir kita yang mengganggap puasa sebagai 'penjara'yang memenatkan,lapar dan mengantuk sepanjang hari sekaligus merencatkan aktiviti harian. Malah ada yang menjadi lebih malas, 'curi tulang' dan ada juga yang M.C!Hakikatnya, puasa membantu didik insan jadi cemerlang.

Sunday, August 22, 2010

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya...



Kewajipan menunaikan rukun islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan banyak menguji kesabaran kita. Bukan setakat menahan lapar dan dahaga malah pelbagai lagi perkara yang kekadang dianggap 'remeh' sebenarnya perlu ditahan juga. Bagi seorang ibu seperti saya, Ramadhan kali ini seperti tahun-tahun lalu, banyak menagih pengorbanan demi melaksanakan tanggungjawab yang digalas. Terpaksa melupakan kepenatan, keletihan dan rasa mengantuk. Tahun ini Ramadhan lebih bermakna bagi saya, lantaran 'bujang kecil' saya Aiman sudah mula berpuasa. Minggu pertama Aiman hanya mampu bertahan hingga pukul 3 petang namun pada minggu kedua Aiman sudah berjaya bertahan hingga ke waktu berbuka. Kekadang, terdetik juga rasa kasihan pada si comel yang bertubuh kecil ini lebih-lebih apabila Aiman terpaksa dikejutkan seawal pagi untuk bersahur. Tanpa membuka matanya dia tetap menerima suapan sahur daripada mamanya ini....... Kalau si kecil seperti Aiman sudah mampu berpuasa, kenapa agaknya masih ada golongan yang lebih dewasa gagal berbuat demikian?
Tahniah Aiman Sayang mama!

Monday, August 16, 2010

Antara Bakat, Kesungguhan dan Bimbingan....



Lumrah kehidupan ini, kita dikurniakan dengan kepelbagaian kebolehan dan kemampuan. Allah itu maha kaya lagi maha adil. Cuma kekadang kita yang bergelar manusia ini alpa dan tidak bersyukur dengan kurnianNya. Ramai diantara kita ini sebenarnya memiliki bakat dalam bidang tertentu. Ada juga yang tidak sedar bahawa sesungguhnya mereka ada kebolehan juga. Namun tidak kurang juga yang memiliki kesungguhan dan usaha.Belajar daripada kesilapan pertama dan 'berguru' kepada yang layak. Akhirnya mampu menonjolkan kebolehan diri yang selama ini tidak disedari. Syabas dan tahniah, kepada yang berjaya membuktikan kemampuan diri! Yakinlah bakat itu boleh diasah dengan adanya kesungguhan dan bimbingan yang betul.

Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan buat semua...

Lantaran emosi yang sedikit terganggu menjadikan saya 'malas' untuk menulis di halaman ini. Namun kedatangan Ramadhan yang mulia menggamit semula semangat untuk mencatat lagi. Selamat datang Ramadhan. Kedatangan yang penuh makna...!Selamat menjalani ibadat puasa kepada seluruh umat islam. Semoga puasa tahun ini merupakan ibadah puasa yang terbaik,yang dilunaskan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.Hayatilah Ramadhan dengan penuh kasih sayang, maaf dan ikhlas.Jauhi hasad dengki dan perselisihan. Semoga amal ibadah kita diterima Allah s.wt. Insyallah!Sesekali renungkanlah... bahawa dalam kehidupan ini APA SEBENARNYA YANG KITA HENDAK?!

Wednesday, August 4, 2010

Tahniah, Adik!


Tahniah buat adik bongsu yang disayangi kerana telah berjaya menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Merlimau, Melaka. Dalam majlis Konvokesyen yang berlangsung Sabtu lalu, adik telah dianugerahkan Anugerah Ketua Jabatan kerana mendapat CGP melepasi 3.6. Semoga cita-citanya melanjutkan pelajaran akan diberkati Allah. Syahdunya kerana walaupun membesar tanpa adanya ayah di sisi, adik telah buktikan dia boleh berjaya. Pasti arwah juga bergembira... Teruskan usaha adik dan kakak-kakakmu sentiasa akan membantumu.TAHNIAH DIK,!

Tuesday, August 3, 2010

Jangan Ada Prasangka


Prasangka buruk kepada orang lain merupakan penyakit hati yang perlu dielakkan demi memastikan perjalanan hidup kita ini sentiasa harmoni dan tenteram. Berprasangka dan memikirkan tentang keburukan orang lain sebenarnya mengundang kepada kekeliruan dalam hati kita sendiri.Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat seharusnya menuntut kepada hubungan saling menghormati, berkasih sayang dan saling membantu. Usah sempitkan ruang hidup dengan mereka-reka cerita yang tidak benar dan membuat tafsiran yang tidak tepat sekiranya kita tidak mengetahui kedudukan sebenar. Lebih baik berdiam diri dan menjadi pemerhati sahaja.....kerana salah tafsiran akan mengundang kepada retaknya satu kebahagiaan!

