Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Tuesday, August 31, 2010

Merdeka dan Ramadhan


Sambutan hari merdeka jatuh pada bulan Ramadhan. Alangkah bertuahnya kita dapat menyambut perayaan hari merdeka tahun ini dalam bulan puasa. Alhamdulillah! Merdeka dan Ramadhan satu perkara yang amat berkait rapat. Elok sangatlah kita menghayati erti kemerdekaan dalam bulan yang mulia ini. Merdeka dari penjajahan minda dan merdeka sebagai seorang hamba Allah yang terbelenggu oleh hasutan nafsu. Kita meraikan kemerdekaan itu bersungguh-sungguh sehingga ada yang berpesta ria, konon sudah benar-benar merdeka,tetapi sebenarnya jiwa kita masih terkongkong.Hati kita masih terbelenggu dengan budaya orang lain. Hari ini, ramai anak muda merasakan diri mereka begitu bebas sehingga boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan.Pengaruh luar begitu membudaya dalam cara hidup mereka, sehingga teguran orang dewasa dianggap kuno. Inilah cara jajahan paling halus yang sedang diterapkan dalam diri anak remaja hari ini. Pendidik dan pendidik bakal pendidik sebenarnya menggalas tanggung jawab yang amat berat dalam memperbetul kesilapan ini.....!

Thursday, August 26, 2010

Ya,Allah HambaMu Redha...

Andainya ini dugaan Allah yang perlu saya tempuhi, syukur alhamdulillah. Sesungguhnya saya redha..... Moga ada petunjuk dan hidayahMu Ya Allah yang akan memberi kekuatan kepada hambaMu yang lemah ini meneruskan perjalanan hidup yang belum pasti di mana nokhtahnya.Menghadapi dugaan-dugaan kecil ini memberi peringatan kepada saya bahawa ada orang lain yang menerima dugaan yang lebih hebat lagi...Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, Maha Mengetahui lagi Maha Menyayangi. Saya yakin Allah akan sentiasa menguji hamba-hamba yang disayangiNya demi memastikan keteguhan iman para hambaNya.Mungkin juga mengingatkan hambaNya agar tidak terus leka.Ssubhanallah.....
Terima kasih kepada teman-teman yang sentiasa memberi semangat dan sokongan. Semoga Allah memberkati kehidupan kalian!

Persoalannya.... mampukah saya melengkapkan semula tesis yang hilang dibawa angin? Ya, Allah bantulah hambaMu ini...

Tuesday, August 24, 2010

Puasa Membentuk Jiwa


Ibadah puasa menjadikan seseorang lebih bertanggungjawab kepada Allah kerana kita perlu memastikan kita melakukan ibadah wajib ini dengan sempurna dan dalam masa yang sama mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang Allah.Berpuasa bukanlah alasan untuk seseorang itu mengelakkan diri daripada melakukan kerja yang sepatutnya.Walupun berpuasa, kita seharusnya menjalankan rutin harian seperti hari-hari biasa dengan penuh ikhlas dan bersemangat.Berpuasa juga mendidik jiwa menjadi lebih sabar, tabah, tenang dan bersemangat. Dalam hadis ada menyebut, berpuasa memberi kehebatan pada akal fikiran.Fikiran menjadi lebih tajam, matang dan bergeliga.Segala logiknya di sini, apabila kita berasa sedikit susah, minda kita berfikir dengan lebih waras, bernas dan bergeliga.Namun ada yang menyedihkan apabila, ada segelintir kita yang mengganggap puasa sebagai 'penjara'yang memenatkan,lapar dan mengantuk sepanjang hari sekaligus merencatkan aktiviti harian. Malah ada yang menjadi lebih malas, 'curi tulang' dan ada juga yang M.C!Hakikatnya, puasa membantu didik insan jadi cemerlang.

Sunday, August 22, 2010

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya...



