Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Monday, June 27, 2011

Kebijaksanaan dan Keunggulan Sahabat

Orang yang bijaksana adalah orang yang mencintai dan menghormati Allah. Orang yang benar-benar bijaksana adalah orang yang memperoleh hikmah dari kecelakaan yang menimpa orang lain.
Orang yang bijaksana itu berfikir dua kali sebelum berbicara kerana makin bijaksana seseorang maka makin pandailah dia menjaga mulutnya dan bijaksana itu lebih baik daripada kekuatan...kerana orang bijaksana adalah orang yang menonjolkan sifat sederhana dan lebih suka berdiam.
Kebahagiaan itu terletak pada pengorbanan, kemampuan mengekang kesombongan, keinginan untuk menderma, sikap tidak mengganggu orang lain dan jauh dari sikap egois dan ingin menang sendiri.
Tertawa dan senyum yang sekadarnya akan membuat jiwa menjadi lapang, hati menjadi kuat, menghilang kebosanan, meningkatkan semangat bekerja serta menjernihkan fikiran.
Sahabat yang paling baik adalah orang yang sangat kita percaya dan membuat diri kita tenang bersama-samanya, membantu kesulitan kita, ikut prihatin dengan kegelisahan kita dan ia tidak menyebarkan rahsia atau aib kita!


Sayang Iz: Andai tidak berhati-hati, menyimpan gunting dalam lipatan akan mencederakan kaki sendiri lantaran manusia yang agung dengan sifatnya yang mudah lupa.....

Wednesday, June 22, 2011

Cintaku Cintamu Jua....

Sebenarnya tidak susah untuk menikmati kasih sayang orang. Asalkan kita pandai memberikan kasih sayang kita, kita akan mendapatnya balik. Usah sangka orang lain senang, kita saja yang susah. Gambaran hidup selalunya begitulah.........
Pada orang yang bersyukur lagi jujur akan melihat kesusahan adalah perencah kepada kehidupan.Ada kalanya kita terpejam mata oleh masam dan masinnya, adakalanya kita tersenyum oleh manisnya. Kadang-kadang kita ternganga sahaja apabila lidah tidak merasa apa-apa.
Takkan oleh masin kita taubat tidak akan makan garam lagi. Mentang-mentanglah gula dikatakan punca penyakit kencing manis maka kita terus anti gula. Sebenarnya semua perencah ini apabila digaul dalam satu resepi maka menjadi enak sekali.
Demikianlah hidup, apabila ia bercampur gaul antara nikmat dengan sakit, hiba dengan gembira, sedih dengan bahagia, maka itu adalah resepi kehidupan yang sebenar-benarnya selesa. Sesungguhnya kasih sayang adalah penyubur jiwa, tanpa kasih sayang akan matilah sayang - matilah jugalah kasih sayang......

Sayang Iz: Kasih sayang tiada erti andai membakar diri sendiri.......!

Thursday, June 16, 2011

Berbahgialah dengan anugerah Allah.....

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan atau penyakit, atau kekhuatiran atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya (dosa) kerananya. (Hadis Riwayat: Al-Bukhari 5642)

Seminggu bertarung dengan kesakitan dan ketidak selesaan hidup sebenarnya memberi lebih keinsafan kepada diri betapa kehidupan ini hanya sementara dan kesementaraan itu perlu diisi dengan melaksanakan segala tanggungjawab yang dibebankan ke bahu ini......Sesungguhnya keyakinan tetap tebal, bahawa Allah masih menyayangi dan masih memberi peluang untuk diri meneruskan kehidupan dan memperbaiki setiap apa-apa kekurangan. Memang sudah menjadi ketetapan daripada Allah swt bahawa setiap manusia pasti pernah dan akan mengalami sakit dan musibah. Syukur Ya Allah!

Sesungguhnya Allah telahpun merencanakan kehidupan manusia di muka bumi ini dengan jalan cerita yang berbeza. Mengingati masa lalu sebagai kenangan adalah suatu keperluan untuk kita jadikan landasan membangunkan masa hadapan supaya jauh lebih baik. Masa memang tidak dapat diputarkan kebelakang dan masa depan itu tidaklah terlepas daripada kenangan dan masa lalu yang telah kita lalui. Masa depan itu perlu kita bangunkan dengan masa-masa lalu serta kenang-kenangannya. Masa lalu yang indah, kenangan yang tidak terlupakan dan tidak mahu dilupakan.....