Sunday, August 1, 2010

Cantik di Hati..



Kata-kata yang diucapkan sembarangan dapat mewujudkan perselisihan. Kata-kata yang kejam dapat menghancurkan suatu kehidupan. Kata-kata yang diucapkan pada tempatnya dapat meredakan ketegangan. Kata-kata yang penuh cinta dapat menyembuhkan dan memberkati ......!

Thursday, July 29, 2010

LEGA....Terima kasih semua!


Selaku penyelaras KPKI 2010, saya boleh menarik nafas lega lantaran tamatnya sesi KPKI 2010 di PKG Tampin hari ini. Kepada KJ, KU dan semua ahli JPM saya mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai kerjasama anda semua kerana telah memberi komitmen yang sangat baik dalam menjayakan kelapan-lapan siri KPKI kelolaan JPM.Pada keseluruhannya KPKI 2010 mendapat respon yang sangat baik daripada para peserta. Semoga siri-siri akan datang dapat dilaksanakan dengan lebih cemerlang dengan penyelaras yang baru. Terima kasih semua!

Sunday, July 25, 2010

Hati Ini Menangis!


Perjalanan kehidupan... mengubah setiap deria-deria yang ada.Mengubah rasa hati... kekadang membuat hati basah dengan kisah-kisah kelmarin..... dan sesekali hati terasi begitu kering..... sekering danau di musim kemarau! Hati ini mudah terluka, sukar diubati.Namun aku masih punya sisa-sisa air mata, sendiri memikul segala rasa,melangkah membawa sejuta luka... luka-luka semalam yang tak pernah akan hilang, luka-luka yang penuh kesan air mata. Kehidupan, kematian dan segalanya telah menjadi ketetapan yang maha Esa. Aku hanya harus akur, sama sekali tidak mampu untuk menolak, menafi dan tiada daya untuk menghalang.Hanya yang mampu aku harus kuat hadapi sebarang kemungkinan... kerana semua yang berlaku dan yang akan berlaku ada yang tersirat di sebaliknya!

Wednesday, July 21, 2010

Jika hari esok tidak ada!


Dalam hidup ini, kadang-kadang kita suka ambil mudah perkara yang dianggap kecil. Walaupun menyedari bahawa perkara kecil itu membawa signifikan. Namun kita masih endah tak endah. Sebabnya kita selalu merasakan ; tidak apa-apa, kan esok masih ada.Cara berfikir beginilah yang selalunya berakhir dengan penyesalan. Kita menyesal kerana membiarkan masa berlalu sebelum sempat dipenuhi dengan keinginan dan harapan yang hanya terucap dalam hati. Ada kala kita ingin mengucapkan kata maaf kepada sahabat yang pernah kita sakiti hatinya,mengucapkan sayang pada seseorang yang menyayangi kita,menzahir rindu pada orang yang sudah lama tidak bersua, namun semua itu tidak terlaksana lantaran dalam hati ada kalimat ini: Tidak apa-apa, kan esok masih ada!.Tetapi fikirkan jika hari esok TIDAK ADA!

Saturday, July 17, 2010

Hidup ini persediaan ke 'sana'!


Rutin kita melalui hari-hari seperti biasa. Tidur, kemudian kita bangun meneruskan kehidupan kita. Sudah berapa hari agaknya kita hidup di atas dunia ini? Kalaulah umur kita sudah 40 tahun, maka 40 X 365 hari = 14600 hari.Kenapa mesti hargai kehidupan kita ini.Kejayaan kita, hanyalah apabila kita dilepaskan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.Jadi dunia ini sepatutnya kita gunakan, bukan kita dipergunakan.Sakit adalah anugerah Allah kepada hamba yang disayangiNya. Ketika sakit kita akan lebih mengingati kematian, takut kepada kejahatan dan sentiasa mendekatkan diri dan berdoa kepada Allah.Justeru, hargailah kehidupan ini bersyukur andai hidup kita sihat, selesa dan sempurna. Jangan ada prasangka sesama insan,jangan ada hasad dengki dan cemburu, sebaliknya gunakan peluang yang singkat untuk berkongsi apa-apa kelebihan yang dipinjamkan Allah kepada kita dengan orang lain yang memerlukan. Hiduplah secara hormat-menghormati dan saling berkasih sayang kerana andainya ada penyesalan terhadap hari semalam yang kita bazirkan, maka gunakan hari baru dengan sebaiknya, kerana semalam takkan kembali, yang ada pada kita hanya hari ini dan esok pula sesuatu yang belum PASTI!