Kewajipan menunaikan rukun islam yang ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadhan banyak menguji kesabaran kita. Bukan setakat menahan lapar dan dahaga malah pelbagai lagi perkara yang kekadang dianggap 'remeh' sebenarnya perlu ditahan juga. Bagi seorang ibu seperti saya, Ramadhan kali ini seperti tahun-tahun lalu, banyak menagih pengorbanan demi melaksanakan tanggungjawab yang digalas. Terpaksa melupakan kepenatan, keletihan dan rasa mengantuk. Tahun ini Ramadhan lebih bermakna bagi saya, lantaran 'bujang kecil' saya Aiman sudah mula berpuasa. Minggu pertama Aiman hanya mampu bertahan hingga pukul 3 petang namun pada minggu kedua Aiman sudah berjaya bertahan hingga ke waktu berbuka. Kekadang, terdetik juga rasa kasihan pada si comel yang bertubuh kecil ini lebih-lebih apabila Aiman terpaksa dikejutkan seawal pagi untuk bersahur. Tanpa membuka matanya dia tetap menerima suapan sahur daripada mamanya ini....... Kalau si kecil seperti Aiman sudah mampu berpuasa, kenapa agaknya masih ada golongan yang lebih dewasa gagal berbuat demikian?
Tahniah Aiman Sayang mama!

Monday, August 16, 2010

Antara Bakat, Kesungguhan dan Bimbingan....



Lumrah kehidupan ini, kita dikurniakan dengan kepelbagaian kebolehan dan kemampuan. Allah itu maha kaya lagi maha adil. Cuma kekadang kita yang bergelar manusia ini alpa dan tidak bersyukur dengan kurnianNya. Ramai diantara kita ini sebenarnya memiliki bakat dalam bidang tertentu. Ada juga yang tidak sedar bahawa sesungguhnya mereka ada kebolehan juga. Namun tidak kurang juga yang memiliki kesungguhan dan usaha.Belajar daripada kesilapan pertama dan 'berguru' kepada yang layak. Akhirnya mampu menonjolkan kebolehan diri yang selama ini tidak disedari. Syabas dan tahniah, kepada yang berjaya membuktikan kemampuan diri! Yakinlah bakat itu boleh diasah dengan adanya kesungguhan dan bimbingan yang betul.

Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan buat semua...

Lantaran emosi yang sedikit terganggu menjadikan saya 'malas' untuk menulis di halaman ini. Namun kedatangan Ramadhan yang mulia menggamit semula semangat untuk mencatat lagi. Selamat datang Ramadhan. Kedatangan yang penuh makna...!Selamat menjalani ibadat puasa kepada seluruh umat islam. Semoga puasa tahun ini merupakan ibadah puasa yang terbaik,yang dilunaskan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.Hayatilah Ramadhan dengan penuh kasih sayang, maaf dan ikhlas.Jauhi hasad dengki dan perselisihan. Semoga amal ibadah kita diterima Allah s.wt. Insyallah!Sesekali renungkanlah... bahawa dalam kehidupan ini APA SEBENARNYA YANG KITA HENDAK?!

Wednesday, August 4, 2010

Tahniah, Adik!


Tahniah buat adik bongsu yang disayangi kerana telah berjaya menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Merlimau, Melaka. Dalam majlis Konvokesyen yang berlangsung Sabtu lalu, adik telah dianugerahkan Anugerah Ketua Jabatan kerana mendapat CGP melepasi 3.6. Semoga cita-citanya melanjutkan pelajaran akan diberkati Allah. Syahdunya kerana walaupun membesar tanpa adanya ayah di sisi, adik telah buktikan dia boleh berjaya. Pasti arwah juga bergembira... Teruskan usaha adik dan kakak-kakakmu sentiasa akan membantumu.TAHNIAH DIK,!

Tuesday, August 3, 2010

Jangan Ada Prasangka


Prasangka buruk kepada orang lain merupakan penyakit hati yang perlu dielakkan demi memastikan perjalanan hidup kita ini sentiasa harmoni dan tenteram. Berprasangka dan memikirkan tentang keburukan orang lain sebenarnya mengundang kepada kekeliruan dalam hati kita sendiri.Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat seharusnya menuntut kepada hubungan saling menghormati, berkasih sayang dan saling membantu. Usah sempitkan ruang hidup dengan mereka-reka cerita yang tidak benar dan membuat tafsiran yang tidak tepat sekiranya kita tidak mengetahui kedudukan sebenar. Lebih baik berdiam diri dan menjadi pemerhati sahaja.....kerana salah tafsiran akan mengundang kepada retaknya satu kebahagiaan!

Sunday, August 1, 2010

Cantik di Hati..



Kata-kata yang diucapkan sembarangan dapat mewujudkan perselisihan. Kata-kata yang kejam dapat menghancurkan suatu kehidupan. Kata-kata yang diucapkan pada tempatnya dapat meredakan ketegangan. Kata-kata yang penuh cinta dapat menyembuhkan dan memberkati ......!