Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Friday, October 28, 2011

Catatan Peringatan Sempena Hari Lahir...

25 Oktober 1969 telah dicatat sebagai tarikh lahirku. Satu pesanan melalui Facebook kiriman kakak tersayang membuatkan diri terkesima dan mula merenung sejauh mungkin maksud yang cuba disampaikan. Antara lain katanya, apabila tarikh hari lahir kita tiba, sebenarnya memberitahu bahawa umur kita untuk hidup sudah berkurangan setahun. Kita hanya tahu tarikh lahir tetapi kita tidak tahu bila kita mati.
Kehidupan di dunia akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kenangan mengenai insan-insan yang kita sayang. Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangkitkan kita daripada angan-angan panjang mengenai nikmat hidup yang tidak bererti tanpa sifat berkekalan.
Mustahi bagi manusia mengetahui empat hal ghaib iaitu kelahiran, kematian, rezeki;amal dan kesudahan hidupnya sama ada baik atau sebaliknya. Kesemuanya terpatri di luh mahfuz, tersimpan di bank Allah yang tidak terjangkau oleh akal manusia yang terbatas.
Kemampuan untuk mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Apabila kegembiraan mencurah-curah dari hati, bolehlah kita selitkan pengetahuan mengenai mati, apabila cita-cita tercapai, kemewahan dikecapi, kebahagiaan tidak sudah-sudah, adakah kita ingat esok kita mati dan semua akan musnah!

Sayang Iz: Kehujanan melawat Bandaraya Bersejarah bersama-sama hubby dan murid-muridnya sedikit mengugat kesihatan ini. Ini juga satu peringatan!

Sunday, October 23, 2011

Hadapilah duniamu dengan senyuman


Jika kita menghadapi masalah, cubalah kita ingat-ingat masalah sukar yang pernah kita hadapai pada masa lalu. Khususnya masalah yang lebih besar dan lebih berat dari yang sedang kita hadapi. Dalam pada itu, cubalah hayati bagaimana Allah memberi jalan keluar untuk menyelesaikannya. Kerana dengan mengenang hal yang berat yang pernah kita hadapi itu, kita akan merasa hiba bercampur bangga terhadap diri sendiri, dan akan tumbuh rasa percaya yang kuat kepada diri sendiri.
Jika seseorang mengingat kesukaran-kesukaran yang pernah dialami maka ia akan berasa bahawa beban yang ia hadapi ketika ini tidak berbeza dengan masalah-masalah yang lain. Dan setiap masalah akan berlalu, dan kemudian akan menjadi sejarah atau kenangan. Kita perlu belajar dan mengambil iktibar dari setiap masalah yang kita lalui, tidak terkecuali masalah yang lebih banyak sakitnya berbanding senangnya. Terimalah segalanya dengan senyuman.
Sekali-kali jangan berfikir dua kali untuk tersenyum,kerana dengan tersenyum bermakna kita sedang menghidupkan semangat dan kekuatan yang ada dalam diri. Jangan bermurung dan bermasam muka kerana itu akan menekan kekuatan, sedang menekannya bererti kita membuat diri kita menderita.
Apabila kita tersenyum kepada orang lain, bermakna kita sedang memberi kebahagiaan kepada mereka. Senyuman dapat menyuntik perasaan optimis dan damai di hati orang lain. Sebaliknya, jika kita tampil dengan wajah bengis dan murung bermakna kita telah menyeksa dan mengganggu hati mereka. Sudah pasti kita tidak suka menjadi punca kesedihan kepada sesiapa pun.......

Sayang Iz: Masih mampu senyum walaupun orang yang disayang tidak faham pun ketika diri sedang dalam kesakitan......!

Sunday, October 16, 2011

Semoga Allah anugerahi kasih sayang

Ketika insan lain hampir tidak percaya dengan dirimu, memandang serong terhadapmu, meletakkan dirimu bagai tidak berharga, seolah-olah dunia ini gelap dan gelita, tiada tempat untuk meluah, pintu dunia seakan terkunci untuk diceritakan segala resah dan kekecewaan yang bersarang di jiwa.....
Maka saat itu, tadahlah tanganmu yang basah bersama kemurnian wudhuk dan air mata keinsafan. Allah pasti hadir dengan jiwamu untuk mendengar segala isi hati yang luka.....
......kerana Dia Maha Mendengar......
Percayalah, Allah menguji dengan kesusahan untuk mendengar luahan makhluknya yang mungkin telah lama bisu dan tidak berbicara denganNya.
Hari ini menangis dengan doa, esok lusa jangan pula menjadi kufur atas segala kesenangan yang diperoleh. Harungilah ujian kecil dunia agar kita hebat mendepani ujian lebih besar di hari akhirat.
Insyaallah...

Sayang Iz: Batu, sayang kau tak boleh berkata, semuanya kau lihat walau kau tak bermata....

Thursday, October 6, 2011

Nikmat lidah dalam berkata-kata

Sememangnya apa yang diimpikan dalam hidup ini adalah kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan dalam apa jua bidang kehidupan yang diceburi. Dalam persekitaran sebegini, ungkapan yang diguna pakai sudah tentulah kata-kata positif, penuh dengan kehalusan budi bicara yang tinggi serta enak didengar. Apa-apa yang terbit daripada mulut semuanya manis dan sedap belaka, lalu meransang kecerdasan emosi dan spirutual untuk lebih berjaya.
Kata-kata yang memberi dorongan kejayaan adalah kata-kata positif, kata-kata pujian, kata-kata ransangan, kata-kata yang boleh mencetuskan kejayaan dan kebahagiaan hidup, kepada diri sendiri atau kepada insan lain.
Kata-kata itu bukan sahaja indah dan sedap didengar bahkan boleh menyentuh hati dan perasaan insan lain lantas menimbulkan kesedaran untuk bertindak ke arah kejayaan dan kebahagiaan hidup.Kata-kata sebegini turut mampu memberi kebahagiaan dan ketenangan hati bagi pihak yang mendengarnya.
Walau apapun bentuk kata-kata yang keluar melalui lidah seseorang maka itu merupakan gambaran seseorang terhadap dirinya dan terhadap insan-insan lain serta persekitaran hidup yang dihadapinya.

Sayang Iz: Aku ingin menjadi sesuatu yang bisa kau rindu.....

Sunday, October 2, 2011

Cintai Saudara Kita kerana Allah

Berasa diri disayangi dan dicintai oleh seseorang itu sangat bermakna buat diri kita. Perasaan cinta dan sayang ini lahir dari hati yang tulus dan ikhlas. Menyayangi saudara kita kerana Allah membuatkan kita sentiasa mendoakannya. Ingatan yang tulus ikhlas itu tergambar dengan iringan doa kepada sahabatnya walaupun kita tidak berada bersama-samanya.
Seseorang yang menyayangi saudaranya akan sentiasa menunjukkan penampilan wajah yang berseri-seri selain memberi hadiah atau buah tangan kepada sahabatnya seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Kalian harus saling memberi hadiah, maka kalian akan saling menyayangi".
Terpenting adalah bermaaf-maafan antara saudara harus menjadi amalan. Kita juga tidak harus menyimpan dendam kerana dendam akan menimbulkan kebencian. Kebencian akan membawa kepada perpecahan. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Dengan memberi maaf semoga kita juga akan dimaafkan....

Sayang Iz: kiranya berakhir dengan titis air mata ?!