Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Tuesday, April 26, 2011

Kucing harus disayangi bukan dizalimi.











Islam menyuruh umatnya agar menyayangi semua makhluk Allah, termasuk insan, haiwan dan juga alam sekitar. Dalam hadis Bukhari bilangan 3071, Ibn Umar radiallahuanhu meriwayatkan sabda rasulullah s.aw. yang bermaksud: Seorang wanita dimasukkan ke neraka, kerana mendera seekor kucing, ia tidak memberinya makan minum sehingga mati kelaparan. Tiada sebab mengapa kucing harus didera, jika tidak kerana hati yang keras dan tidak bertimbang rasa. Memang hati yang keras tidak pernah mengenal mangsa, sama ada kucing atau manusia!
Menyayangi binatang adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang syumul (lengkap). Setiap makanan yang diberi dan setiap tanaman yang dimakan olehnya ada pahalanya. Kasihanlah kepada haiwan, jangan menzaliminya, jangan khianati pergerakan dan kehidupannya. Haiwan juga makhluk Allah yang ingin hidup bersama-sama manusia di bumi ini.

Sayang Iz: Menangis di awal pagi, sayu mengiringi pemergian kucing yang terlibat dalam kemalangan ....! oh, zalimnya manusia...

Saturday, April 23, 2011

Permata, kalau digilap pasti bersinar jua






Syukur ke hadrat Illahi, dan sekalung tahniah buat anakanda Syafiq yang telah membuktikan kebolehannya dalam berpidato. Setelah dua tahun mencuba, akhirnya beliau dinobatkan juga sebagai Naib Juara Pertandingan Pidato Intergriti peringkat kebangsaan yang diadakan baru-baru ini.

Kejayaan ini dikongsi bersama-sama pihak pengurusan, warga JPM dan seluruh warga IPG Kampus Raja Melewar. Semoga kejayaan beliau akan menjadi peransang kepada pelajar-pelajar lain untuk menceburi bidang ini pada masa akan datang.


Terkini, anakanda Syafiq juga telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Pidato Belia Daerah Seremban yang diadakan di Perpustakaan Negeri NS pada pagi tadi 24 April 2011. Semoga beliau akan menjadi seorang guru yang cemerlang suatu hari nanti .........dan tidak cepat lupa diri!


Sayang Iz: Meskipun kau tersenyum, namun orang tahu apa is hatimu.....

Wednesday, April 20, 2011

Konvokesyen Pertama




Majlis Anugerah Cemerlang SBPI Jempol yang diadakan pada 20 April 2011 dalam suasana yang gemilang menjadi titik tolak dan peransang kepada pelaja-pelajar yang diraikan. Dalam majlis ini semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM 2010 diberi penghargaan.







Yang menariknya, majlis ala-ala konvokesyen ini merupakan konvokesyen pertama bagi puteri tunggal yang disayangi. Pastinya selepas ini akan ada lagi majlis konvokesyen yang akan dihadiri kerana ini hanyalah merupakan langkah pertama dalam perjuangannya.

Semoga Allah sentiasa melindunginya, melapangkan dadanya menerima ilmu pengetahuan, mempermudah dan memberi ketabahan kepada puteri kesayangan dalam menempuh cabaran menimba ilmu pengetahuan. Jadilah insan yang beriman, berilmu pengetahuan dan berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.








Saturday, April 16, 2011

Doaku dalam Hidup yang Sementara


Ya, Allah izinkan aku menjadi seperti pepohon yang rendang yang memayungi insan di sekelilingku dengan cinta dan kasih sayang yang bersulam redhaMu. Sampai masa pohon ini akan kering dan mati ...... Namun tersenyum puas tika dirinya meyembah bumi!

Semoga kita miliki kebahagian yang cukup untuk membuatkan diri kita menarik, percubaan yang cukup untuk membuat kita kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan kita adalah seorang insan dan harapan cukup untuk membuat kita bahagia.

Kebahagian seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Kita membuat yang terbaik dalam hampir apa-apa sahaja yang datang dalam hidup kita.


Kebahagian terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mencuba . Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka!

Friday, April 8, 2011

Menangislah......


Menangis bukanlah sekadar melampiaskan perasaan. Menangis merupakan reaksi atas tersentuhnya hati oleh sesuatu kejadian. Erti air mata yang tertumpah saat menangis merupakan ungkapan perasaan atas kebahagiaan, kekecewaan atau kesedihan.


Tangisan adalah anugerah Allah bagi hidup dan hati agar sentiasa menyedari fitrah kemanusiaan yang begitu indah tetapi lemah dan tidak berdaya atas kuasa Allah s.w.t. Maka, menangislah jika itu melegakan perasaan walau tangisan itu tidak mampu mengubah suratan!

