Cetusan Hati dan Dedikasi, Sayang Iz Kampung Daching, Negeri Sembilan,Malaysia

Thursday, June 9, 2011

Hanya Sebuah Rasa

Jika sedang marah, pergilah ke bilik air dan mandi. Jika ada air pancur di bilik air itu, duduk di bawah pancuran dan biarkan air membasahkan kepala dan seluruh tubuh. Mandilah seberapa lama yang anda mampu, sampai menggigil kesejukan pun boleh. Apabila tubuh sudah dilap kering selepas mandi, nescaya kemarahan juga turut reda bersama-sama kesejukan air yang mengalir ke tubuh. Biarpun rasa marah masih bersisa tetapi ia tidak lagi meluap-luap seperti sebelumnya.
Jika sedang resah gelisah dan keliru, pergilah ke bilik air dan ambillah wuduk. Kemudian sujudlah kepada Allah. Berbicarlah kepadaNya dengan sepenuh hati. Jika ingin menangis di sejadah itu menangislah sepuas-puasnya kerana selepas itu jiwa akan kembali tenang.
Jika sedang di dalam dilema untuk membuat sebarang keputusan penting dalam kehidupan, bangunlah di sepertiga malam. Ketika orang lain sedang lena diulit mimpi, kita memohon petunjuk Allah. Bersolatlah dengan jiwa yang jernih dan hati yang kosong. Pasti bantuan Allah akan kita peroleh. Petunjuk dari Allah adalah sebenar-benar petunjuk.
Dan jika tiba-tiba berasa sebal terhadap sesuatu perkara dan menyalahkan orang lain kerana berlakunya perkara itu, cuba bersendirian di dalam bilik sambil mendengar lagu-lagu beralunan lembut, sebaik-baiknya lagu kerohanian. Jangan tidur sebaliknya bertafakur dan selidik semula apa punca sebenar berlakunya perkara itu. Benarkah langsung tidak ada kesalahan kita di sana?!Apabila kita berfikir dengan tenang tanpa emosi, pasti kita dapat jawapan bahawa kita pun tidak sesempurna mana untuk menyalahkan orang lain. Ego sebenarnya yang membesarkan amarah itu.
Sebenarnya apa-apa pun cara yang kita lakukan dalam hidup ini, kita tidak terlepas daripada ujian, kecil mahupun besar. Namun Allah, memberikan kita pelbagai cara untuk menyelesaikannya sama ada melalui cara kita sendiri atau datanglah mengadu kepadaNya.!

Adaptasi dari MW.

No comments:

Post a Comment