Barang yang lepas usah dikenang! Berikan diri peluang untuk hidup bahagia kini, dan masa depan dengan optimistik. Sentiasa bersangka baik dan fikirkan yang positif! Terpenting adalah jangan sekali-kali memandang rendah kepada diri sendiri kerana setiap individu diciptakan dengan potensi dan kebolehan yang berbeza!


Sayang Iz: Tak nak duduk wad bukan sebab takut tapi tak sampai hati nak tinggalkan anak-anak dan ayahnya di rumah lantaran masa cuti sekolah.........!



Thursday, June 9, 2011

Hanya Sebuah Rasa

Jika sedang marah, pergilah ke bilik air dan mandi. Jika ada air pancur di bilik air itu, duduk di bawah pancuran dan biarkan air membasahkan kepala dan seluruh tubuh. Mandilah seberapa lama yang anda mampu, sampai menggigil kesejukan pun boleh. Apabila tubuh sudah dilap kering selepas mandi, nescaya kemarahan juga turut reda bersama-sama kesejukan air yang mengalir ke tubuh. Biarpun rasa marah masih bersisa tetapi ia tidak lagi meluap-luap seperti sebelumnya.
Jika sedang resah gelisah dan keliru, pergilah ke bilik air dan ambillah wuduk. Kemudian sujudlah kepada Allah. Berbicarlah kepadaNya dengan sepenuh hati. Jika ingin menangis di sejadah itu menangislah sepuas-puasnya kerana selepas itu jiwa akan kembali tenang.
Jika sedang di dalam dilema untuk membuat sebarang keputusan penting dalam kehidupan, bangunlah di sepertiga malam. Ketika orang lain sedang lena diulit mimpi, kita memohon petunjuk Allah. Bersolatlah dengan jiwa yang jernih dan hati yang kosong. Pasti bantuan Allah akan kita peroleh. Petunjuk dari Allah adalah sebenar-benar petunjuk.
Dan jika tiba-tiba berasa sebal terhadap sesuatu perkara dan menyalahkan orang lain kerana berlakunya perkara itu, cuba bersendirian di dalam bilik sambil mendengar lagu-lagu beralunan lembut, sebaik-baiknya lagu kerohanian. Jangan tidur sebaliknya bertafakur dan selidik semula apa punca sebenar berlakunya perkara itu. Benarkah langsung tidak ada kesalahan kita di sana?!Apabila kita berfikir dengan tenang tanpa emosi, pasti kita dapat jawapan bahawa kita pun tidak sesempurna mana untuk menyalahkan orang lain. Ego sebenarnya yang membesarkan amarah itu.
Sebenarnya apa-apa pun cara yang kita lakukan dalam hidup ini, kita tidak terlepas daripada ujian, kecil mahupun besar. Namun Allah, memberikan kita pelbagai cara untuk menyelesaikannya sama ada melalui cara kita sendiri atau datanglah mengadu kepadaNya.!

Adaptasi dari MW.

Friday, June 3, 2011

Menjana Minda Positif

Minda adalah seperti payung terjun, yang hanya akan berfungsi apabila dibuka. Di dalam diri manusia ada arus elektromagnet (bio-elektrik). Untuk mendapat manfaat daripada arus elektromagnetik ini, suis mesti dibuka. Suis pada bio-elektrik ini terletak kepada minda yang positif. Minda yang negatif menutup arus elektromagnetik ini daripada menjadi sumber tenaga yang menggerakkan 'chemistry' di dalam tubuh.
Dengan kata lain, ketegangan yang berpunca daripada minda yang negatif menutup sistem tenaga dalam tubuh individu. Apabila sistem tenaga bio-elektromagnetik terputus, maka gelaplah di dalam tubuh individu. Dalam kegelapan, semua sistem di dalam tubuh individu secara biologinya dan peringkat lebih kronik lagi mungkin terhenti .
Menurut pakar kesihatan, Dr. Richard J. Davidson, "Golongan yang optimis biasanya lebih sihat daripada orang lain . Hal ini kerana, hormon kortisol dalam darah mereka dan ini meningkatkan sistem pertahanan badan. Hormon kortisol adalah hormon yang keluar semasa tekanan atau stres menyerang individu. Apabila kadarnya rendah, individu menjadi lebih tenang semasa menghadapi ujian.

Sayang Iz: Bertenanglah ketika musibah melanda......dan usah membuang masa mentafsir mimpi yang tidak pasti!

ADIOS