Thursday, April 7, 2011

Dia memiliki jiwa pendidik sebenar.


Rasa kagum dan amat berpuas hati. Tidak sia-sia menjadi pembimbing dan penyelia kepadanya. Aksinya seperti seorang guru yang sudah profesional. Lagaknya memang lagak seorang pendidik. Penampilan yang ceria, tak lokek dengan senyumnya dan lebih-lebih lagi tingkahnya amat prihatin dan pandai mengambil hati anak muridnya.


Aisya, tahniah kerana anda telah berjaya membuktikan bahawa anda sememangnya mahu menjadi seorang guru. Teruskan usaha dan jangan jemu mendalami ilmu untuk menjadi penyalur ilmu kepada generasi baru.


Menyelia sesi p dan p Aisya hari ini mengingatkan saya pada nostalgia 18 tahun dahulu, yang mana ketika saya sedang menjalani sesi praktikum seperti ini. Terbetik keyakinan di hati ini, bahawa Aisya akan jadi seorang pendidik yang akan disayangi dan dihormati oleh anak didik dan masyarakat suatu hari nanti. Syabas sayang...!

Persahabatan

Persahabatan mempunyai kedudukan yang khusus dalam hati seseorang. Persahabatan tidak pernah mengenal jantina. Hidup dalam dunia hujung jari kini, berkawan dengan sesiapa itu bukanlah persoalannya. Yang penting ikhlas dan berpaksikan batas-batas yang normal disamping mengawal emosi.


Budaya dan masyarakat kita selalu membuat tanggapan salah apabila ada lelaki dan wanita bersahabat karib. Kita perlu berfikiran positif dan bersangka baik. Ada orang berasa lebih selesa bersahabat dengan jantina yang berlainan, ada orang boleh bersahabat dengan sejantina sahaja dan tidak kurang ada orang yang tidak mahu menjalin persahabatan dengan orang lain. Terlalu banyak prasangka dan buruk sangka sebenarnya membuka jalan kepada keretakan sebuah bahagia. Fikiran yang positif akan membawa kita kepada perkara yang positif dan berbaik sangka. Justeru, setiap individu bertanggungjawab membina masyarakat yang baik dan semua itu adalah bermula daripada fikiran yang baik!


Sayang Iz: Kadang-kadang orang yang kita percayakan sangatlah yang buat khianat kepada kita. Semoga Allah memberikan petunjuknya....

Saturday, April 2, 2011

Kasihnya Ibu Bapa

Mungkin sesekali kita ada merenung bagaimana kita berada di tahap kehidupan sekarang. Kita memikirkan betapa terpaksa melalui liku-liku kehidupan yang penuh onak dan duri sebelum mengecap erti kenikmatan hidup. Kita hidup di dunia dan dapat melihat apa yang berlaku, dapat melihat bulan dan bintang, dapat menghirup nafas dan menikmati makanan dan minuman, semuanya perlu bermula dengan satu langkah. Langkah awal yang dimaksudkan adalah kelahiran kita ke dunia ini. Kita tidak akan dapat lahir ke dunia ini tanpa adanya ibu dan bapa. Sebelum kita lahir lagi kita sudah membebani ibu kita. Kita mungkin menyebabkan dia menghadapi darah tinggi, berasa letih malah terpaksa bekerja lebih keras demi menyambut kelahiran kita. Apabila kita lahir ke dunia, kita disambut meriah, dikucup, disayangi hinggakan nyamuk pun tidak boleh menghinggapi tubuh kita. Setiap hari kita didoakan oleh kedua-dua orang tua kita supaya menjadi manusia hebat di mata masyarakat. Sebenanrya sebelum lahir lagi kita bakal menjadi manusia berjaya dan harmoni kerana doa mereka. Namun apabila kita meningkat dewasa yang tinggal hanyalah kejayaan tanpa ada keharmonian. Hal ini berlaku kerana kita lupa akan satu langkah awal yang cukup memberi kesan dalam hidup kita iaitu doa kedua oran tua kita. Mereka berdoa dengan penuh kasih sayang. Kita lupa akan jasa mereka. Kita biarkan mereka dengan doa mereka kerana merasakan yang kita sudah cukup berjaya dengan usaha kita. Tetapi cuba renungkan kembali kejayaan yang dikecapi itu juga membawa keresahan diri. Keresahan diri itu datang dari sikap kita yang melupakan langkah pertama untuk kita berjaya dalam hidup iaitu doa ibu dan bapa. Justeru, marilah kita berbakti kepada mereka selagi ada hayatnya, sudah pasti Allah akan merahmati kita, hidup kita lebih harmoni dan kejayaan itu menjadi sesuatu yang pasti.