Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Friday, July 22, 2011

Memaafkan Orang Lain - Cara "membasuh hati".

Sesungguhnya hati yang berada di dalam dada kita boleh dilatih supaya menjadi kuat dan gagah. Maka latihlah hati kita agar banyak memaafkan, bertolak ansur dalam beberapa hak, tidak terlalu mengikut keinginan hawa nafsu dan cuba memenuhi hati dengan kasih sayang.
Sekiranya kita mampu untuk menyayangi seluruh makhluk Allah, maka jangan biarkan hati kita berasa sempit kerananya. Bahkan kita akan berasa luas dan lapang dengan kehadiran setiap tetamu baru dalam hati kita. Sesungguhnya hati itu luas dan mencukupi untuk setiap orang yang berhak mendapat tempat di dalamnya.
Pada setiap malam sebelum tenggelam dalam tidur, latihlah hati kita supaya memberi kemaafan, kemudian biarkan mata tertutup lena dalam tidur yang tenang dan mengasyikkan.
Maafkan setiap orang yang bersalah terhadap kita, menzalimi kita, memusuhi, melanggar hak kita, melupai kebaikan kita, bahkan lebih daripada semua ini.
Sebagaimana kita membasuh muka dan tangan dengan air beberapa kali sehari atau lebih daripada 10kali sehari kerana kita menghadapkan kedua-duanya kepada orang orang ramai, begitu juga kita mesti membasuh hati kita yang menjadi tempat pandangan Allah s.wt.
Maka basuhlah hati kita dan jagalah ia setiap hari, supaya tidak bertimbun segala anasir yang tidak elok dan negatif seperti dendam kesumat, kenangan pahit, kebencian, kemarahan dan lain-lain yang boleh menjadi belenggu dan penghalang kepada ketenangan hati daripada beramal dan bekerja untuk mendapat kehidupan yang baik dan sentosa.

No comments:

Post a Comment