Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Friday, July 15, 2011

Sahabat umpama tangan dan mata

Ramai yang berkata, kawan memang senang dicari dan ramai, tetapi sahabat belum tentu. Kawan dan sahabat ada perbezaannya. Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja yang kita suka dan memiliki seberapa ramai kawan yang kita suka. Namun sahabat hanyalah untuk orang tertentu sahaja. Sahabat lebih akrab hubungannya. Susah senang segalanya boleh dikongsi bersama.
Persahabatan itu seperti tangan dan mata. Ketika tangan terluka, mata menangis, dan saat mata menangis, tangan menghapuskan air mata. Sahabat sejati adalah sahabat yang sama-sama mahu menempuh saat suka dan duka. Tidak hairan ada orang menjalin persahabatan bertahun-tahun lama, diikat pula dengan hubungan sesama keluarga yang erat. Sahabat begini sesungguhnya susah ditemui tetapi ada di dunia ini. Cuma masa dan keadaan menemukan kita dengan sahabat sejati.
Namun persahabatan itu tidak terjalin atas landasan lurus. Sepanjang perjalanan membina hubungan persahabatan, tidak sedikit dugaan dan ujian melanda. Sebab itu, ada persahabatan tidak kekal lama. Akhirnya tinggallah kita sendiri tanpa sahabat. Dunia menjadi sepi dan sunyi, hilang sahabat umpama hilang separuh diri.
Tidak selalu apa yang kita harapkan berjalan lancar. Pengalaman kita bersama-sama sahabat kekadang membuat kita sangat lelah dan terasa jengkel. Tetapi itulah yang mengikat tali persahabatan semakin mempunyai nilai indah. Setiap persahabatan akan berdepan dengan cabaran tetapi akan sentiasa mengatasi cabaran hingga mengukuhkan perhubungan itu.
Persahabatan akan pasti diwarnai pelbagai pengalaman suka duka. Kadang-kadang terhibur, ada kala berjauh hati, diberi perhatian, tidak kurang dikecewakan, didengar dan diabaikan, dibantu-ditolak, namun semua itu tidak pernah sengaja dilakukan.
Sahabat sejati tidak akan menyembunyikan kesalahan untuk menghindari perselisihan. Sebaliknya kerana kasihnya kepada sahabat, dia memberanikan diri menegur dan membetulkan sahabat itu seadanya.
Semua orang pasti memerlukan sahabat sejati, namun tidak semua orang beruntung mendapatkannya. Banyak juga orang yang telah menikmati indahnya persahabatan, namun ada juga yang begitu HANCUR dikhianati sahabatnya.......!

No comments:

Post a Comment