Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Friday, October 28, 2011

Catatan Peringatan Sempena Hari Lahir...

25 Oktober 1969 telah dicatat sebagai tarikh lahirku. Satu pesanan melalui Facebook kiriman kakak tersayang membuatkan diri terkesima dan mula merenung sejauh mungkin maksud yang cuba disampaikan. Antara lain katanya, apabila tarikh hari lahir kita tiba, sebenarnya memberitahu bahawa umur kita untuk hidup sudah berkurangan setahun. Kita hanya tahu tarikh lahir tetapi kita tidak tahu bila kita mati.
Kehidupan di dunia akan tergugat dengan datangnya Izrail yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kenangan mengenai insan-insan yang kita sayang. Mati membuktikan kepada manusia bahawa sebenarnya ia tidak pernah memiliki sesuatu pun. Mati juga membangkitkan kita daripada angan-angan panjang mengenai nikmat hidup yang tidak bererti tanpa sifat berkekalan.
Mustahi bagi manusia mengetahui empat hal ghaib iaitu kelahiran, kematian, rezeki;amal dan kesudahan hidupnya sama ada baik atau sebaliknya. Kesemuanya terpatri di luh mahfuz, tersimpan di bank Allah yang tidak terjangkau oleh akal manusia yang terbatas.
Kemampuan untuk mengingati mati adalah sebaik-baik kecerdasan dan kebijaksanaan seseorang. Apabila kegembiraan mencurah-curah dari hati, bolehlah kita selitkan pengetahuan mengenai mati, apabila cita-cita tercapai, kemewahan dikecapi, kebahagiaan tidak sudah-sudah, adakah kita ingat esok kita mati dan semua akan musnah!

Sayang Iz: Kehujanan melawat Bandaraya Bersejarah bersama-sama hubby dan murid-muridnya sedikit mengugat kesihatan ini. Ini juga satu peringatan!

No comments:

Post a Comment